Menghargai Masa

Oleh : NUR FARAH HANI FARIZ BINTI JAAFAR

Imam Ghazali meninggalkan beberapa nasihat kepada anak muridnya. Beliau berkata, semoga Allah memanjangkan umur anak muridnya yang taat kepadaNYA dan dipimpin Allah ke jalan mereka yang diredhaiNYA. Kebanyakkan nasihat yang diberi itu diambil dari sumber risalah Nabi Muhammad S.A.W.

Menghargai Masa
Antara nasihat Rasulullah S.A.W ialah menghargai waktu. Tanda Allah telah berpaling daripada seseorang itu adalah apabila dia membuang waktu dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Sedang mereka yang telah berumur lebih dari empat puluh tahun tetapi kebaikannya di dunia tidak dapat mengatasi kejahatan, maka orang itu harus bersiap sedia untuk masuk ke neraka. Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran, fikirlah apa yang terkandung dalam nasihat itu.
Nasihat itu mudah untuk kita perolehi, tetapi susah untuk menerimanya, kerana hawa nafsu sangat menyukai perkara–perkara yang dilarang dan ditegah dengan membuang masa hanya untuk hal-hal duniawi yang lagha. Dalam hal duniawi terdapat keselamatan dan kebahagian, keperluan untuk amal ukhrawi tidak dititikberatkan. Ini merupakan kepercayaan filosofi-filosofi dunia yang tidak berasas. Rasulullah S.A.W bersabda ; “mereka yang menanggung seksa berat pada hari akhirat merupakan mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmu itu dengan sebaik mungkin”.

Ilmu dan Amal
Selain itu, pesanan beliau adalah jangan hidup miskin amal dan hilang kemahuan bekerja. Yakin bahawa sekiranya dengan ilmu semata-mata, tidak dapat menyelamatkan. Setiap ilmu yang diperolehi hendaklah diamalkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya tidak diamalkan, maka tidaklah mendatangkan sebarang faedah kepada seseorang individu itu.
Jika duduk seratus tahun untuk menuntut ilmu dan dikumpul seribu buah buku sekalipun, tetapi tidak menerima rahmat Allah melainkan dengan beramal ke atasnya.
Beliau juga menasihati, jika mereka tidak beramal, mereka tidak akan peroleh pahala. Menurut satu kisah, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil yang telah beribadat kepada Allah selama tujuh puluh tahun. Allah mengutuskan Malaikat kepada lelaki itu dengan membawa khabar berita : lelaki itu tidak layak masuk syurga dengan ibadatnya. Semasa khabar itu sampai kepadanya, dia berkata “ Allah menjadikan mereka bangsa untuk beribadat, maka hendaklah dia beribadat kepada Allah S.W.T. Sekembalinya Malaikat itu, dia berkata, Allah lebih mengetahui apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Maka dengan sifat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni, Allah telah mengampuni kesalahan lelaki itu kerana dia tidak berpaling daripada beribadat kepada Allah.
Ilmu yang tidak diamalkan itu namanya gila, dan amal yang tidak menggunakan ilmu itu adalah sia-sia. Hanya dengan ilmu, tidak dapat menghindari seseorang itu daripada melakukan maksiat dan tidak dapat memelihara mereka daripada neraka jahanam. Jika tidak disusuli dengan amal serta kelalaian masa lalu, pada hari kiamat nanti mereka akan meminta Allah S.W.T untuk kembalikan mereka ke dunia semula untuk berbuat amal soleh. Dan permintaan itu tidak akan dipertimbangkan.
Diriwayatkan, bahawa sahabat-sahabat R. A menyebut nama ‘Abdullah Ibn ‘Umar kepada Rasulullah S.A.W. Nabi berkata : “Orang yang baik sekali ialah orang yang mengerjakan sembahyang ditengah malam” Rasulullah telah berkata kepada salah seorang sahabat : “Hai Anu ! Janganlah banyak tidur di waktu malam, hal demikian orang menjadi miskin dan fakir di hari kiamat”
Selain itu, diperintahkan kita untuk menggunakan sebahagian malam supaya mengerjakan ibadat kepada Allah. Hal demikian bermaksud, mereka yang mengerjakan ibadat solat menjelang subuh adalah untuk memohon keampunan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Mereka ini, terdiri dalam kalangan mereka yang bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Terdapat tiga jenis suara yang disukai oleh Allah S.W.T. Antaranya adalah suara ayam berkokok di waktu hampir subuh, suara hamba yang membaca Al-Quran, dan suara hamba yang memohon keampunan menjelang subuh. Sufyan Tsauri ada berkata bahawasanya dijadikan angin yang berhembus diwaktu subuh dengan membawa zikir dan istighfar kepada Allah Al-Malikil Jabbar.
Katanya lagi, apabila menjelang malam, maka penyeru di bawah ‘Arash menyeru “Bangkitlah wahai ahli ibadat !” Maka mereka bangun dan bersembahyang sekadar yang Allah S.W.T kehendaki. Seterusnya, diseru pada pertengahan malam “Bangkitlah wahai kaum yang taat !” Maka mereka bangun dan bersembahyang sampai menjelang subuh. Waktu itu diseru pula “Bangkitlah wahai orang yang mengharapkan keampunan” Maka mereka bangkit dan memohon keampunan daripada Allah. Apabila fajar terbit, diseru lagi “Bangkitlah wahai golongan yang hidup dalam kelalaian !” Maka mereka bangun daripada tidur sebagaimana mayat yang dibangkitkan daripada kubur.
Sari ‘ilmu adalah mengetahui sedalam-dalamnya apa makna “taat” dan “ibadat”. Taat dan ibadat bermaksud tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T dalam melakukan perintahNya dan meninggalkan laranganNya dengan perbuatan dan perkataan. Maksudnya, segala perkara yang kita katakan dan kita lakukan atau tinggalkan, hendaklah mengikut hukum syarak. Sekiranya ilmu dan amal yang tidak mengikut hokum syarak adalah sesat.
Adalah amat malang jika seseorang itu tidak menjaga lidah dan hati mereka daripada kelalaian dan keinginan terhadap sesuatu yang bukan hak mereka. Hendaklah kita memerangi nafsu itu dengan berjihad ke jalan Allah agar kita dapat hidup dengan nur ma’rifat (pengetahuan).

