Siri Petunjuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Oleh: Nuha Binti Marzukai

KATA PENGANTAR
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 Segala pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam yang telah memberikan sedikit kekuatan kepada hamba-Nya yang serba lemah ini untuk menyudahkan usaha menyusun buku “Siri Petunjuk Akidah Ahli As Sunnah Wal Jamaah” ini. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang telah membawa obor petunjuk akidah yang jelas tanpa ada kekaburan atau kesulitan dalam memahami dan menghayatinya.
 Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan dan para pelajar saya yang dedikasi, Allah Taala telah mengizinkan saya untuk menyudahkan buku yang saya namakan sebagai “Siri Petunjuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Sebahagian besar buku ini merupakan terjemahan daripada buku asal di dalam bahasa Arab yang berjudul “Salasilah Akaid Islamiah” karangan Profesor Ahmad Izzudin al-Bayanuni seorang ulamak yang terkenal dengan kegigihan dan keprihatinannya di dalam menyebarkan ilmu di Syria di satu masa dahulu. Beliau merupakan seorang ulamak yang telah mengasaskan Institusi Pengajian Abu Zar yang terletak berhampiran dengan bandar Halab di Syria.
 Manakala kandungan buku ini yang selebihnya adalah tambahan yang saya lakukan dengan berbekalkan beberapa buku akidah yang dikarang oleh ulama’ yang muktabar terutamanya buku “Akidah Islam” karangan Sheikh Saiyid Sabiq dan “Syarah Akidah Tahawiyah”.
 Saya telah terdorong untuk menyusun buku ini kerana memandangkan persoalan akidah dewasa ini telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat Islam khususnya di Negara kita. Berbagai isu hangat telah menghantui pemikiran Islam. Aliran fahaman yang mendewa-dewakan individu, fahaman anti hadith, kepercayaan kepada kuasa wali-wali Allah serta fahaman syiah merupakan isu dan ancaman kepada kejernihan akidah penduduk kepulauan Melayu umumnya dan penduduk Malaysia khususnya yang berpegang kuat dengan “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah”.
 Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah dan tergolong ke dalam amal soleh. Sebagai pengakhiran, sudah pasti susunan ini mempunyai kekurangan yang perlu dilengkapkan lagi oleh orang yang lebih mengetahui. Oleh itu sebarang teguran dan tunjuk ajar amat kami perlukan kearah melengkapkan lagi siri petunjuk akidah ini. Ucapan terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan yang turut membantu menyudahkan buku ini terutama Encik Mustafa Kassim yang telah mencetuskan idea menyusun buku ini kepada saya.
 Sekian, segala yang baik datangnya daripada Allah yang bersifat dengan kesempurnaan dan segala kelemahan dan kesilapan adalah datangnya daripada kelemahan diri saya sebagai manusia.

PENGHARGAAN
Saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah berjaya menyiapkan kertas kerja ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pensyarah subjek Prinsip Asas Islam (CTU 101) iaitu Encik Aziz Harjin kerana telah memberi segala tunjuk ajar dan panduan sepanjang proses pembikinan kertas kerja ini.
Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberi bantuan dalam segala aspek dalam menyiapkan kertas kerja ini. Tanpa sokongan daripada rakan-rakan, kertas kerja ini tidak dapat disiapkan. Alhamdulillah, akhirnya kertas kerja ini dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikan. Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat yang telah menolong serta meluangkan masa memberi tunjuk ajar serta cara untuk membuat kertas kerja ini.
Kertas kerja ini mengandungi beberapa perkara-perkara penting di dalam bab akidah yang mana ianya penting kepada segenap pihak sebagai panduan dan asas kearah pemantapan akidah yang sebenar. Akidah memainkan peranan penting dalam kehidupan umat Islam. Ia dapat melahirkan ketenangan di dalam hati tanpa rasa syak dan ragu.
Sekian, terima kasih.


1.1    Pengertian Islam dan Iman

1.1.1    Pengertian Islam
Islam menurut pengertian bahasa Arab ialah menyerah diri dan menurut perintah sepenuhnya.

Manakala menurut pengertian syarak, Islam bermakna bersaksi bahawa tidak ada Illah (Tuhan) melainkan Allah, Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram bagi sesiapa yang berkemampuan melakukannya.

