99 Sifat Manusia berpandukan asma al husna

99 SIFAT MANUSIABERPANDUKAN ASMA UL HUSNA

SINOPSIS
Peribadi mulia menjadi perhiasan yang indah pada umat islam. Ia memerlukan bimbingan dan dorongan yang sempurna agar tidak karam ditelan zaman. Tanpa bimbingan, hidup insan akan hanyut dibawa arus khayalan dan menjadikan hidupnya terdampar di pulau ketandusan. Sifat yang didorong dan dibimbing dengan sempurna akan melahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap Pencipta iaitu Allah Yang Maha Esa. Cahaya yang terang akan menyuluh kehidupan, seterusnya membawa diri hamper ke laman syurga. Sifat yang mulia adalah sifat yang berpandukan kepada Asma ul-Husna.Itulah acuan yang paling sempurna dan dituntut dalam agama.
Allah SWT adalah Zat yang menjadikan sekalian makhluk daripada tiada kepada ada.Allah SWT juga wujud secara kekal dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Kuasa.Dengan perkataan ‘Allah’, ramai manusia yang mendapat petunjuk dan ramai juga diantara mereka yang sesat. Golongan yang akan binasa ialah mereka yang mempertikaikan kewujudan Allah atau menafikannya. Golongan yang selamat pula adalah mereka yang tidak menafikannya sama ada secara aqli mahupun naqli. Kewujudan Allah inilah yang telah menciptakan segala yang ada di langit atau bumi dan semua yang diciptakanNya pasti akan binasa. Hanya kewujudan Allah saja yang kekal, tidak binasa dan tidak mampu dijangkal oleh akal kita kerana erti dan makna Allah itu sangat luas.Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui tentang diriNya.Oleh itu, sifat Allah yang Maha Luas tidak dapat disamakan dengan sifat manusia yang terhad dan sempit.
PENDAHULUAN

*SIFAT MANUSIA YANG BERIMAN*
Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa menentukan kewujudan Allah dalam diri kita ialah melihat kepada kebinasaan dan ketiadaan kita yang asalnya tiada dan akhirnya juga tiada.Oleh sebab itulah nabi dan rasul diutus oleh Allah untuk memastikan manusia terus menghadap dan menyembah Allah SWT. Ertinya kita beriman dan mengakui wujudnya Allah bukan sekadar pengakuan lisan atau akal semata-mata, tetapi ia merupakan pengakuan amal, hati dan seluruh anggota tubuh. Misalnya, seorang lelaki bertanya kepada Hasan Basri dengan berkata “wahai Abu Said, adakah engkau merupakan seorang yang beriman kepada Allah?” maka Hasan Basri menjawab: “ Jika engkau bertanya kepadaku tentang iman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitabNya, para rasul, syurga neraka, hari kebangkitan dan pembalasan, maka aku memang beriman kepada semua itu. Jika engkau menyoalku mengenai maksud firman Allah SWT dalam ayat 2 surah al-Anfaal yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadilah mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Maka aku tidak tahu sama ada aku termasuk dalam golongan ini ataupun tidak”.Jika Hasan Basri sendiri merupakan seorang alim lagi abid merasa perkara ini sukar dipastikan, apatah lagi kita yang kerap kali terjerumus ke dalam lembah dosa.Pengakuan wujudnya Allahadalah merupakan pengakuan yang menyuluruh dari seluruh unsur tubuh badan kita iaitu rohani dan jasmani.Ini membawa pengertian kepada bentuk keimanan yang sempurna, iaitu rasa takut dan gementar apabila kita mengingati kebesaran Allah. Suatu hari nanti kita semua akan kembali kepadaNya untuk dipertanggungjawabkan seluruh perbuatan kita semasa di dunia. Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia yang pertama ialah beriman kepada kewujudan Allah dan merasai keimanan dalam diri yang berupa kesucian beramal, keikhlasan ibadah dan berserah diri sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.

ISI-ISI PENTING
Sifat Allah yang pertama ialah Ar-Rahman yang bermaksud, Allah mempunyai sifat Maha Pemurah dan Pengasih kepada semua hambaNya di dunia.Ar-Rahman adalah sifat Allah yang mengingatkan manusia terhadap rahmatNya. Tanpa rahmat Allah, semua makhluk dan benda yang ada di langit dan bumi pasti akan binasa. Ar.Rahman juga merupakan sumber kekuatan dalam kehidupan manusia dan juga makhluk lain. Dari itu, apabila manusia ingin mempraktikkan sifat ini dalam kehidupan mereka, dia hendaklah mempunyai sifat yang ikhlas dalam memberi kasih sayang ataupun sebarang pemberian lain.
Sifat manusia yang kedua dengan berpandukan Asma ul-Husna ialah bersifat Ar-Rahim bererti Allah SWT mempunyai sifat Maha Penyayang kepada orang-orang Mukmin.Ar-Rahim diturunkan daripada rahmah, kasih dan sayang.Rahmah melambangkan keselamatan orang yang menerimanya daripada sebarang kerugian dan kehilangan serta merahmati mereka dengan petunjuk, keampunan dan hidayah yang benar.Ar-Rahim juga merupakan sifat Allah yang paling tinggi di sisi makhluk. Hanya dengan sifat itu sahajalah manusia akan selamat daripada kebinasaan dalam api neraka. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “ Barangsiapa yang tidak ada rasa kasih sayang terhadap sesama manusia, maka dia tercabut daripada rahmat Allah ”.
Merujuk kepada perkara berikut, maka sifat manusia yang ketiga berpandukan Asma ul-Husna ialah Al-Malik bererti Maha Memerintah iaitu Allah mempunyai kerajaan dan pemerintahan.Ia juga bermaksud Maha Raja Yang Maha Tinggi. Al-Malik juga bermaksud ‘Penguasa di Hari Pembalasan’.Ianya juga disebut dengan ‘Malikul-Mulk’ yang bererti Allah yang mempunyai kerajaan dan kekuasaan. Maka sifat manusia yang sama dengan Al-Mulk ialah bersifat memimpin dan mentadbir sesuai dengan maksud hadith Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Setiap kamu adalah pemimpin”.
