Kemanisan Iman

OLEH :SITI HAJAR AISYAH BINTI HALIM
BAB 1 : IMAN YANG KITA MAKSUDKAN

KESEMPURNAAN ALLAH TAALA
Kita mesti beriman kepada kewujudan Allah dan keesaan-Nya serta beriman bahawa Allah yang bersifat dengan sifat kesempurnaan yang layak dengan zat-Nya yang mulia dan suci dari segala sifat kekurangan.

Maksudnya :“Dia tidak beranak dan Dia pulak tidak diperanakkan dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.” (Surah al-Ikhlas:3-4)

Firman-Nya lagi:Maksudnya : “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (zat-Nya,sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”(Surah al-Syura:11)


Bukti keesaan Allah Taala ialah alam semesta yang indah dan mengandungi pelbagai kejadian yang indah dan menakjubkan.Kesempurnaan Allah dapat dirasai oleh fitrah semulajadi manusia yang bersih.Dialah Allah S.W.T yang Maha Mengetahui,tidak ada sesuatupun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

Firman-Nya:Maksudnya : “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib,tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di daratdan di laut.Dan tidak gugur sehelai daun melainkan Dia mengetahuinya dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering melainkan (semuanya) ada tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.”  (Surah al-An’am:59)


Dialah yang berkuasa dan melakukan apa yang dikehendaki-Nya.Dia tidak boleh dikalahkan oleh sesuatu pun dan tidak ada sesuatu pun yang dapat menahan kehendak-Nya.

Maksudnya :“Maha berkat (seta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat).Dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”(Surah al-Mulk:1)

Dialah Tuhan yang Maha Bijaksana yang tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia,tidak membiarkan sesuatu terbiar, tidak mengadakansatu-satu perbuatan dan tidak merancang sesuatu melainkan ada rahsia-rahsia indah yang diketahui oleh sesiapa yang mengetahuinyadan tidak diketahui oleh sesiapa yang sengaja menjahilkan dirinya.

Inilah yang telah diakui oleh para malaikat di mala’ al-A’la dan juga diakui oleh para nabi,wali dan hamba-hamba-Nya yang menggunakan akal.

Tuhan dalam Islam tidak terasing dari alam semesta dan makhluk yang terdapat di dalamnya.Sesungguhnya Tuhan yang digambarkan oleh ahli falsafah Aristotle dan Yunan tidak menjadikan alam ini dari tiada, malahan alam menurut mereka adalah azali,tidak baru dan bukan dijadikan.

Tuhan yang diasingkan dari alam semesta yang diperkenalkan oleh fikiran Yunani dan berpindah menjadi moden barat, tuhan yang tidak diketahui oleh Islam.

Maksudnya :“Islam hanya mengetahui tuhan yang sebenarnya ialah: ‘Yang menciptakan bumi dan langit.Itulah al-Rahman yang bersemayam di atas Arasy. Dialah yang memili segala yang ada di langit dan bumi, yang ada diantara
kedua-duanya dan juga di bawah tanah yang basah di perut bumi. Jika engkau menyaringkan suara doa permohonanmu itu (maka tidak perlu) kerana Allah mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. Allah tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia,bagi-Nya segala nama yang baik.’ ” (Surah Taha:4-8)

BERIMAN KEPADA KENABIAN

Beriman kepada kenabian merupakan cabang beriman kepada kepada kesempurnaan Allah, hikmah, rahmat, penjagaan-Nya ke atas dunia, pentadbiran-Nya terhadap alam serta kemuliaan yang diberikannya kepada manusia.

Adalah menjadi suatu hikmah yang lengkap Allah menunjukkan bagi manusia jalan ke akhirat sebagaimana Dia telah menunjukkan jalan kehidupan dunia dan menyediakan bekalan rohani sebagaimana Dia telah menyediakan bekalan kebendaan serta menurunkan wahyu dari langit untuk menghidupkan hati dan akal sebagaimana ia menurunkan air dari langit untuk menghidupkan bumi yang mati.