Firman Allah :

Maksudnya: “ Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya ; sampaikanlah berita gembira wahai Muhammad kepada orang yang tunduk taat”. ( Al- Haj : 34 )


Firman Allah :

Maksudnya: “Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah kepada-Nya sebelum kamu didatangi azab kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”. ( Az- Zumar : 54 )

1.1.2    Pengertian Iman
Iman menurut pengertian di dalam bahasa Arab ialah membenarkan dengan hati
Manakala menurut syarak pula ia bererti anda beriman dengan Allah, malaikat- malaikat, kitab- kitab, Hari Akhirat dan qadar- Nya yang baik dan buruk.
Firman Allah Taala :
Maksudnya : “ Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman semua beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitabNya dan Rasul-rasul-Nya. Mereka berkata: “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada Rasul-rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: “Kami mendengar dan kami taat. Kami pohonkan keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.
 (Al-Baqarah : 285 )
Firman Allah :
Maksudnya : “Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kepada penerangan cahaya al-Quran yang Kami turunkan. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”.
 (At-Taqhaabun : 8 )
Daripada Umar r.a telah berkata 5:
“ Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w pada suatu hari, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya yang tidak Nampak padanya kesan bermusafir sedangkan tidak seorang pun daripada kalangan kami yang mengenalinya. Lelaki itu terus duduk di hadapan Rasulullah s.a.w lalu menyandarkan kedua lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan kedua tapak tangannya di atas peha lalu berkata “Wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Islam”.
Lalu Rasullulah s.a.w berkata “Islam ialah anda bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah, anda mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan anda mampu mengerjakan haji ke Baitullah sekiranya anda mampu melakukannya”.
Lelaki itu berkata: “Engkau telah berkata benar”.
Umar berkata: “kami berasa hairan kerana lelaki itu yang bertanya dan dia juga yang membenarkannya.
Lelaki berkata: “Beritahu aku tentang iman”.
Baginda berkata: “Iman ialah dengan anda beriman dengan Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, Hari Akhirat dan anda beriman dengan qadar Allah yang baik dan yang buruk.
Lelaki itu berkata: “Engkau telah berkata benar”.
Lelaki itu bertanya: “Beritahu aku tentang ihsan”.
Baginda menjawab: “Ihsan ialah anda menyembah Allah seolah-olah anda melihat-Nya. Sekiranya anda tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat anda”.
Lelaki itu berkata: “Beritahu aku tentang Hari Kiamat”.
Baginda menjawab: “Orang yang bertanya adalah lebih tahu daripada orang yang ditanya”.
Lelaki itu berkata: “Beritahu aku tentang tanda-tanda Hari Kiamat”.
Baginda menjawab: “Hamba perempuan melahirkan tuannya, dan melihat orang yang berkaki ayam dan bertelanjang serta penggembala kambing berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi”.
Umar berkata: “Kemudian lelaki itu beredar. Aku terdiam dalam masa yang panjang, kemudian Baginda berkata kepada aku : Wahai Umar! Adakah anda tahu siapa yang bertanya itu?”.
Aku menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”.
Baginda berkata: “Lelaki itu ialah Jibril yang datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu”.(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