Al-Quddus pula berertiAllah yang Maha Suci daripada segala apa yang disifatkan kepadaNya, iaitu segala perumpamaan ataupun ibarat yang dicetuskan oleh fikiran manusia. Al-Quddus adalah sifat Allah yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, imaginasi, fikiran, akal dan sebagainya.Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘quds’ iaitu kesucian ataupun kebersihan.Syurga juga disebut sebagai ‘qudus’ kerana ia bebas daripada penderitaan kehidupan manusia.Allah telah menjelaskan diriNya sebagai Raja Yang Maha Suci dimana Dia telah berfirman “Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai sekalian alam, Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Jumu’ah:1). Merujuk perkara tersebut, sifat manusia berpandukan Al-Quddus ialah bersifat suci dan bersih daripada segala kekotoran, dosa dan maksiat sama ada yang kecil atau besar.
As-Salam pula bererti Allah Maha Selamat Sejahtera daripada segala kekurangan dan ketidaksempurnaan.Sifat-sifatNya bebas dari sebarang kelemahan perbuatanNya juga jauh daripada sebarang keburukan.As-Salam juga merupakan salah satu nama syurga iaitu ‘Dar as-Salam’ bererti tempat yang aman damai. Sifat manusia pula berdasarkan As-Salam ialah bersifat selamat dan sejahtera, iaitu sentiasa menyebarkan kedamaian dan kesejahteraan dimana saja mereka berada.
Al-Mukmin bererti Allah Yang Maha Memiliki Keamanan dan kedamaian. Apabila kita mengatakan bahawa Allah memberi hambaNya keamanan terhadap sesuatuyang mereka takuti, maka ia bererti keamanan dalam kehidupan di akhirat kelak. Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia berpandukan Al-Mukmin ialah bersifat aman damai, iaitu semua aktiviti dan perbuatan memberi rasa aman kepada dirinya mahupun alam sekitar.
Al-Muhaimin bererti Allah Yang Sangat Menyintai dan Maha Memelihara.Dialah Zat yang mengawasi perbuatan, memberi rezeki dan menentukan kehidupan kita.Dengan demikian, Allah memiliki sepenuhnya kuasa di alam ini. Jika Allah tidak bersifat dengan sifat Al-Muhaimin, pasti alam ini akan rosak binasa kerana Allah tidak menyintai dan memeliharanya dari segala unsur yang boleh membinasakan. Maka sifat manusia melalui Al-Muhaimin ialah bersifat saling menyintai dan menjaga keamanan dengan sentiasa memelihara diri dan alam sekitar daripada sesuatu yang merosak dan membinasakan.
Al-Aziz bererti Allah Maha Perkasa yang memiliki segala kekuatan dan kejayaan, pengangkatan dan tidak tunduk.Al-Aziz adalah satu-satunya Zat yang memiliki semua kemuliaan dan keperkasaan.Merujuk perkara tersebut, sifat manusia yang berpandukan Al-Aziz ialah bersifat kuat dan perkasa, terutamanya dalam sebarang bentuk ketaatan kepada Allah SWT.Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa Mukmin yang kuat dan perkasa lebih disukai oleh Allah.
Al-Jabbar bererti Allah Yang Maha Memaksa.Ianya berasal daripada perkataan ‘jabr’ bermakna pemulihan yang kuat atas sesuatu yang pecah, retak, jatuh, hancur dan lain-lain.Al-Jabbar juga bererti besar dan agung. Dia lah satu-satunya Zat yang mengelokkan apa yang rosak dan menyembuhkan orang yang lumpuh, miskin dan dalam kesusahan. Imam Ahmad pernah menyebutkan bahawa manusia sememangnya dibekalkan dengan sifat ‘memaksa’ supaya ia dapat hidup di bumi.
Al-Mutakabbir bererti Allah yang Maha Besar dan Maha Memiliki Kemegahan.Ia tidak dapat diatasi oleh mana-mana pun makhlukNya yang lain. Allah terlalu agung dan tidak memiliki sebarang kekurangan.Sifat manusia berpandukan Al-Mutakabbir ialah bersifat megah iaitu tidak menghina diri dan tunduk kepada sebarang tekanan yang berunsur kebatilan.Imam Syafie mengatakan, manusia yang hebat adalah yang membuktikan dirinya besar dan agung dengan sebab mengamalkan Islam dan membuang sifat-sifat jahiliyyah.
Al-Khaliq bererti Allah Maha Mencipta.Ianya berasal dari perkataan ‘khalq’ iaitu menciptakan.Allah adalah Zat yang menciptakan segala sesuatu setelah ketiadaan mereka.Maka sifat manusia berdasarkan Al-Khaliq ialah bersifat mempunyai wawasan dan inovasi, berfikiran kreatif dan sentiasa memikirkan perkara-perkara baru yang menjadi kemajuan tamadun manusia.
Al-Bari’ bereti Allah Maha Merancang. “Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk Yang Mengadakan, Yang Membentuk rupa makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya.” (surah Al-Hasyr:24). Sifat manusia yang berpandukan Al-Bari’ ialah mempunyai perancangan dan program kerja untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Al-Musawwir bererti Allah Maha Membentuk.Al-Musawwir adalah Zat yang membentuk, memberi sesuatu bentuk dan wujud.Bentuk umum manusia berbeza daripada bukan manusia.Allah Menciptakan bentuk dan rupa yang Dia kehendaki.Dia yang memperelokkan mereka menurut kebijaksanaanNya dan memberikan segala rupa bentuk yang khusus.Sifat manusia menurut Al-Musawwir pula ialah mempunyai bentuk yang indah serta perangai dan akhlak yang baik.
Al-Ghaffar adalah salah satu sifat Allah yang bererti Allah Maha Pengampun dan bersifat Maha Mengampuni.Dia memberi manusia kurniaan dan ampunanNya.Dialah Zat yang mengampuni segala dosa, menutupi kekurangan dan mengikis dosa-dosa tersebut dengan menerima taubat hamba-hambaNya. Manakala sifat manusia berpandukan Al-Ghaffar ialah suka memaafkan kesalahan seseorang dan meringankan beban penderitaan orang lain.
Al-Qahhar bererti Allah Maha Menundukkan.Allah mampu menunduk, menakluk, dan mendapatkan kemenangan.Sesungguhnya Allah memiliki kekuasaan keatas semua makhluk.Tanpa kekuasaanNya, semua yang wujud tidak mampu mengatur sendiri kehidupan.Berdasarkan sifat manusia melalui Al-Qahhar ialah dengan menundukkan diri serta nafsu.Dia harus memandang nafsunya sebagai musuh sekaligus dapat mengalahkan kekuasaan syaitan keatas dirinya.
Al-Wahhab bererti Allah Maha Pemberi dan berkuasa sepenuhnya terhadap pemberianNya.Allah meberi tanpa merasa bosan.Dia melimpahkan kurniaNya kepada para hamba tanpa mempunyai maksud tertentu. Sifat manusia yang suka memberi dan membantu tanpa sebarang kepentingan dan balasan daripada apa yang diberi adalah berpandukan Al-Wahhab.