Satu bukti Allah mengutuskan para rasul dengan ajaran-ajaran untuk mengajak manusia kepada Allah dan menegakkan ciri-ciri keadilan di kalangan hamba-Nya.Oleh itu para rasul hairan terhadap kaum-kaum yang tidak menerima kedatangan mereka bagi menyampaikan perintah dan larangan Allah. Nabi Nuh a.s berkata :

Maksudnya :“wahai kaumku, tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang rasul dari Tuhan sekalian alam. Tugasku menyampaikan kepada kamu peritah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu sedangkan aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melaui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat.”
 (Surah al-A’raf:61-63)

Al-Quran menurunkan jawapan Allah kepada orang Musyrikin yangh ingkar akan kerasulan Muhammad s.a.w.:

Maksudnya :“Tidakkah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang beriman bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi tuhan mereka”. Berkatalah orang yang berasa hairan itu : “Sebenarnya al-Quran ini ialah sihir yang terang dan nyata.”
 (Surah Yunus:2)



Beriman kepada kenabian dan kerasulan mengandungi berbagai-bagai makna.

1.    Beriman kepada hikmah Allah yang amat tinggi (bernilai) dan rahmat-Nya yang amat luas. Maka hikmah al-Hakim dan rahmat al-Rahim memutuskan supaya manusia tidak ditinggalkan terbiar. Mereka tidak akan diazab sebelum disampaikan kepada mereka perintah-perintah Allah, berita gembira dan amaran dan tidak akan dibiarkan mereka semua dibaham oleh persengketaan sesame sendiri tanpa ada hakim untuk mengadu:

Maksudnya :“Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan).”
 (Surah al-Qiamah:36)


Firman-Nya lagi:

Maksudnya :“Dan tiadalah kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
 (Surah al-Isra’:15)


Maksudnya :“Maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga) dan memberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka). Dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang benar, untuk menjalankan hokum antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan.”
 (Surah al-Baqarah:213)

2.    Beriman kepada nabi ertinya ialah beriman kepada satu agama di sisi Allah. Sesungguhnya agama Allah di semua tempat dan zaman adalah sama dan tidak berubah sekalipun sistem dan perundangannya berubah dengan sebab berlainan zaman.

Maksudnya : “Katakanlah (wahai orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil) dan kepada apa-apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka.Kami tidak membeza-bezakannya dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk dan taat) kepada Allah semata-mata.”
 (Surah al-Baqarah:136)


Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu, antara perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah dan berselisihan pada dasarnya.”Berat bagi orang musyrik yang engkau seru mereka kepadanya.Allah memilih serta mendorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agam tauhid itu dan memberi petunjuk kepada agama-Nya iaitu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).”
 (Surah al-Syura:13)

3.    Beriman kepada nabi ertinya beriman kepada contoh tauladan yang tinggi dan telah menjadikan pekerti mulia dan amalan soleh sebagai satu kenyataan dan reality yang dapat dilihat oleh manusia. Ia bukannya semata-mata buah fikiran yang berlegar di dalam kepala atau cita-cita yang ada dalam diri seseorang, atau teori-teori di dalam buku dan atas kertas. Allah telah menjadikan rasul dalam kalangan manusia dan bukan malaikat yang lain jenisnya. Manusia tidak boleh didakwa di akhirat kelak melainkan mengutuskan rasul dari kalangan mereka. Orang musyrikin menolak rasul yang dilantik dari kalangan manusia. Mereka berkata sejak dari zaman Nabi Nuh lagi:

Maksudnya :“Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang rasul) tentulah Dia menurunkan malaikat menjadi rasul-Nya.”
 (Surah al-Mukminun:24)

Pada zaman Nabi Muhammad pula mereka berkata:

Maksudnya :“Mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutuskan seorang manusia menjadi rasul?”
 (Surah al-Isra’:94)

Allah menjawab kata-kata mereka dengan firman-Nya:

Maksudnya :“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau ada di bumi malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka dari langit malaikat yang menjadi rasul.”
 (Surah al-Isra’:95)

Para nabi dalam pandangan al-Qur’an bukanlah tuhan, bukan separuh tuhan dan bukan anak tuhan.Mereka adalah manusia seperti kita.Allah telah menganugerahkan kepada mereka nikmat wahyu supaya mereka menyampaikan risalah Allah kepada manusia.