Hatim bin Asam merupakan salah seorang daripada sahabat Syaqiq al Balchi. Pada suatu hari beliau bertanya kepada sahabatnya, Hatim, apakah si Hatim itu telah perolehi selama tiga puluh tahun bersahabat dengannya. Si Hatim berkata : “Aku telah peroleh lapan ilmu yang berfaedah, dan itu sudah memadai bagiku, kerana aku berharap agar keselamatan dan kebahagianku tersimpan dalamnya”. Syaqiq bertanya : “ Apakah ia ?” Hatim berkata antara lapan perkara itu adalah :
•    Pertama, dia terpandang makhluk-makhluk yang ramai dan menyaksikan bahawa setiap daripada mereka mempunyai kekasih. Sebahagian daripada kekasih mereka hanya menemani ketika mana mereka sakit yang membawa mati ; dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi kubur. Tetapi hakikatnya mereka akan kembali ditinggalkan terbaring seorang diri kerana tidak ada seorang pun daripada kekasih mereka akan masuk bersama-sama ke dalam kubur. Maka Hatim pun terfikir, kekasihnya yang utama adalah yang ikut masuk ke dalam kubur, yang tidak dapat dia perolehi selain daripada amal soleh. Dia menjadikan amal soleh itu sebagai pelita yang menerangi kuburnya, menghiburkan dan tidak akan meninggalkan dia seorang diri.
•    Kedua, dia melihat makhluk yang mengikut hawa dan kehendak nafsunya. Dia perhatikan firman Allah : “Ada pun mereka yang merasa takut terhadap Tuhannya, akan ditahan nafsunya daripada berkeinginan yang bukan-bukan, sesungguhnya syurga itu menjadi tempatnya” (Surah An-Naz 40-41). Dia amat yakin terhadap kebenaran Al-Quran, tidak ada yang silap. Hal demikian, segera dia melawan dan berjihad menentang nafsunya.
•    Ketiga, dia dapat melihat kebanyakan manusia membanting tulang empat kerat dalam mengejar kebendaan duniawi. Dia merenung firman Allah : “Apa yang kamu perolehi di dunia itu akan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal selamanya”. (Surah An-Nahal : 96) Jadi harta simpanannya dikeluarkan dan dibahagikan kepada fakir miskin, untuk mencari keredhaan Allah supaya amal solehnya menjadi bekalan di sisi Allah.
•    Keempat, dia dapat melihat sebahagian manusia sibuk membezakan darjat dan status kehidupan social mereka dengan orang lain. Menganggap kemuliaan dan ketinggian darjat seseorang itu terletak pada nama dan kekayaan seseorang individu itu. Jadi dia berfikir sedalam-dalamnya firman Allah ; “Yang utama di sisi Allah S.W.T ialah ketaqwaan” (Al-Hurajat : 13). Jadi Hatim bin Asam memilih taqwa dan dia amat yakin bahawa Al-Quran itu benar dan anggapan manusia sedemikian tidak berasas.
•    Kelima, dia melihat manusia yang suka mencela dan mengumpat orang lain. Punca utama berlaku perkara sedemikian ialah apabila melibatkan harta, pengaruh dan kepandaian. Maka dia sekali lagi berfikir tentang firman Allah ; “Allah yang mengatur pembahagian kehidupan hambanya di dunia” (Az-Zuchruf : 32) Jadi wajarlah dia tidak berlaku dengki terhadap orang lain, dan menerima dengan redha ketentuan daripada Allah.
•    Keenam, dia melihat manusia memusuhi antara satu sama lain kerana pelbagai sebab. Dia merenung firman Allah ; “Syaitan itu musuh manusia, maka pandanglah ia sebagai musuh” (Fathir : 6) Sesungguhnya manusia tidak sepatutnya bermusuh sesame manusia selain daripada memusuhi syaitan.
•    Ketujuh, dia melihat setiap hari manusia berusaha bersungguh-sungguh membanting tulang untuk mencari rezeki dan keperluan hidup secara berlebihan hingga mereka jatuh syubhat dan menjerumus diri kepada kemungkaran. Dia memikir lagi firman Allah ; “Tidak satu pun haiwan di bumi ini tidak bergantung rezekinya kepada Allah” (Hud : 6) Ketahuilah bahawa rezeki itu dating daripada Allah S.W.T. dan Allah telah menjamin perkara itu.
•    Kelapan, dia melihat setiap orang menyandarkan nasibnya kepada sesuatu benda yang Allah jadikan sebagai makhluk. Antaranya ialah bersandar kepada dunia, wang, harta benda dan jugak kepada makhluk seperti mereka juga. Maka Allah berfirman ; “Sesiapa yang bertawaqal kepada Allah, sudah memadai bagi mereka, mereka tidak berkehendak selain daripada Allah”. (At-Thalaq :3) Maka dia pun bertawaqal kepada Allah kerana hanya Allah. S.W.T. yang boleh menerima hajatnya dan Allah Maha Besar.
Setelah mendengar yang diperkatakan oleh Hatim bin Asam, Syaqiq seraya berkata ; “Semoga Allah S.W.T memberimu taufiq. Aku telah memerhatikan Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran. Aku melihat Kitab-kitab Suci itu mengandungi kelapan-lapan perkata tersebut. Sesiapa yang mengamalkan perkara-perkara tersebut, maka dia telah mengamalkan keempat-empat kitab itu”.