Ar-Razzaq bererti Allah Maha Pemberi Rezeki.Ada dua jenis rezeki yang diberikan oleh Allah iaitu rezeki tubuh iaitu makanan dan minuman.Yang kedua ialah rezeki jiwa iaitu pengetahuan atau inspirasi sejati. Rezeki yang kedua ini adalah yang terbaik kerana ia bersifat kekal. Sesungguhnya kurniaan Allah tiada hadnya, malah ia meliputi seluruh makhluk dan planet yang ada. Ar-Razzaq adalah sifat yang perlu ada dalam diri manusia dengan mengamalkan sifat suka berinfak, sedekah, zakat dan membantu golongan yang lemah.
Al-Fattah bermaksud Allah Maha Pemberi Keputusan atau Maha Membuka Khazanah Rahmat.Dia adalah Zat yang memutuskan diantara orang-orang yang Dia ciptakan, para hambaNya yang taat mahupun hambaNya yang derhaka.Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia yang perlu pada Al-Fattah ialah mendorong supaya melakukan segala unsur kebaikan untuk kemenangan dan kejayaan dunia akhirat.
 Al-Alim bererti Allah Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang benar dan tanpa had. Sesungguhnya ilmu Allah meliputi segala sesuatu bahkan sebelum ia diwujudkan. Dialah Zat yang ilmuNya serba meliputi sama ada yang ghaib, nyata, kecil mahupun besar. Sifat manusia yang berpandukan Al-Alim ialah alim, arif dan berilmu dengan rahmat yang diberikan oleh Allah iaitu akal fikiran.
Al-Qabid bererti Allah Maha Menyempitkan hidup, rezeki dan mengurangkan bagi orang yang ingin disempitkan. Al-Qabidadalah Zat yang menjadikan jiwa atau roh dicabut daripada tubuh-tubuh mereka. Al-Qabid juga sebagai Zat menguasai hati, memisahkan mereka melalui ilmu dan melalui pengawasan mereka sendiri. Maka sifat manusia berdasarkan Al-Qabid ialah mempunyai batas atau had dari segi ilmu, rezeki dan umur.
Al-Basit bererti Allah Maha Melapangkan segala sesuatu.Al-Basit adalah Zat yang memuaskan jiwa dengan menjadikan mereka bahagia dan puas.Maka sifat manusia dengan berpandukan Al-Basit ialah mempunyai sifat lapang dada dan redha.
Al-Khafid bererti Allah Maha Menghina, Maha Merendahkan dan Maha Menurunkan.Al-Khafid adalah Zat yang merendahkan para penindas dan penguasa yang zalim.Allah SWT menurunkan kedudukan dan menghina mereka.Dia merendahkannya sesuai dengan kemahuanNya.sifat manusia berpandukan Al-Khafid ialah bersikap merendah diri (tawaduk).Sikap tawaduk merupakan sifat sebenar hamba Allah.
Ar-Rafi’ bererti Allah Maha Tinggi dan Maha Meninggikan seperti meninggikan kebenaran, mengangkat orang-orang yang beriman dengan memberi mereka kebahagiaan.Allah juga mengangkat para kekasihNya di kalangan orang-orang yang beriman dengan lebih hampir kepada diriNya.Sifat manusia berdasarkan Ar-Rafi’ ialah bersikap mengangkat dan meninggikan kebenaran (al-haq).Orang-orang yang dikurniakan nikmat melalui sifat Allah ini ialah orang-orang yang dapat menakluk serta menawan keinginan dan kecenderungan hawa nafsunya yang buruk dan tercela.
Al-Mu’izz bererti Allah Maha Memberi Kemuliaan, Kemenangan dan Pertolongan kepada sesiapa sahaja dikendakiNya diantara semua hambaNya.Dia juga memuliakan orang-orang yang mentaatiNya sekalipun mereka miskin dan meninggikan kedudukan seorang hamba yang soleh sekalipun dia seorang hamba yang hitam. Sifat manusia berpandukan Al-Mu’izz ialah bersikap mulia, menang dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi sama ada urusan dunia mahupun akhirat.
Al-Muzill bererti Allah Maha Merendahkan atau Maha Menghina.Dialah Zat yang menghina musuh-musuh secara adil ketika mereka menderhaka dan memberontak terhadap perintahNya. Dia menghina, menolak serta memberikan seksaan setimpal dengan apa yang mereka lakukan. Merujuk perkara tersebut, sifat manusia menurut Al-Muzill ialah bersikap menghina dan merendahkan kemahuan hawa nafsunya yang buruk dan tercela.
As-Sami’ bererti Allah Maha Mendengar segala sesuatu yang ada tanpa menggunakan daya pendengaran atau bantuan alat mendengar.pendengaranNya meliputi segala sesuatu seperti Dia mendengar permohonan doa orang yang tertindas, menjawab munajat orang yang berhajat, mendengar puji-pujian orang yang memujiNya dan Dia membalas serta memberi pertolongan kepada mereka. Sifat manusia menurut As-Sami’ ialah bersikap mendengar segala arahan dan perintah Allah.
Al-Basir bererti Allah Maha Melihat tanpa adanya sekatan ataupun hijab.Tidak suatu pun yang ada di langit tinggi, di dasar bumi atau segala sesuatu yang ada di antara keduanya yang terselindung dari penglihatanNya.Maka sifat manusia menurut Al-Basir ialah bersikap melihat segala kebenaran untuk menaikkan darjat dan nilai-nilai insaniahnya.
Al-Hakam bererti Allah Maha Menghukum atau yang Menetapkan segala hokum ke atas MakhlukNya.Al-Hakam juga Maha Pemutus perkara yang terbaik iaitu Hakim yang benar secara mutlak secara keputusanNya tidak boleh dipertikaikan.Maka sifat manusia berpandukan Al-Hakam ialah menghukum dan bijak menyelesaikan sesuatu perkara dengan merujuk kepada hukum Allah SWT.
Al-‘Adl bererti Allah Maha Adil dan yang Maha Mempunyai keadilan iaitu jauh dari penindasan atau kezaliman kepada sesiapa pun dalam perintah dan perbuatanNya.Sebaliknya, Dia memberi setiap orang sesuatu yang menjadi haknya, menempatkan segala sesuatu di tempat yang benar serta tiada satu pun yang terkeluar dari landasannya.Maka sifat manusia menurut Al-‘Adl ialah berlaku adil, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Al-Latif bererti Allah Maha Halus atau Maha Lembut.Ianya merupakan sifat Allah yang menunjukkan ketinggian kasih sayangNya kepada makhluk.Secara berterusan, Al-latif mencurahkan kurniaanNya kepada semua hamba tanpa mengira pangkat dan darjat.Maka sifat manusia menurut Al-Latif ialah bersikap lemah lembut, halus dan bijaksana dalam segala aktiviti.