1.2    Bahagian Akidah Islamiah
1.2 Bahagian pertama : Uluhiyat (ketuhanan)
1.2.1 Zat Allah
 Zat Allah Taala adalah lebih besar daripada segala perkara yang dapat digambarkan oleh akal manusia atau yang dapat digambarkan oleh akal manusia atau yang dapat dicapai oleh pemikiran manusia yang serba lemah dan serba kekurangan. Ini kerana walau setinggi mana sekalipun pencapaian manusia namun kekuatannya tetap terbatas dan tenaga yang ada padanya tetap terhad pada kadar yang tidak boleh dijangkauinya.
 Sekiranya beginilah keadaan kita (tidak dapat tahu hakikat) suatu benda yang dapat kita rasa dan kesan dengan pancaindera kita maka apatah lagi ilmu kita tentang zat Allah Taala. Oleh yang demikian itu Rasulullah s.a.w telah melarang kita daripada memikirkan tentang zat Allah. Sebaliknya, Baginda telah menyarankan supaya kita memikirkan tentang makhluk kejadian yang dapat dilihat pancaindera.
 Telah diriwayatkan daripada Ibn. Abbas r.a bahwa suatu kaum telah memikirkan tentang zat Allah, lalu Nabi s.a.w telah berkata:
Maksudnya : “Berfikirlah tentang kejadian Allah dan jangan berfikir tentang zat Allah, sesungguhnya kamu tidak akan berupaya melakukannya”.
(Hadith sahih makna tetapi sanadnya dikatakan dhaif)
 Seorang mukmin yang mempunyai akal yang matang hendaklah menumpukan perhatiannya kepada mencari dan mengesan kekuasaan dan keagungan Allah Taala dengan cara memerhatikan dan memikirkan makhluk kejadian-Nya dan meneliti kesan-kesan sifat-Nya yang terpampang di hadapan mata.
1.2.2 Nama-nama Allah Taala
 Sesunggunnya manusia yang telah dijadikan oleh Allah Taala akan dapat mengenal Allah dengan meneliti nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi-Nya. Adalah baik sekiranya seorang mukmin dapat menghafal nama-nama Allah untuk mengambil berkat dan mudah menyebutnya serta untuk memuliakannya.
Daripada Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mempunyai Sembilan puluh sembilan nama, satu lagi untuk mencukupi seratus yang mana tidak ada seorang yang memeliharanya/menghafalnya melainkan dia akan masuk syurga. Allah itu ganjil dan sukakan ganjil.
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
1.3    Di antara Sifat-sifat Allah Di Dalam Al-Quran

Wujud
Kewujudan alam semesta yang telah terbentang luas di hadapan mata manusia menunjukkan wujudnya Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Tinggi yang menjadikan dan mentadbirnya dengan baik tanpa berlaku kecuaian.

Firman Allah Taala :

Maksudnya: “Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian ia bersemayam di atas ‘Arasy dan ia memudahkan matahari dan bulan untuk faedah makhluk-makhluk-Nya: tiap-tiap satu daripada keduanya beredar untuk satu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan: ia menerangkan tanda-tanda kekuasaan-Nya satu persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu untuk menerima balasan. Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang terdiri kukuh serta sungai-sungai yang mengalir. Dan daripada tiap-tiap jenis buah-buahan, ia menjadikan pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir”. (Ar-Ra’du : 2-3)
2    & 3. Qidam dan Baqa’

Kewujudan Allah adalah tanpa permulaan dan asal usul serta tidak ada pengakhiranya.
Allah tidak mempunyai asal keturunan dan Dia juga tidak akan binasa.

Firman Allah Taala :

Maksudnya: “Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap sesuatu”. (Al-Hadid : 3 )

4. Bercanggahan dengan benda-benda baharu (makhluk)

 Kewujudan Allah adalah berlainan dengan sekelian makhluk dalam segenap segi. Tidak ada sesuatu pun yang menyamai kewujudan Allah. Tidak ada persamaan di antara Allah yang ‘menjadikan’ dan makhluk yang ‘dijadikan’.

Firman Allah :

Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”. (Al-Ikhlas)

5. Allah berdiri dengan sendiri.

 Allah tidak perlu kepada bantuan atau pertolongan orang lain kerana Dia menguasai segala-galanya.

Firman Allah :

Maksudnya : “Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya maka wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala perkara, sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.

 Allah tidak pernah meminta pertolongan orang lain dalam menjadikan makhluk.

Firman Allah Taala :

Maksudnya : “Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantu-ku menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu”. (Al-Kahfi : 51)


2.0 Alam Ghaib : Malaikat

2.1 Pengertian dan Dasar Iman kepada Malaikat

 Iman kepada malaikat ialah mempercayai bahawa Allah itu mempunyai suatu jenis makhluk yang bernama Malaikat, yang selalu taat kepadaNya dan mengerjakan dengan sebaik-baiknya tugas-tugas yang diberikan Allah kepada mereka.