Maksudnya :Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kami tiadalah kuasa membawa kamu sebarang bukti melainkan dengan izin Allah. Dan yang demikian, maka kepada Allah jualah orang beriman berserah diri.”
 (Surah Ibrahim:11)

Beriman kepada hari akhirat
Apakah rahsia perasaan manusia yang merasakan bahawa ia di dunia ini sebagai seorang dagang atau pearantau atau sebagai tetamu yang hampir kembali ke tempat kediaman kakal abadi?

Inilah perasaan yang dapat kita lihat pada orang Mesir purba.Mereka telah membubuh ubat pada mayat sebagai menyahut seruan perasaan halus itu. Mereka membina piramid dan sesuatu yang dapat disaksikan oleh banyak bangsa dengan pelbagai cara.

Syeikh Muhammad Abduh berkata: “Manusia sependapat sama ada mereka yang menyembah Allah atau menyembah api,sama ada mereka itu nabi atau ahli falsafah, kecuali segelintir dari mereka yang tidak bersetuju bahawa nyawa manusia mempunyai hak kekal hidup selepas berpisah dari tubuh badan dan ia tidak mati dengan erti binasa. Mati yang pasti ialah hilang dan lesap dari dunia. Mereka berselisih pendapat dalam membuat gambaran keabadian itu dan di mana ia akan berlaku! Pelbagai sumber bukti dan dalil yang mereka gunakan dalam menyokong pendapat masing-masing. Ada yang berpendapat mati dan hidup akan berlaku secara berterusan pada manusia dan binatang. Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa nyawa itu bergantung dengan tubuh badan yang lebih halus dari tubuh badan yang dapat dilihat.

Perasaan bahawa ada kehidupan selepas kehidupan ini yang dirasakan oleh setiap jiwa sama ada yang alim atau jahil, yang moden atau mundur, yang tinggal di Bandar atau di kampong, dahulu atau sekarang ini tidak boleh dikatakan satu andaian akal atau tanggapan kosong. Akal mendapat ilham bahawa umur yang pendek bukanlah tempat terakhir insan dalam kewujudan tetapi insan meninggalkan tubuh badan seperti menanggalkan baju dari tubuh badan kemudian dia hidup pula dalam alam lain walau pun dia tidak tahu bentuk kehidupan itu.

Semua ini tidak boleh diterima oleh akal yang beriman kepada keadilan Tuhan yang satu. Malah ia menuntut diadakan dunia lain dimana orang yang melakukan kebaikan dibalas dengan kebaikan dan yang melakukan kejahatan dibalas dengan kejahatan. Inilah yang dilafazkan oleh fitrah setiap makhluk di langit dan di bumi.

Firman-Nya

Maksudnya :“Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya secara main-main. Tidaklah Kami menciptakan keduanya melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar.Akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat itu.Sesungguhnya hari pemutusan hokum untuk memberi balasan ialah masa untuk mereka semua berhimpun.”
 (Surah al-Dukhan:38-40)
Firman-Nya lagi:

Maksudnya :“Patutkah orang yang melakukan kejahatan bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang yang beriman dan beramal soleh dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati?
Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu. Dan ingatlah Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang telah mereka kerjakan (baik atau jahat) sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”
 (Surah al-Jathiah:21-22)

Menhidupkan semula orang yang telah mati bukanlah perkara yang sukar bagi Tuhan yang telah menjadikan mereka buat kali pertama.

Firman-Nya:

Maksudnya :“Dan Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya(hidup semula sesudah meraka mati). Sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagi-Nya.Dan bagi-Nyalah juga sifat yang tertinggi di langit dan di bumi dan Dialah jugayang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Rum:27)

Selepas dibangkit dari kubur mereka, berlakulah hisab yang teliti dan timbangan yang adil (tepat).