Al-Khabir bererti Allah Maha Waspada dan Maha Mengetahui segala khabar yang tersembunyi mahupun yang nyata dan tidak ada sesuatu pun yang luput dari pengetahuanNya.Sifat manusia berpandukan Al-Khabir ialah bersikap waspada, bijak dan mempunyai pengetahuan yang luas.
Al-Halim bererti Allah Maha Penyantun, Maha Penyayang dan Penyabar. Dia bebas sama ada menghukum manusia atau memaafkannya. Dia juga boleh menghukum mereka dengan tegas.Dia melihat pelanggaran daripada hambanya tanpa didorong oleh kemarahan ataupun diliputi oleh kemurkaan dan Dia tidak terburu-buru untuk menghukum sekalipun Dia berkuasa untuk itu.Al-Halim adalah Maha Penyantun dan Maha Penyabar sehingga tidak tergamak menghukum hambaNya malah melindungi hambaNya dan memberi mereka peluang untuk bertaubat.Maka sifat manusia menurut Al-Halim ialah bersikap penyantun, sabar dan tidak mudah berdendam.
Al-‘Azim bererti Allah Maha Agung atau yang Memiliki Keagungan yang tidak dijangkau oleh penglihatan, melampaui semua batasan sehingga akal manusia tidak sanggup untuk menjangkaunya.Merujuk perkara tersebut maka sifat manusia berpandukan Al-‘Azim ialah bersikap mengagungkan tanda dan kebesaran Allah di mana Allah telah meminta kita untuk memerhatikan tanda-tanda kekuasaanNya.
Al-Ghaffur bererti Allah Maha Pengampun atau Maha Luas KeampunanNya.Dia sering menutup dosa dan mengampuni orang-orang yang melakukan dosa.Dia tidak pernah mempersoalkan dosa-dosa hambaNya.Al-Ghaffur adalah Tuhan yang kekuasaanNya sangat sempurna.Dia boleh mengampuni hambaNya tanpa apa-apa syarat kerana kurniaan yang Dia limpahkan kepada hambaNya.Merujuk perkara tersebut maka sifat manusia berpandukan Al-Ghaffur ialah sentiasa memohon ampun dan beristighfar kepada Allah.
Asy-Syakur bererti Allah Maha Bersyukur atau Sangat Syukur bermakna sangat berterima kasih, menghargai kesolehan, sedekah dan kebaikan.Seorang hamba Allah yang Syakur adalah hamba yang sentiasa berterima kasih kepada Tuhannya dengan mentaatiNya dan menjalankan kewajipan.Maka sifat manusia berpandukan Asy-Syakur ialah mempunyai rasa syukur yang tinggi kepada Allah SWT.
Al-‘Aliyy bererti Allah Maha Tinggi MartabatNya sehingga yang Maha Tinggi tidak pernah dapat dibayang atau digambarkan. Akal tidak akan mampu melukiskan kesempurnaan- Nya. Merujuk perkara tersebut maka sifat manusia menurut Al-‘Aliyy ialah rendah hati dan meninggikan diri.Di antara adab mulia seorang mukmin adalahkerendahan hati dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa.
Al-Kabir bererti Allah Maha Besar atau Allah memiliki Kebesaran yang Maha Besar, Agung dan Maha Mulia.Al-Kabir adalah Zat yang memiliki semua kesempurnaan, kebesaran, kehormatan dan keagungan.Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia menurut Al-Kabir ialah membesarkan Allahdalam setiap aktiviti mahupun ibadah.
 Al-Hafiz bererti Allah Maha Pelindung atau Maha Memelihara segala sesuatu yang ada, melindungi unsur-unsur yang berlawanan dan saling mencakupi antara satu sama lain seperti apa yang panas, sejuk, lembab dan kering. Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia menurut Al-Hafiz ialah memelihara dan melindungi kedudukan sebagai seorang Muslim disisi Allah SWT.
Al-Muqit bererti Allah Maha Memberi Keperluan yang menjadikan makanan dan yang Maha Memelihara.Al-Muqit menciptakan semua makhluk dan menentukan rezeki untuk mereka. Dia menyediakan jalan atau cara bagi mereka mendapatkan laluan kearah rezeki tersebut. Maka sifat manusia menurut Al-Muqit ialah mencukupkan diri dengan keperluan yang sewajarnya, iaitu hidup secara bersederhana ( sesuai dengan rezeki yang diperolehi ).
Al-Hasib bererti Allah Maha Mencukupi, iaitu Yang Maha Menghisab atau Maha Membuat Perhitungan. Maknanya, ia dapat difahami sebagai Zat yang menyediakan serta mengabulkan apa sahaja keperluan hambaNya. Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia menurut Al-Hasib ialah menghitung diri dan kebesaran Allah untuk menjadi renungan bagi meningkatkan mutu iman dan takwa disisi Allah SWT.
Al-Jalil bererti Allah Maha Luhur, Maha Agung yang memiliki keluhuran dan kemuliaan.Dia memberikan kejayaan kepada mereka yang menghampiriNya dengan rendah hati.Sifat manusia menurut Al-Jalil ialah berbudi pekerti luhur dan mulia. Seorang hamba Allah yang menghayati sifat al-jalil Allah akan menjadi satu inspirasi untuk menghiasi dirinya dengan keindahan akhlak yang luhur dan mulia serta menjadi buah daripada keimanan dan amal soleh.
Al-Karim bererti Allah Maha Mulia suatu sifat yang mendedahkan kasih sayang dan kemurahanNya. Allah sentiasa pemurah dan Dia akan sentiasa bersikap demikian. Dia jauh dari segala kerendahan.Dia memberi sesuatu secara melimpah-ruah tanpa mengharap balasan.Maka sifat manusia menurut Al-Karim ialah memiliki hati yang mulia dan bersikap dermawan.
Ar-Raqib bererti Allah Maha Mengawasi dan Maha Mengamati dan melindungi setiap orang dan segala sesuatu dan tiada suatu pun yang luput dari ilmuNya.Dia mengawasi segala sesuatu yang kita lakukan dan ucapkan.Maka sifat manusia menurut Ar-Raqib ialah bersifat hati-hati dan cermat dalam semua perkara.