 Yang menjadi dasar dari iman kepadanya Malaikat ini, ialah kepercayaan akan kebenaran wahyu al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi Muhammad SAW. Orang yang mengakui kebenaran Al-Quran dan Sabda-sabda Rasulullah, tentulah orang itu akan percaya pula bahawa Malaikat itu ada, sebabnya Malaikat diterangkan oleh dua sumber agama Islam.

2.2 Hakikat wujud Malaikat

 Menurut sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A Malaikat diciptakan Tuhan dari nur(cahaya), sedang Jin diciptakannya dari api. Dan sesuai dengan hal ini, maka mereka tidak makan dan minum. Juga mereka bukan berjenis-jenis laki-laki dan bukan pula berjenis wanita.

 Berbeza dengan manusia dan jin, Malaikat tidak ada yang maksiat atau durhaka kepada Tuhan. Mereka semuanya taat tanpa risau, mengerjakan dan mengabdi kepada apa saja yang diperintahkan oleh Allah.

Demikianlah diterangkan dalam Al-Quran Surah At-Tahrin ayat 6 :

Maksudnya : “Mereka tidak mendurhakai perintah-perintah Allah dan kerjakan segala apa saja yang diperintahkan kepada mereka”.

2.3 Malaikat Boleh Menjelma Dengan Berbagai Rupa

 Allah telah berfirman menceritakan penjelmaan malaikat dalam berbagai bentuk termasuk bentuk manusia.

Maksudnya : “Sesudahkah sampai kepadamu wahai Muhammad perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata : “Salam sejahtera kepada kamu!” Sambil berkata dalam hati, mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk yang dipanggang. Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata : “Silalah makan”. Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu, maka ia berasa takut keadaan mereka. Melihat kecemasannya, mereka berkata : “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim!”. Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan”…

 Ayat ini mengisahkan tentang malaikat yang berupa manusia telah mendatangi Ibrahim. Di dalam ayat lain Allah telah memberitahu Maryam bahawa malaikat yang datang kepadanya dalam bentuk manusia biasa :

Maksudnya : “Maka Kami hantarkan kepadanya Ruh dari Kami, lalu ia menyambar diri kepadanya sebagai seorang lelaki, yang sempurna bentuk kejadiannya”.

2.4 Sembahyang Para Malaikat

 Ada sebahagian malaikat yang sentiasa menunaikan sembahyang kepada Allah Taala dalam keadaan bersaf-saf.

Firman Allah :

Maksudnya : “Demi hamba-hamba-ku yang berbaris dengan berderet-deret hamba-hamba-ku yang melarang daripada kejahatan dengan sesungguh-sungguh hamba-hamba-ku yang membaca kandungan Kitab Suci; sumpah demi sumpah sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah satu.

 (Al-Saffat : 1-4)

 Di dalam ayat ini Allah telah bersumpah dengan menggunakan sebahagian malaikat yang sebahagian daripada mereka sentiasa sembahyang dalam saf menghadap Allah Taala.

 Baginda Rasulullah s.a.w telah menyebut di dalam sebuah hadith :

Maksudnya : “Tidak bolehkah kamu membuat saf sebagaimana para malaikat membuat saf di hadapan Tuhan mereka?.. Para sahabat bertanya : “Bagaimana para malaikat membuat saf di sisi Tuhan mereka?.. Baginda menjelaskan : “Mereka memenuhkan saf hadapan dan meluruskan saf”.

(Diriwayatkan oleh Muslim dan lainnya)



3.0 Beriman kepada Hari Akhirat serta Qada’ dan Qadar

Firman Allah Taala :

“Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”.

 (An-Nisa’ : 136)

Setiap manusia mempunyai empat peringkat kehidupan iaitu :

Peringkat pertama: Hidup dalam keadaan janin.

 Janin yang berada di dalam perut ibunya adakah suatu makhluk yang hidup, dapat gerak, merasai sakit, membesar dan sebagainya sehingga ia sampai pada satu tempoh yang telah ditetapkan baginya. Setelah melalui peringkat janin ini manusia akan menjalani peringkat bayi yang lemah dan tidak berupaya melakukan apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan oleh manusia dewasa.

Peringkat kedua: Hidup di alam dunia.