Firman-Nya:

Maksudnya :“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya, tidak ada huku yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabnya.”
 (Surah al-Mukmin:17)
Disana manusia terbahagi kepada dua iaitu kumpulan yang celaka dan kumpulan yang bahagia.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya :“Adapun orang yang celaka maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ hanyalah suara memekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakinya. Adapun orang yang berbahagia maka syurgalah tempatnya, mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberi nikmat yang tidak putus-putus.”
 (Surah al-Hud:105-107)

Syurga adalah tempat kediaman yang disediakan Allah untuk membalas
hamba-hamba-Nya yang mengerjakan amalan soleh. Allah menyediakan di dalamnya nikmat-nikmat kerohaian dan kebendaan seperti yang dinyatakan Allah dalam hadith Qudsi yang bermaksud: “Aku menyediakan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.”

Firman Allah Taala:

Maksudnya :“Maka tidak ada seorang pun yang mengatahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka yang amat indah dipandang dan menggembirakan sebagai balasan bagi amalan-amalan soleh yang telah mereka kerjakan.”
 (Surah al-Sajdah:17)

Neraka pula disediakan oleh Allah S.W.T untuk menghukum makhluk-makhluk yang melakukan kerosakan dan kezaliman.

Firman-Nya:

Maksudnya :“Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka merasa azab sengsara itu.”
 (Surah al-Nisa’:56)




BAB2 : CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN AKIDAH ISLAMIAH

AKIDAH YANG JELAS
Akidah Islamiah mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak terdapat pada akidah-akidah lain. Akidah Islam dapat diringkaskan bahawa disebalik alam yang indah, kemas dan tersusun ini ada Tuhan yang Esa telah menjadikan, menyusun dan mentadbir sesuatu dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya :“Bahkan Dialah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.”
 (Surah al-Baqarah:116)

Akidah Islamiah merupakan satu akidah yang jelas dan dapat diterima oleh akal.
Dalam akidah Islam tidak ada kerumitan dan kesamaran sebagaimana yang terdapat dalam akidah triniti atau penyembah berhala yang penganutnya sentiasa berpegang kepada kata-kata yang masyhur di kalangan orang bukan Islam: “Beriktikadlah dalam keadaaan anda buta.”

AKIDAH YANG SESUAI DENGAN FITRAH
Akidah Islam adalah satu akidah yang tidak asing dan tidak bertentangan dengan fitrah. Malah ia bertepatan sekali seperti tepatnya anak kunci dengan ibu kuncinya.
Ditegaskan oleh al-Qur’an:

Maksudnya : “Setelah jelas kesedaran syirik itu, maka hadapkanlah dirimu (engkau dengan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersediadari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum:30)

Hakikat ini juga ditegaskan oleh hadith:

Maksudnya :“Setiap bayi dilahirkan atas fitrah (atas bentuk Islam). Sesungguhnya kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Hadith ini menunjukkan bahawa Islam adalah fitrah Allah dan tidak perlu kepada pengaruh ibubapa.Manskala agama-agama lain seperti Yahudu, Nasrani dan Majusi semuanya terhasil daripada pengaruh dan tunjuk ajar ibubapa.


AKIDAH YANG TIDAK BERUBAH
Akidah tauhid ialah satu akidah yang mutlak dan tetap, tidak menerima penambahan dan kekurangan, perubahan atau gantian. Setiap tambahan atau pindaan tertolak sama sekali. Nabi s.a.w. bersabda:

Maksudnya :“Sesiapa yang melakukan sesuatu pada agama kita apa yang bukan berasal daripadanya maka ia tertolak (tidak diterima).”

Al-Qur’an pula mencemuh perbuatan menokok tambah ini:

Maksudnya :“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”
 (Surah al-Syura:21)

Maka dengan ini segala bid’ah, dongengan dan khurafat yang diselitkan di dalam setengah-setengah kitab-kitab orang Islam atau disebarkan di kalangan orang Islam adalah batil, tertolak dan tidak diakui oleh Islam serta tidak boleh dijadikan hujah.