Al-Mujib bererti Allah Maha Mengabulkan atau Maha Memperkenankan kerana Allah mengabulkan permohonan mereka yang memohon kepadaNya dan membantu mereka.Dialah yang menjawab munajat kepada orang-orang yang bermunajat kepadaNya, memenuhi keperluan orang-orang yang memerlukan dan memberi mengikut kadar yang ditentukan olehNya. Maka sifat manusia menurut Al-Mujib ialah sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah SWT.
Al-Wasi’ bererti Allah Maha Luas Pemberian atau Maha Luas KepunyaanNya.Al-Wasi’ dapat mengkayakan setiap orang yang miskin dan rahmatNya meliputi setiap sesuatu.Maka sifat manusia menurut Al-Wasi’ ialah mempunyai pandangan yang luas dan bersifat pemurah.
Al-Hakim bererti Allah Maha Bijaksana yang memiliki semua pengetahuan.Allah sangat bijak dalam mencipta segala sesuatu dan menyempurnakan segala hasil ciptaanNya.Dia mengetahui sumber segala sesuatu melalui pengetahuanNya yang abadi serta tidak seorang pun dapat membayangkannya.Maka sifat manusia menurut Al-Hakim ialah mempunyai pengetahuan dan kebijaksanaan serta berpandangan jauh.
Al-Wadud bererti Maha Pencinta yang Maha Menyintai orang-orang yang beriman.Apabila seorang hamba Allah menceburkan diri untuk mendalami pengetahuan tentang kesempurnaan Allah, maka kesempurnaan itu menjadikannya lebih menyintai Tuhannya. Pengetahuannya akan mencapai kemuncak dan dia akan mendapat kebahagiaan daripadaNya. Maka sifat manusia menurut Al-Wadud ialah mempunyai rasa cinta dan kehambaan yang tinggi.
Al-Majid bererti Allah Yang Maha Mulia dan Maha Luhur memberi pengertian keagungan umum atau melimpahnya kekeayaan.Al-Majid adalah Maha Mulia hingga ke tingkat pengagungan lantaran kebaikan, sifat dan perbuatanNya sendiri.Dia juga agung dalam sifat-sifatNya serta elok dalam kekuatanNya.Maka sifat manusia menurut Al-Majid ialah murah hati, mulia dan luhur.
Al-Ba’ith bererti Allah Maha Membangkitkan makhlukNya di kemudian hari.Ia juga bererti mengutus tentera mengutus tentera untuk berperang di mana ba’ith juga bererti tentera. Selain itu, ia juga merujuk kepada menghidupkan orang yang sudah mati. Maka sifat manusia menurut Al-Ba’ith ialah membangkitkan kesedaran di dalam diri untuk meningkatkan ‘mahabbah’ dan ‘makrifah’ kepada Allah SWT.
 Asy-Syahid bererti Allah Maha Menyaksikan kerana Dia hadir dan melihat segala sesuatu yang telah Dia ciptakan dan yang akan Dia ciptakan. Ilmu Allah adalah sangat sempurna dan mengandungi pengetahuan dari apa yang diketahui olehNya. Maka sifat manusia menurut Asy-Syahid ialah menyaksikan kebenaran hakikat Allah dan seterusnya bermakrifat kepadaNya.
Al-Haq bererti Allah Maha Benar atau Yang Maha Memiliki Kebenaran.kehadiranNya merupakan suatu realiti yang tegak diatas kebaikannya sendiri dan tidak ada yang wujud kecuali melalui Allah.Dia tidak pernah bergerak dan membiarkan kebenaran menjelma dengan sendirinya.Maka sifat manusia menurut Al-Haq ialah mengakui kebenaran dan menyintainya sebagai salah satu kebaikan yang terunggul.
Al-Wakil bererti Allah Maha Berserah, Maha Memelihara Penyerahan, Maha Melaksanakan urusan makhluk yang mewujudkan diriNya sendiri dan menyediakan rezeki bagi hamba-hambaNya.Hanya Dia yang mengurus semua urusan hamba yang ada di bawah naungan dan perlindunganNya.Maka sifat manusia menurut Al-Wakil ialah pasrahkan diri kepada kebenaran yang datang daripada Allah.
Al-Qawiy bererti Allah yang Maha Kuat. Dia adalah Zat yang berdiri dengan sendirinya dan tiada apa yang dapat memahamiNya melainkan diriNya sendiri yang memiliki segala kekuatan dan kebesaran yang tiada tandingan atau tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran kita yang dhaif. Maka sifat manusia menurut Al-Qawiy ialah memiliki kekuatan terutamanya untuk mengenal Allah dan segala perintahNya.
Al-Matin bererti Allah Maha Memiliki Kekuatan dan Maha Sempurna KekuatanNya.Al-Matin adalah Zat yang kekuasaanNya sempurna, tiada suatu pun di langit ataupun di bumi dapat menyaingiNya.Dialah Allah yang menjalankan kehendakNya yang memiliki kekuasaan abadi.Maka sifat manusia menurut Al-Matin ialah memiliki keteguhan terutamanya sikap istiqamah dalam menegakkan kebenaran dan menyebar ajaran Allah ke segenap penjuru.
Al-Waliy bererti Allah Maha Melindungi dan Maha Sempurna.Allah adalah pelindung kepada hamba-hambaNya.Seorang hamba Allah yang baik juga merupakan temanNya.Maka sifat manusia dengan berpandukan Al-Waliy ialah mempunyai sifat-sifat sebagai pelindung, melindungi kepentingan Allah dengan menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai insan yang beriman.
Al-Hamid bererti Allah Maha Terpuji dan Yang Memiliki Kepujian.Allah adalah Al-Hamid kerana memuji DiriNya sendiri sejak azali dan juga kerana hamba-hamba yang memujiNya.Sifat-sifatNya seperti Maha Agung dan Maha Terpuji adalah fakta bahawa mereka yang menyebutkan sifatNya, mengagungkan dan memuliakannya.Maka sifat manusia menurut Al-Hamid ialah mempunyai sifat-sifat terpuji, mulia dan cemerlang.
Al-Muhsi bererti Allah Maha Menghitung, Maha Mencatat dan memperhitungkan setiap amalan makhlukNya serta membalasnya. Allah adalah Al-Muhsi yang menghitung dan mencatat apa sahaja yang kita lakukan dan membacakannya pada hari ketika menemuiNya iaitu hari pengadilan, hari hisab, perhitungan atau pembalasan dan hari pahala atau seksa. Maka sifat manusia menurut Al-Hisab ialah mempunyai kepakaran dalam menghisab diri sendiri.Demikianlah sikap orang yang menghayati sifat Allah. Dia akan kerap menghitung dan mencatat kelemahan serta keaiban dirinya untuk dijadikan ‘wasilah’ atau jalan menuju kepada Allah.