 Daripada kesempitan alam rahim, manusia akan berpindah kea lam yang luas terbentang. Di dunia ini manusia akan menjalani kehidupan yang berlainan dengan kehidupannya di dalam rahim sebelum ini. Di dunia ini manusia makan dengan menggunakan mulutnya sendiri, melihat dengan matanya sendiri, mendengar dengan telinganya sendiri, memukul dengan tangan dan berjalan dengan kakinya sendiri.

Peringkat ketiga: Kehidupan di alam barzakh.

 Apabila manusia mati, dia akan berpindah daripada dunia kepada kehidupan alam barzakh. Roh dan jasad akan terpisah. Di alam barzakh akan merasa azab atau nikmat sebagai balasan daripada amalannya di dunia.
 Alam barzakh merupakan alam pertama daripada alam akhirat yang berbagai peringkat. Keadaan alam barzakh adalah merangkumi keadaan dunia dan akhirat. Oleh itu, ada diriwayatkan bahawa penghuni alam barzakh dapat melihat kehidupan penduduk dunia dan penghuni akhirat.

Peringkat keempat: Kehidupan di Hari Akhirat.

 Setelah usia dunia tamat, maka akanbermulalah pula tempoh Hari Akhirat di mana semua manusia akan dibangkitkan semula dan akan dikumpulkan di padang Masyar dan akan dihisab mengikut pekerjaan yang telah dilakukannya di dunia dahulu. Di hal itu, manusia akan menerima balasan amalan mengikut timbangan baik atau jahat yang telah dilakukannya. Barang siapa yang melakukan amalan baik akan mendapat balasan nikmat dan bahagian, manakala siapa yang melakukan amalan jahat akan dibalas dengan azab derita.

3.1 Di Antara Alamat Hari Kiamat

1.     Perutusan Nabi Muhammad S.A.W
 Baginda pernah bersabda di dalam sebuah hadith :
 “Jarak aku dibangkitkan (sebagai rasul) dengan Hari Kiamat ialah seperti jari telunjuk dan jari tengah”

2.     Keluar Nyalaan Api
 Rasulullah s.a.w telah bersabda :
 “Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah keluar api daripada bumi Hijjaz (Semenanjung Tanah Arab) yang menerangi tengkuk unta Basrah.

3.     Wafat Nabi Muhammad dan pembebasan Baitul Maqdis
 Daripada Auf bin Malik r.a bahawa beliau telah berkata :
 “Aku telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w ketika peperangan Tabuk dengan memakai pakaian kulit”. Baginda telah berkata: “Hitunglah enam perkara yang akan berlaku apabila hampirnya Hari Kiamat iaitu kewafatanku, pembebasan Baitul Maqdis, kematian yang meragut kamu seperti ulat yang ada di kepala kambing ternakan lalu membunuhnya, kemudian harta yang melimpah ruah sehingga seorang lelaki telah diberi sebanyak seratus dinar tetapi ia masih marah, kemudian datang fitnah yang akan masuk ke dalam setiap buah rumah orang Arab tanpa terkecuali satu pun, kemudian berlaku perjanjian antara kamu dan Rom lalu mereka mengingkari perjanjian itu dan datang perjanjian antara kamu dan Rom lalu mereka mengingkari perjanjian itu dan datang menyerang kamu di bawah lapan puluh panji-panji ada dua belas ribu orang tentera”.


4.     Keluar Asap dan Ajal
Daripada Huzaifah al-Ghaffari telah berkata :
Rasulullah s.a.w telah muncul kepada kami ketika kami sedangkan berbincang lalu Baginda bertanya : “Apakah yang akan dibincangkan?”. Kami menjawab “Kami membincangkan Hari Kiamat”. Baginda berkata : “Sesungguhnya Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu dapat melihat dua belas perkara sebelumnya ia berlaku, lalu Baginda menyebut asap, dajal, binatang merayap, matahari terbit daripada sebelah Barat, turun Nabi Isa bin Maryam, muncul Yakjuj satu di barat dan satu lagi di Semenanjung Tanah Arab dan yang terakhirnya ialah api yang keluar daripada Yaman yang menghalau manusia ke padang Mahsyar”.