BAB3 :KESAN IMAN DALAM KEHIDUPAN INDIVIDU

KEDUDUKAN MANUSIA DI SISI ALLAH
Banyak ayat dan surah al-Qur’anmenerangkan bahawa manusia hampir kepada Allah dan Allah hampir kepada manusia.Konsep manusia dekat kepada Allah telah menghapuskan dongengan orang yang mengatakan ada pertengahan antara Tuhan dengan manusia yang mencari rezeki menggunakan agama dan menjadikan diri mereka sebagai dinding di hadapan pintu rahmat Allah yang luas.Allah mengetahui bahawa mereka pembohong.
Firman Allah dalam al-Qur’an:

Maksudnya : “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”
 (Surah al-Baqarah:186)

Firman-Nya:

Maksudnya :“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka kemana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka arah itulah yang diredhai Allah.”
 (Surah al-Baqarah:115)

Rasulullah memperkuat pengertian ini dalam sabda baginda tentang Tuhannya:

“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku, Aku ada bersamanya ketika dia
mengingat-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam
diri-Ku. Jika ia mengingat-Ku di hadapan orang ramai, Aku mengingatinya juga di hadapan orang ramai yang lebih ramai darinya. Jika ia hampir kepada-Ku seinci maka aku hampir kepadanya satu hasta. Jika ia menghampirkan diri kepada-Ku sejauh satu hasta nescaya Aku menhampirkan diri-Ku padanya sejauh satu depa, sekiranya ia datang kepada-Ku berjalan nescaya Aku datang kepadanya berlari.”

Inilah kedudukan manusia di sisi Allah.

KEDUDUKAN MANUSIA DI MALA’ILA A’LA
Kedudukan manusia di alam Mala’ila a’la iaitu alam roh yang tinggi adalah kedudukan yang dicita-citakan oleh para malaikat tetapi tidak diberikan oleh Allah.Sesungguhnya makhluk yang dipilih oleh Allah untuk memegang jawatan ini (Khalifah Allah di muka bumi) adalah manusia.
Firman-Nya

Maksudnya :“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (ya Tuhan kami hendak menjadikan di bumi itu) orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih
memuji-Mudan mensucikan-Mu. “Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yangkamu tidak mengetahuinya.”Dan Dia mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengatahui, lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Wahai Adam terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.”
Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka,
Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui segala apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”
 (Surah al-Baqarah:30-33)

SesungguhnyaAllah mahu memuliakan, memberikan penghormatan dan menampakkan kedudukan manusia di alam roh.Oleh itu Allah memerintahkan malaikat supaya memberi hormat kepada makhluk baru itu, menyambutnya dengan tunduk sebagai tanda membesar dan memuliakannya.

Ssesungguhnya iblis telah mengingkari perintah Tuhannya supaya memberi penghormatan kepada manusia. Rasa hasad dan cemburu telah mendorong ia menolak dan angkuh. Oleh itu ia masuk ke dalam makhluk-makhluk yang kafir. Iblis telah mengambil sikap mencabar dan bermusuhan dengan manusia.

BAB4 : IMAN DAN KETENANGAN JIWA

TIADA KETENANGAN TANPA IMAN
Inilah yang disaksikan oleh realiti, disokong oleh sejarah dan dirasakan oleh semua orang yang bijak pada dirinya dan orang disekitarnya.Kehidupan telah mengajar kita bahawa kebanyakan orang yang bimbang, gelisah dan yang merasa dirinya tiada berguna ialah mereka yang tidak memiliki nikmat iman dan yakin.

Sesungguhnya kehidupan mereka tiada makna walaupun penuh dengan kelazatan dan hiburan kerana mereka tidak merasakan erti hidup, tidak tahu matlamatnya dan tidak nampak rahsianya.Ketenangan merupakan antara buah dari pohon iman dan pokok tauhid yang baik yang mengeluarkan buahnya setiap masa dengan izin tuhannya.