Al-Mubdi’ bererti Allah Maha Memulakan yang menzahirkan makhlukNya bermakna mengawal dan memulakan penciptaan semua makhluk. Al-Mubdi’ telah mewujudkan alam ini tanpa contoh dengan cara yang sempurna, memulakan pemberian bantuan kepada hambaNya serta membuktikan diriNya sebagai sandaran dan tempat bergantung yang terbaik. Maka sifat manusia menurut Al-Mubdi’ ialah mempunyai sifat sebagai pelopor yang memulakan sesuatu sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Inilah yang dikatakan berlumba-lumba untuk kebaikan dan taqwa.
Al-Mu’id bererti Allah Maha Mengembalikan. Al-mu’id menghidupkan kembali apa yang sudah mati. Ia mengumpulkan semua makhluk pada hari kiamat, mengangkat hijab-hijab daripada mereka dan memberi ganjaran atau menghukum mereka sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan. Maka sifat manusia menurut Al-Mu’id ialah kembali ke jalan yang benar, iaitu kehidupan yang hakiki dan matlamat yang suci.
Al-Muhyi bererti Allah Maha Menghidupkan dengan menciptakan kehidupan dan memberinya kepada sesiapa pun yang dikehendaki olehNya.Dia menciptakan manusia daripada tiada, kemudian menghidupkan mereka kembali ketika hari kiamat semakin hampir setelah kematian mereka.Maka sifat manusia menurut Al-Muhyi ialah menghidupkan hati dan meluruskannya mengikuti perintah Allah SWT.
Al-Mumit bererti Allah Maha Mematikan dan Maha Membinasakan.Al-Mumit Yang Maha Kuasa menurunkan kematian kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.Tidak seorang pun yang menyebabkan kematian berlaku, selain Dia. Al-Mumit telah menyebabkan hati orang yang berdosa mati lantaran menentang kehendakNya.Dialah pencipta kematian.Maka sifat manusia menurut Al-Mumit ialah mengawal hawa nafsu agar tidak mati dalam kesesatan dan derhaka kepada Allah SWT.
Al-Hayyu bererti Allah Maha Hidup dan Menghidupkan.Al-Hayyu adalah Yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui.Tingkat terendah daripada kesedaran adalah kesedaran kepada diri sendiri. Maka sifat manusia menurut Al-Hayyu ialah berusaha menghidupkan hati dan fikiran supaya ia tidak mati, iaitu tidak berfungsi untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Al-Qayyum bererti Allah Maha Berdiri Dengan SendiriNya. Al-Qayyum wujud secara mutlak pada diriNya sendiri, manakala setiap benda lain wujud mealuiNya. Al-Qayyum adalah yang Abadi, Maha Kekal dan tidak pernah mati.Dia menjalankan keadilan dan persamaan, yang Berdiri Sendiri dan tidak pernah tidur.Maka sifat manusia menurut Al-Qayyum ialah berusaha mengetahui dan menghayati kekuasaan Allah keatas dirinya dan alam ini.
 Al-Wajid bererti Allah Maha Kaya dan Maha Menemukan apa yang dikehendakiNya. Al-Wajid tidak memerlukan keperluan lain kerana Dia Maha Sempurna, yang merupakan Zat Yang Maha Mulia. Dalam pengertian ini, Dia adalah al-Wajid yang mutlak.Maka sifat manusia berpandukan Al-Wajid ialah memiliki dan meraih kejayaan hati dengan melakukan pelbagai ketaatan dan amal soleh.
Al-Majid bererti Allah Maha Mulia dan Agung.Sifat Al-Majid bererti kesempurnaan mutlak dan keagungan yang mutlak.Dia Maha Indah dalam sifat dan perbuatanNya, memperlakukan hamba-hambaNya dengan penuh kelembutan dan kemurahan serta memberikan cahaya kasih sayangNya kepada mereka. Maka sifat manusia menurut Al-Majid ialah memiliki keperibadian dan kegemilangan dari segi tingkah laku, pemikiran dan perbuatan.
Al-Wahid bererti Allah yang Maha Esa.Apa pun yang Dia kehendaki, pasti akan terjadi dan apa yang tidak Dia kehendaki, tidak akan terjadi. Malah, tiada apa pun yang bergerak tanpa pengetahuanNya. Maka sifat manusia menurut Al-Wahid ialah mengesakan Allah.
As-Samad bererti Allah Maha Diperlukan dan Tempat bergantung bagi semua makhlukNya.Dia menolong orang yang memerlukan pertolongan, Zat yang menjadi rujukan semua urusan dan Zat yang tiada bandingannya.Maka sifat manusia menurut As-Samad ialah hanya berharap kepada Allah semata-mata.
Al-Qadir bererti Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Al-Qadir melakukan apa pun yang Dia kehendaki menurut kearifanNya sendiri. Maka sifat manusia menurut Al-Qadir ialah bijak dalam menentukan sesuatu tindakan berdasarkan kekuatan dan ilmu.
Al-Muqtadir bererti Allah Maha Menetukan dan Sangat Berkuasa. KekuasaanNya bersifat abadi, mengatur semua urusan, memantulkan kekuasaanNya kepada jiwa hamba melalui cahaya, sifatNya, al-Muqtadir dan dengan demikian ia memberi mereka kedamaian dan keselamatan. Maka sifat manusia menurut Al-Muqtadir ialah pandai menetapkan sesuatu keputusan untuk kebaikan bersama.
Al-Muqaddim bererti Allah Maha Mendahulukan dan Zat yang mendahulukan.Dia memajukan taraf kehidupan manusia dan mengikut keikhlasan masing-masing dalam beribadah kepadaNya serta melindungi mereka daripada menderhaka. Maka sifat manusia menurut Al-Muqaddim ialah memulakan segala aktiviti sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat.
Al-Muakhkhir bererti Allah Maha Melambat-lambatkan dan Zat yang Maha Mengakhirkan.Al-Muakhkhir menyebabkan orang-orang Musyrik tertinggal ketika menaikkan darjat orang-orang Mukmin.Dia menangguhkan orang-orang yang derhaka dan memberikan petunjuk kepada mereka yang mentaatiNya. Merujuk perkara tersebut, maka sifat manusia menurut Al-Muakhkhir ialah meyakini akan berakhirnya kehidupan ini dan beriman sepenuhnya kepada hari akhirat.