5.     Orang Islam memerangi orang Yahudi
 Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadith :
 “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah orang muslimin memerangi orang Yahudi di mana orang muslimin akan memerangi mereka sehingga Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Lalu batu dan pokok itu akan berkata : “Wahai muslim! Wahai hamba Allah! Di belakang aku ini ada orang Yahudi, marilah bunuh orang Yahudi ini”.

(Diriwayatkan oleh Muslim)

6.     Islam menjadi dagang
 Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadith :
 “Islam bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali menjadi dagang sepertimana ia bermula dan beruntunglah bagi orang yang dagang kerana berpegang dengan Islam”.
Baginda ditanya : “Siapakah dia orang yang beruntung itu wahai Rasulullah ?”.
Baginda menjawab: “Orang yang melakukan pengislahan ketika mana manusia lain sudah rosak”. (Di dalam riwayat yang lain : Iaitu mereka yang mengislahkan sunnah aku yang telah dirosakkan oleh manusia”.


7.     Muncul Imam Mahdi
 Telah masyhur pendapat daripada kalangan ulama’ salaf dan khalaf bahawa di akhir zaman nanti akan muncul seorang lelaki daripada kalangan ahli keluarga Rasulullah yang dinamakan sebagai al-mahdi yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam dan semua orang muslimin akan mengikutnya. Imam ini akan berlaku adil di kalangan muslimin dan akan menegakkan agam Islam. Selepas kemunculan Mahdi, akan muncul pula Dajjal dan kemudian akan turun pula Nabi Isa lalu membunuh Dajjal.

8.     Turun Nabi Isa a.s
 Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadith :
 “Demi Tuhan yang diri aku ada di dalam kekuasaan-Nya, akan turun kepada kamu ibn. Maryam sebagai hakim yang adil di kalangan kamu, lalu dia memecahkan salib, membunuh babi, melenyapkan jizyah (tidak menerima selain daripada Islam) dan harta melimpah ruah sehingga tidak ada lagi orang yang mahu menerimanya serta sekali sujud itu lebih baik daripada dunia dan segala isi yang ada dalamnya”.

9.     Matahari terbit daripada Barat
 Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadith :
 “Tanda Hari Kiamat yang pertama berlaku ialah terbitnya matahari daripada Barat dan keluarnya Dabbah kepada manusia pada waktu Dhuha. Tidak diketahui tanda yang mana satukah yang akan mendahului tanda yang lain. Namun jarak antara dua tanda itu adalah hampir”.

10.     Kiamat tidak akan berlaku kecuali ke atas makhluk yang paling jahat
 Di dalam sebuah hadith Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda :
“Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga tidak ada lagi orang di atas muka bumi yang berkata : Allah, Allah!”.

Di dalam riwayat yang lain Baginda telah bersabda :
“Tidak akan berlaku Hari Kiamat melainkan ke atas makhluk yang paling jahat”.

3.2 Qadha’

Bahasa: menghukum, menjadikan dan menjelaskan.

Firman Allah Taala :

“Allah jugalah yang menciptakan langit dan bumi dengan segala keindahannya; dan apabila ia berkehendak untuk menjadikan sesuatu, maka ia hanya berfirman kepadanya: “jadilah engkau!”. Lalu menjadilah ia.

 (Al-Baqarah : 17)

Perbuatan Allah menjadikan alam semesta dan mentadbirnya mengikut ketetapan yang telah ditetap-Nya dinamakan sebagai Qadha’.

Terbit dan terbenamnya matahari mengikut peraturan yang telah ditetapkan merupakan Qadha’.

Turun hujan dari awan merupakan Qadha’. Tumbuhnya tanaman mengikut sunnah alam merupakan Qadha’.

Masuknya orang-orang yang beriman ke dalam syurga merupakan Qadha’ dan masuknya orang-orang kafir ke dalam neraka juga merupakan Qadha’.

3.3 Qadar

Bahasa: ketentuan atau peraturan

Syarak: Allah Taala telah menetapkan satu ketentuan bagi sesuatu perkara semenjak daripada azali. Allah mengetahui bahawa ia akan berlaku pada waktu yang tertentu, dalam bentuk tertentu dan akan berlaku mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh Allah Taala.