Ketenangan telah menguasai hati Rasulullah pada hari baginda berhijrah.Tidak sedikitpun baginda disentuh oleh kebimbangan atau dukacita.Tidak sedikitpun baginda dikongkong oleh ketakutan.Hatinya tidak diusapi dengan keraguan atau kebimbangan. Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya :“Maka sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) ketika mereka berlindung dalam gua ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah bersama kita.”
 (Surah al-Taubah:40)

Sahabatnya al-Siddiq telah dikuasai oleh perasaan dukacita dan kasihan, bukan pada dirinya atau nyawanya tetapi pada diri Rasulullah, malahan pada nasib Rasulullah, hingga dia berkata sedangkan pada ketika itu musuh sedang meninjau ke dalam gua: “Wahai Rasulullah, jika salah seorang dari mereka melihat melalui celah kelangkangnya nescaya dia akan melihat kita.” Rasulullah bersabda untuk menerangkan bahawa ketika kita berdua ini Allah adalah yang ketiga?”

Ketenangan ini adalah roh daripada Allah, cahay yang mententeramkan orang yang takut dan bimbang, menghiburkan orang yang duka, menguatkan orang yang lemah, dan mengilhamkan petunjuk bagi orang yang sedang bingung.

MANUSIA MUKMIN HIDUP BERSAMA-SAMA PARA NABI DAN SIDDIQIN
Insan mukmin tidak merasakan bahawa ia terpencil daripada saudara-saudaranya yang mukmin. Mereka itu walaupun tidak bersamanya di tempat kerja atau masjid atau rumah, tetapi mereka itu sentiasa bersamanya dalam hati kecil, fikiran dan batinnya. Apabila dia sembahyang, walaupun seorang diri, dia menyebut atas nama mereka; “kepadamu kami menyembah dan kepadamu kami memohon pertolongan.” Apabila berdoa ia berdoa bagi pihak mereka: “tunjukkan kami jalan yang benar.” Apabila dia menyebut dirinya, dia turut menyebut mereka: “Sejahtera atas kami dan hamba-hambanya yang soleh.” Dia hidup bersama-sama semua mukmin walaupun mereka berjauhan dan berlainan masa dan tahun.Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya :“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.”
 (Surah al-Hasyr:10)

Manusia mukmin merasakan dengan iman dan amalan solehnya dia hidup bersama para Nabi dan Rasul-Rasul yang Muqarrabbin, juga bersama Siddiqqin, Syuhada’ dan orang soleh dari setiap umat dan dari setiap masa. Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya :“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka iaitu nabi-nabi dan orang yang siddiqqin dan orang yang syahid serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).”
 (Surah al-Nisa’:69)

Manusia jangan menyangka bahawa bersama dengan para mukmin itu suatu perkara yang remeh atau suatu khayalan kosong, kerana ada perbezaan besar antara sejarah peribadi dan sejarah keluarga atau kumpulan seseorang manusia dengan sejarah manusia berdasarkan iman dan petunjuk semenjak zaman Nabi Adam.

BAB5 : IMAN DAN HARAPAN

PERTALIAN ANTARA PUTUA ASA DENGAN KUFUR
Bukanlah sesuatu perkara yang menghairankan jika didapati ramai manusia yang berputus asa datangnya dari kalangan orang yang tidak mengakui adanya Allah, mereka hanya hidup dengan diri mereka sendiri sahaja.Mereka mendakwa mereka memutuskan hubungan dengan alam semesta dan pentadbirnya.Maka tidak hairanlah bila kita dapati orang-orang kafir merupakan manusia yang paling berputus asa, sebagaimana juga kita dapati bahawa orang yang berputus asa adalah manusia yang paling kufur.

Putus asa melahirkan kufur manakala kufur melahirkan putus asa. Firman Allah:

Maksudnya :“Sesungguhnya tidak putus asa dari rahmat Allah melainkan orang kafir.”
 (Surah Yusuf:87)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya :“Siapakah yang putus asa dari rahmat Tuhannya selain dari orang yang sesat.”
 (Surah al-Hijr:56)

Putus asa dan kecewa ini terserlah dengan jelas apabila berlaku kesusahan dan ketika menghadapi mala petaka.Al-Qur’an mencemuh berkali-kali manusia seperti ini.
Firman-Nya:

Maksudnya :“Demi sesungguhnya jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, dia sangat-sangat berputus asa, lagi sangat-sangat tidak bersyukur.”
 (Surah Hud:9)

Kemudian Allah mengecualikan golongan mukmin daripada kumpulan ini.
Firman-Nya:

Maksudnya :“Kecuali orang yang sabar dan mengerjakan amal yang soleh.”
 (Surah Hud:11)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya :“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.”
 (Surah al-Isra’:83)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya :“Dan kalau dia ditmpa kesusahanmaka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapannya.”
 (Surah Fussilat:49)

Putus asa bukan setakat sifat kufur, tetapi ia juga menjadi sifat orang yang ragu kepada Allah. Setiap orang yang hilang keyakinan yang mutlak terhadap Allah dan pertemuan dengan-Nya di hari akhirat, kebijaksanaan dan keadilan-Nya, sesungguhnya ia telah disekat daripada memperolehi harapan dan pandangan optimis terhadap manusia, alam semesta dan kehidupan.Ia hidup dan memandang dunia dengan memakai cermain hitam gelap. Ia melihat bumi sebagai hutan, manusia sebagai binatang buas manakala hidup sebagai satu beban yang tidak tertanggung. Seperti yang dikatakan oleh Abu Ala’; “Inilah jenayah yang dilakukan oleh bapaku keatas aku, sedang saya tidak menganiaya sesiapa.” Katanya lagi;

“Jangan ditangisi si mati dan jangan gembira dengan kelahiran, si mati untuk ulat dan si bayi juga untuk santapan ulat.”

BAB6 :IMAN DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT

Batasan antara individu dengan masyarakat adalah bersepadu dan berkait.Masyarakat itu sendiri adalah gabungan beberapa individu yang mempunyai hubungan dan kepentingan bersama.Setiap usaha yang dicurahkan untuk membentuk individu yang soleh adalah amalan asas untuk membina masyarakat yang soleh.

Jika kita lihat kesan iman dalam kehidupan individu yang lampau, kita dapati bahawa individu yang merasakan nikmat ketenangan dan ketenteraman hidup, merasakan nikmat redha, menghidup bayu harapan dan hidup dibawah lembayung kasih-sayang yang luas, berassa mulia dan bermaruah merupakan manusia yang berkualiti, dan bahan yang sesuai untuk pembentukan masyarakat yang sihat.

Musibah paling teruk yang meninpa masyarakat ialah setiap orang berkata: “Ini hak aku” dan tidak berkata: “Ini kewajipanku”. Perkataan ‘milik aku’ banyak dalam dirinya tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Setiap orang melihat dirinya dengan bangga dan takbur. Manakala pandangannya terhadap orang lain penuh dengan rasa memperendah dan menghina.

Musibah seperti ini akan menyebabkan manusia lupa hakikat dirinya sendidiri, hilang rasa maruah dirinya serta lupa terhadap kekuatan dan nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya. Ketika itu padamlah semangat galakn yang murni dan dorongan yang baik.
Dia hanya merasakan kelemahan, kekerdilan, kekurangan, kekosongan dan perasaan-perasaan yang boleh membunuh individu seterusnya meruntuhkan institusi masyarakat.

Jika begitu, mesti ada garis pertengahan yang dipatuhi setiap individu. Dengan itu dia dapat merasakan kewujudan diri dan maruahnya sebagai manusia tanpa perlu mengorbankan diri dan maruah orang lain. Dengan itu ahli masyarakat sama-sama bekerja, mara menuju haluan yang satu dengan berganding bahu, tolong-menolong atas dasar kebaikan dan taqwa serta berpegang kepada kebenaran dan kesabaran.

Masyarakat perlu kepada garis sempadan yang boleh mengawal hubungan dan pergaulan sesama mereka. Dengan itu kemahuan tidak akan mengatasi akal, kekuatan tidak akan mengatasi kebenaran, nafsu tidak akan mengatasi kewajipan dan kepentingan peribadi tidak akan mengatasi kepentingan umum.


Garis sempadan ini tidak akan berperanan tanpa kawalan akhlak yang didorong oleh jiwa dan berpunca dari sanubari. Kerana itu setiap pembinaan, pengislahan atau perubahan masyarakat yang tidak dibina atas dasar pengislahan jiwa, kesedaran hati dan didikan akhlak seperti bangunan yang dibina di atas timbunan pasir.