Al-Awwal bererti Allah Maha Awal dan Terdahulu iaitu Zat yang mana segala sesuatu bersandar kepadaNya dan Zat yang mendahului semua yang lain. Ia disifatkan kepada Yang Maha Kuasa, iaitu Dia tidak pernah didahului oleh sesiapa pun dalam kewujudanNya. Maka sifat manusia menurut Al-Awwal ialah meyakini bahawa Allah SWT adalah yang awal dan akhir, iaitu tiada awal dan tiada akhir, berdiri sendiri dengan Zat keagungan dan kebesaranNya.
Al-Akhir bererti Allah Maha Penghabisan, Maha Akhir dan tiada kesudahan.Al-Akhir adalah yang terakhir tanpa mempunyai permulaan.Yang terakhir dalam sifatNya adalah abadi dan kekal.Dialah yang Terakhir tanpa sesiapa pun yang menundaNya dan menjadikanNya demikian. Maka sifat manusia menurut Al-Akhir ialah meyakini bahawa setiap yang bernyawa akan berakhir dengan kematian untuk dipertanggungjawabkan segala perbuatan kita di dunia ini kepada Allah SWT.
Az-Zahir bererti Allah Maha Nyata dan Maha Menyatakan.Oleh itu, Allah bersifat az-Zahir iaitu tidak tersembunyi dan mudah diimani dengan keyakinan dan logik.Maka sifat manusia menurut Az-Zahir ialah bersifat terbuka dan berterus terang serta tidak menyembunyikan sesuatu yang merupakan fakta atau kebenaran.
Al-Batin bererti Allah Maha Tersembunyi dan Zat Yang Maha Ghaib daripada pandangan mata makhluk-makhlukNya.Dialah az-Zahir yang dikenali melalui kecukupan dan al-Batin melalui keghaiban.Maka sifat manusia menurut Al-Batin ialah meningkatkan kualiti iman dan amalan terutamanya dari segi batin (kerohanian). Dengan demikian, kita akan memperolehi pelbagai kurniaan Allah sama ada semasa di dunia mahupun di akhirat.

Al-Wali bererti Allah Maha Menguasai Urusan dan Maha Mengurus semua urusan makhlukNya.Dia mengurus segala sesuatu sebagaimana yang dikendaki olehNya.Maka sifat manusia menurut Al-Wali ialah menguasai urusan dunia dan akhirat, mempunyai kemahiran dalam mentadbir kehidupan, pekerjaan dan kekhusyukan dalam menjalankan ibadah.
Al-Muta’ali bererti Allah Maha Suci dan Maha Tinggi.Al-Muta’ali adalah Maha Mulia dalam kebesaran dan keagunganNya yang tidak mampu ditandingi. KeagunganNya jauh daripada apa yang dapat dibayangkan atau difahami oleh makhlukNya, jauh pula daripada penggambaran, pengukuran, penghitungan atau penafsiran yang dibuat oleh makhluk. Maka sifat manusia menurut Al-Muta’ali ialah membersihkan diri daripada sifat sombong dan bongkak.
Al-Barr bererti Allah Maha Baik, Sumber Segala Kelebihan dan Yang Maha Berbuat Baik.Al-Barr adalah apa yang terbaik pada kehidupan di dunia dan di akhirat. Apa yang terbaik dalam kehidupan ini adalah apa sahaja yang Allah sediakan kepada hamba-hambaNya seperti petunjuk, kurniaan dan benda-benda yang dinikmati. Maka sifat manusia menurut Al-Barr ialah menyintai kebaikan dan kebenaran sebagai teras kehidupan.
At-Tawwab bererti Allah Maha Menerima Taubat.At-Tawwab memudahkan taubat bagi hamba-hambaNya dengan tanda-tanda yang Dia jelmakan kepada mereka dan peringatan tersebut mengingatkan mereka, sehingga mereka menjadi takut dan kembali bertaubat.Allah menerima taubat daripada orang yang menderhakaiNya, kemudian kembali mentaatiNya.Maka sifat manusia menurut At-Tawwab ialah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.
Al-Muntaqim bererti Allah Maha Penyeksa iaitu Zat yang berhak membalas setiap perbuatan dosa dengan azabNya setelah menyedarkan mereka dan berulang kali mengingatkan mereka.Maka sifat manusia menurut Al-Muntaqim ialah tidak berdendam kerana hanya Allah sahaja yang layak menghukum hamba-hambaNya.
Al-‘Afuww bererti Allah Maha Pemaaf iaitu Zat Yang Maha Memberi Kemaafan.Al-‘Afuww telah membuang kegelapan daripada jiwa yang lari dari jalan yang lurus dan melenyapkan kesunyian serta kelalaian daripada hati melalui keagunganNya.Allah juga menghapuskan segala dosa dan menggantinya dengan ganjaran yang baik.Maka sifat manusia menurut Al-‘Afuww ialah suka memaafkan dan bertolak ansur.
Ar-Rauf bererti Allah Maha Mengasihi, iaitu Zat yang Maha Pengasih.Sifat ar-Rauf merujuk kepada Zat yang sentiasa berbuat baik dan kasih kepada orang yang berdosa dengan menerima taubat mereka serta melindungi mereka daripada melakukan dosa.Maka sifat manusia menurut Ar-Rauf ialah melahirkan rasa kasih sayang sesama insan.
Malik Al-Mulk bererti Allah Maha Pemilik Kekuasaan iaitu Zat yang mempunyai kerajaan.Malik Al-Mulk mempengaruhi kehendak dalam kerajaanNya.Bagaimanapun, Dia berkehendak membiarkan sebahagian daripada mereka hidup dan yang lainnya binasa.Maka sifat manusia menurut Malik Al-Mulk ialah mempunyai jiwa dan minda sebagai pemimpin.

Zul Jalali Wal-Ikram bererti Allah Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan iaitu Zat yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan yang sempurna.Tidak ada seorang hamba pun yang dapat mencapai tingkat ilmu yang tinggi kecuali dia memahami pengertian Zul Jalali Wal-Ikram.Sesungguhnya sifat ini menggabungkan kemuliaan, daya tarikan, harapan dan cita-cita.Maka sifat manusia menurut Zul Jalali Wal-Ikram ialah mempunyai martabat dan maruah yang terpuji hasil daripada menghayati kebesaran Allah menerusi sifatnya Zul Jalali Wal-Ikram.