Di dalam sebuah hadith menyebut bahawa orang kafir Quraisy telah datang kepada Rasulullah s.a.w untuk berdialog dengan Baginda berkenaan dengan wadar lalu Allah menurunkan ayat:

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat di dunia dan di akhirat pula mereka berada dalam api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka dengan tertiarap atas muka, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah kamu bakaran api neraka”. Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan”.

 (Al-Qamar : 47-49)


Semua manusia akan dipermudahkan berjalan mengikut Qadar yang telah ditetapkan.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w duduk ditangannya ada sebatang kayu digunakan untuk mencungkil tanah, lalu Baginda mengangkat kepalanya dan berkata: Tidak ada seorang pun daripada kalangan kamu melainkan telah diketahui tempat tinggalnya samada di dalam neraka atau syurga. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Kalau begitu mengapa kami perlu beramal. Tidak bolehkah kami berserah kepada qadar Allah sahaja? Baginda menjawab: Beramallah, setiap kamu dipermudahkan beramal mengikut qadar yang telah ditetapkan. Kemudian Baginda membaca firman Allah:

“Maka barang siapa yang menafkahkan hartanya dan bertaqwa serta membenarkan Hari Akhirat maka Kami akan mempermudahkan baginya untuk beramal menuju ke syurga. Manakala orang yang bakhil dan sombong serta mendusta Hari Akhirat maka Kami akan mempermudahkan baginya ke jalan neraka”. (Hadith diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)



Tidak boleh bertelagah di dalam masalah Qadar.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a beliau telah berkata: Rasulullah s.a.w telah keluar kepada kami dan pada waktu itu kami sedang bertengkar tentang qadar, lalu Baginda marah sehingga mukanya merah seolah-olah di kedua belah pipinya ada buah delima (mukanya merah kerana terlalu marah) lalu Baginda berkata: Adakah ini yang aku suruh? Atau adakah aku diutuskan kepada kau kerana perkara ini? Aku tegaskan kepada kamu supaya tidak bertelagah dalam perkara qadar.

Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam sebuah hadith :

“Seseorang hamba itu tidak beriman sehingga dia beriman dengan qadar baik dan buruk Allah dan sehingga dia tidak tahu bahawa musibat yang menimpanya bukanlah untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukanlah untuk menimpakan musibah ke atasnya”. (Diriwayatkan oleh Tarmizi)

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh ibn Mas’ud r.w Rasulullah telah bersabda:

“Apabila disebut qadar maka hendaklah kamu diam”. (Diriwayatkan oleh Tabrani)

4.3 Kesan beriman kepada Qadha’ dan Qadar

Beriman kepada Qadha’ dan Qadar Allah akan memberi faedah yang besar kepada kehidupan orang beriman. Allah Taala telah menjadikan manusia dengan citarasa suka kepada kehidupan, mahupun perhiasan dunia, amat cenderung mendapatkan manfaat untuk dirinya, tidak suka serta keluh kesah apabila ditimpa kesakitan atau musibah.

Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir sekali”.

 (Al-Ma’arij : 19-21)
Sebaik-baik jalan untuk mengelakkan manusia daripada berlagak sombong dan berlaku zalim apabila mendapat kebaikan serta tidak terlalu dukacita apabila ditimpa musibah ialah beriman bahawa segala yang berlaku pada dirinya telah ditentukan takdirnya oleh Allah dan ia berlaku adalah dibawah kehendak Allah sendiri.
Firman Allah Taala :
“Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya, Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikannya kepada kamu. Dan Allah tidak suka setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”.
 (Al-Hadid : 22-23)

Orang yang beriman dengan qada’ Allah merupakan seorang yang bersifat pemurah tidak bakhil, berani tidak penakut kerana dia beriktikad bahawa dia tidak akan ditimpa kekayaan atau kemiskinan, susah atau senang dan hidup atau mati melainkan mengikut qadar yang telah ditetapkan oleh Allah. Mukmin itu akan melaksanakan tugasnya dalam kehidupan dengan sebaik mungkin, dia tidak takut melainkan kepada Allah dan tidak mengharapkan balasan lain selain rahmat dan keredhaan Allah.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com