Menempuh Jalan yang Haq
    Imam Al-Ghazali menerangkan kepada anak muridnya tentang keperluan bagi seseorang itu untuk menempuh jalan yang haq. Seseorang itu memerlukan seorang penuntun dan pendidik supaya akhlak yang tidak baik dijauhi dan yang budi pekerti yang baik itu diterapkan dalam diri. Dan amat penting jika seseorang itu hendak menempuh ke jalan Allah mempunyai guru yang akan mengajarnya ke jalan Allah. Hal demikian, Allah telah mengutuskan seorang Rasul untuk menuntun hambaNya ke jalan yang lurus.
    Imam Al-Ghazali ditanya oleh anak muridnya tentang tasauwuf. Dia berkata, tasauwuf itu ada dua cabang. Yang pertama ialah istiqamah dalam menjaga kedudukan diri berhadapan dengan makhluk Allah. Sesiapa yang menjaga diri dan budinya terhadap orang lain serta menjaga pergaulannya, maka dia mempunyai sifat tasauwuf yakni sufi. Istiqamah juga dikatakan menebus sesuatu kebaikan diri dengan melakukan kebaikan kepada orang lain dan tidak memaksa mereka untuk mengikut kehendak diri, melainkan memaksa diri sendiri menurut kehendak orang lain selagi mereka tidak melanggar hukum syarak
    Anak murid beliau bertanya pula tentang “ubidiyyah”. Ubidiyyah bermaksud menghambakan diri kepada Allah. Merangkumi tiga perkara, iaitu menjaga perintah Allah dengan bersungguh-sungguh. Kedua, redha dengan qadha dan qadar serta pembahagian rezeki yang ditentukan Allah. Dan yang ketiga ialah menghadirkan hati dalam menuntut keredhaan Allah.
    Selain itu, beliau juga turut ditanya berkenaan dengan “tawakal”. Tawakal ialah meningkatkan kepercayaan terhadap Allah tentang apa yang dijanjikan. Maksudnya, sekiranya Allah telah takdirkan sesuatu milik kita, maka ianya tetap akan menjadi milik kita walaupun sesuatu benda itu berusaha untuk memalingkannya daripada kita, begitu juga sebaliknya.
    Akhir sekali beliau ditanya tentang “ikhlas” yang bermaksud segala amal hanyalah kerana Allah semata-mata. Hati tidak akan menjadi tenang kerana pujian orang dan tidak merasa tergoda kerana celaan mereka.
    Ketahuilah bahawa “riak” itu lahir apabila sesuatu perkara itu diperbesarkan. Dan ubatnya tidak lain tidak bukan, hendaklah kita memandang makhluk lain itu tunduk dibawah kekuasaan Allah, dan kita anggaplah semuanya itu sebagai benda yang tidak bernyawa. Imam al-Ghazali berpesan supaya mengamalkan apa yang ditanya agar terbuka jalan kearah perkara yang belum diketahui.
    Jika kita berjalan mengembara, nescaya kita dapat melihat kejadian dan ciptaan Allah. Beliau berkata ; korbankanlah dirimu, kerana perkara utama ialah pengorbanan diri, seperti mana yang telah dikatakan oleh Zun-Nun Al-Misri ra. Kepada anak muridnya “ Sekiranya engkau berani korbankan diri, marilah, dan sekiranya tidak, janganlah engkau membuang masa dengan kebiasaan cara tasauuwuf yang kosong”.
  