Firman Allah:

Maksudnya :“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib satu-satu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d:11)

BAB 7 : IMAN DAN KEKUATAN

SUMBER KEKUATAN DI SISI MUKMIN IALAH BERIMAN KEPADA ALLAH
Insan mukmin adalah seorang yang kuat kerana sumber kekuatannya dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar yang diimaninya, berserah kepada-Nya, dan beriktikad bahawa Dia ada bersama-samanya di mana sahaja dia dia berada. Mukmin meyakini bahawa Allah adalah penolong kepada orang mukmin dan Tuhan yang mengecewakan orang yang menderhaka. Firman-Nya:

Maksudnya : “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa lagi Bijaksana.”
(Surah al-Anfal:49)

Allah Maha Berkuasa. Dia tidak akan mengecewakan orang yang bertawakkal
kepada-Nya. Dia Maha Bijaksana, tidak akan mengabaikan sesiapa yang berlindung dengan kebijaksanaan-Nya dan pentadbiran-Nya. Firman Allah:

Maksudnya :“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah itu. Dan ingatlah kepada Allah jua hendaklah orang beriman itu berserah diri.”
 (Surah ali-Imran:160)

Bertawakkal kepada Allah yang merupakan antara hasil dari keimanan bukanlah membawa erti berserah diri tanpa usaha atau malas berusaha.Tawakkal membawa erti yang unggul dan dapat memenuhi jiwa yang membekalkan insan mukmin dengan kekuatan berusaha, memenuhkan jiwanya dengan semangat menyahut cabaran dan bertahan dan menajamkan azam yang jitu dan kehendak yang kuat.

Al-Qur’an telah menceritakan kepada kita kesan bertawakkal ini di dalam jiwa-jiwa para rasul Allah terhadap musuh Allah. Nabi Allah Hud dalam pertarungannya dengan kaumnya ‘Aad mendapati bertawakkal kepada Allah sebagai kubu yang kuat dan tempat berlindung ketika terancam.

Firman Allah:

Maksudnya :“Kata mereka: “Wahai Hud, anda tidak membawa apa-apa keterangan kepada kami, dan kami tidak akan meninggalkan tuhan kamu dengan sebab kata-kata kamu dan kami tidak beriman kepadamu. Apa yang hendak kami katakana kepadamu ialah Tuhan kami telah mengenakan suatu penyakit gila kepadamu.” Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya aku memohon Allah menjadi saksi tentang kebenaranku dan kamu juga saksilah bahawa aku bersih dari perbuatan syirikmu, menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah semua tipu helah kamu semua terhadapku kemudian jalankanlah terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu.Tidak ada seekor binatang pun melainkan Dialah yang mengawalnya.Sesungguhnya Tuhanku berada diatas jalan yang lurus.”
 (Surah Hud:53-56)

Nabi Allah Shuib dalam menghadapi kaumnya yang cuba menetang dan mengugut telah bertawakkal kepada Allah.
Firman Allah:

Maksudnya :“Ketua-ketua yang sombong dan takabur dari kaum Shuib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Shuib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini atau kamu berpindah kepada agama kami.” Nabu Shuib menjawab: “Adakah kamu hendak melakukan yang demikian sekalipun kami tidak menyukainya, sesungguhnya kami telah berdusta terhadap Allah jika kami berpindah kepada agamamu, sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali kecuali jika Allah Tuhan kami mengkehendakinya.tuhan kami meliputi setiap sesuatu, hanya kepada Allah kami berserah,”
 (Surah al-A’raf:88-89)

Para Rasul semuanya mencari perlindungan dengan menyerah diri kepada Allah terhadap kedegilan dan keingkaran kaum mereka. Firman Allah:

Maksudnya :“Bagaimana kami tidak berserah kepada Allah sedangkan Dia sudah menunjukkan ke jalan benar,dan kami akan bersabar terhadap kesakitan yang kamu lakukan terhadap kami. Dan hanya kepada Allah orang mukmin menyerah dirinya.”
 (Surah Ibrahim:12)




************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com