    Imam Al-Ghazali memberi lapan nasihat supaya anak muridnya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menerima azab Allah S.W.T, empat perkara hendaklah diamalkan dan empat lagi hendaklah dijauhi.
    Antara perka yang perlu dijauhi ialah janganlah kita bertengkar tentang sesuatu masalah kerana perbuatan sebegitu akan mengundang bencana ; perkara ini mempunyai kesan yang besar. Oleh kerana ianya terjadi daripada sifat riak, dengki, takbur dendam, permusuhan dan sebagainya.
    Kedua pula ialah, kembali kepada pokok perkara yang perlu ditinggalkan. Jaga diri dan jauhi diri daripada hanya menasihati semata-mata tanpa mengamalkan apa yang dinasihati.
    Perkara ketiga yang perlu dijauhi ialah bergaul dengan mereka yang dalam kalangan amir dan sultan yang fasik, kerana melihat dan bercampur dengan mereka merupakan satu musibah yang besar. Hendaklah meninggalkan perbuatan sedemikian yang memuji dan mengangkat nama mereka. Allah tidak menyukai golongan fasik dan zalim dipuji dan diangkat nama mereka.
    Perkara yang terakhir perlu engkau jauhi ialah, tidak menerima walau sedikit pun pemberian hadiah amir dan sultan, sekalipun ianya daripada sumber yang halal. Kerana perbuatan ini boleh merosakkan agama.
    Manakala empat perkara yang patut dilakukan dengan bersungguh-sungguh ialah mengatur muamalat berhadapan dengan Allah swt, seperti seorang budak yang sedang menjalankan muamalatnya dengan sebaik mungkin.
    Kedua pula, melakukan sesuatu perkara yang berhubungan dengan orang lain, hendakalah dilakukan dengan seikhlas hati. Kerana tidak sempurna iman sesorang itu, hingga ia ikhlas dan redha dengan apa yang dilakukan untuk orang lain.
Yang ketiga, apabila mempelajari atau mendalami sesuatu ilmu, hendaklah menuntut ilmu yang meluruskan hati dan membersihkan diri. Jika sudah mengetahui umur hanya tinggal sepekan sahaja lagi, Hendaklah kita bersungguh-sungguh menjaga hati dan memenuhi hati dengan mencintai Allah dan beribadat kepadaNya.
Yang terakhir sekali, tidak mengumpul harta kekayaan dunia lebih daripada keperluan setahun, sepertimana Rasulullah S.A.W. lakukan untuk isterinya dan baginda berdoa “Ya Allah, jadikanlah makan minum keluarga Muhammad sekadar cukup sahaja" Maka Allah menyediakan keperluan isteri-isteri baginda yang berhati sederhana.

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com