Al-Muqsit bererti Allah Maha Mengadili, iaitu Zat Yang Sangat Adil.Al-Muqsit adalah Yang Maha Berkuasa iaitu Zat yang jujur dan adil dalam semua keputusan dan ketetapannya.Al-Muqsit muncul untuk menyelamatkan orang-orang yang tertindas dan menegakkan keadilan.Maka sifat manusia menurut Al-Muqsit ialah berlaku adil dalam semua perkara.
 Al-Jami’ bererti Allah Maha Mengumpulkan iaitu Zat Yang Mengumpulkan seluruh makhlukNya dari generasi pertama hingga generasi terakhir yang terdiri daripada golongan jin, manusia, semua penduduk langit dan bumi, setiap hamba Allah dan perbuatannya, setiap penindas, yang ditindas dan semua nabi dan kaumnya. Dia juga akan menggabungkan ganjaran bagi mereka yang mentaati dan hukuman bagi mereka yang menderhakaiNya. Maka sifat manusia menurut Al-Jami’ ialah berjemaah dan bersatu padu dengan kaum Muslimin dan tidak bercerai-berai sehingga menyebabkan hilangnya kekuatan kaum Muslimin.
Al-Ghaniy bererti Allah Maha Kaya iaitu Zat yang Memiliki Kekayaan.Al-Ghaniy tidak mempunyai keperluan pada diriNya sendiri, sifat-sifat atau perbuatanNya.Dia tidak memerlukan sesiapa pun tetapi merekalah yang memerlukanNya.Maka sifat manusia menurut Al-Ghaniy ialah menganggap diri sendiri kaya dengan anugerah dan kurniaan yang dilimpahkan oleh Allah berupa kehidupan, rezeki dan keimanan.
 Al-Mughni bererti Allah Maha Pemberi Kekayaan iaitu Zat yang memberi Kekayaan tanpa had dengan melimpahkan kepada para hambaNya dengan memberikan pelbagai kemudahan kepada mereka dalam mencapai tujuan dan maksud serta memenuhi keperluan mereka seharian. Maka sifat manusia menurut Al-Mughni ialah bersikap pemurah, dermawan dan suka membantu terutamanya kepada golongan yang memerlukan.
Al-Mani’ bererti Allah Maha Membela, iaitu Zat yang Menolak bahaya dengan melindungi dan menolong orang-orang yang mentaatiNya dan Dia menghentikan sebahagian hambaNya daripada melakukan sesuatu yang dilarang.Maka sifat manusia menurut Al-Mani’ ialah menjadi pembela untuk menolak sebarang bahaya, terutamanya yang merosakkan iman.
Ad-Darr bererti Allah Maha Pembuat Bahaya iaitu Zat yang memberikan mudharat kepada sesiapa pun yang Dia kehendaki.Dia menjadikan sebahagian daripada hamba-hambaNya miskin atau menyebabkan mereka jatuh sakit menurut kebijaksanaanNya.Dengan begitu, Dia menentukan segala sesuatu dan hanya Dia yang menyusun atursegala bahaya sebagai suatu ujian dariNya dan Dia juga membersihkan dosa salah seorang hambaNya dengan suatu ujian untuk menaikkan kedudukanNya. Maka sifat manusia menurut Ad-Darr ialah membuang dan memusnahkan apa sahaja yang boleh mendatangkan mudharat dengan berpandukan ajaran Allah yang penuh manfaat dan kemaslahatan.
An-Nafi’ bererti Allah Maha Pemberi Manfaat iaitu Zat yang memberi manfaat kepada semuamakhlukNya dan memberi kemudahan jalan menuju kepadaNya bagi orang-orang yang ingin menempuhnya. Maka sifat manusia menurut An-Nafi’ ialah banyak memberi manfaat dan faedah kepada manusia lain dan alam sekitar.
An-Nur bererti Allah Maha Pemberi Cahaya iaitu Zat yang Maha Menerangi.Allah yang menerangi langit dan bumi. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Maka sifat manusia menurut An-Nur ialah bersinar atau menyerlah kebaikannya berkat pantulan keimanan dan amal soleh yang dilakukan.
Al-Hadi bererti Allah Maha Memberi Petunjuk iaitu Allah membimbing golongan awam dikalangan mereka untuk menyaksikan makhluk-makhlukNya.Dia telah memandu segala sesuatu yang Dia ciptakan.Maka sifat manusia menurut Al-Hadi ialah menyeru kepada hidayah dan kebaikan agar hati bersinar dan mendapat petunjuk.
Al-Badi’ bererti Allah Maha Indah dan Tiada Bandingan.Al-Badi’ ialah Zat Yang Maha Unik.Tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya dalam Zat, sifat atau perbuatanNya. Dia telah menjadikan keajaiban-keajaiban yang telah Dia ciptakan sebagai isyarat yang paling indah akan kearifanNya. Maka sifat manusia menurut Al-Badi’ ialah menjadi pembaharu dan menjadi orang yang sentiasa berwawasan dan pemikir yang memperbaharui sikap dan perbuatannya kearah yang lebih cemerlang.
Al-Baqi’ bererti Allah Maha Kekal iaitu kewujudan Allah bergantung kepada kebaikannya sendiri. Dia tidak akan binasa dan tidak dipengaruhi oleh waktu. Dia yang mencukupkan diriNya selama-lamanya tidak ditentukan oleh lama atau barunya waktu.Maka sifat manusia menurut Al-Baqi’ ialah teguh memegang prinsip dan mempertahankan kebenaran hingga ke titisan darah yang penghabisan.

Al-Warith bererti Allah Maha Membahagi dan Mewarisi. Maha Suci Allah akan tetap ada walaupun setelah binasanya semua makhluk. Dia mewarisi segala sesuatu setelah kehancuran setiap orang dan segala sesuatu.Dialah Maha Pewaris iaitu ketika kita keluar dari kubur dan tiada suatu pun yang tersembunyi dari sisi Allah SWT. Maka sifat manusia menurut Al-Warith ialah mewarisi apa sahaja yang menjadi bekalan hidup di dunia kepada ahli waris yang berhak menerimanya.
Ar-Rasyid bererti Allah Maha Pandai dan Bijaksana.Ar-Rasyid dicirikan oleh kesempurnaan yang utuh, kearifan yang besar dan petunjuk yang menyeluruh.Dialah Zat yang mengatur semua masalah sehingga berjaya mencapai tujuannya.Maka sifat manusia menurut Ar-Rasyid ialah pandai, bijak dan sentiasa memberi nasihat serta bimbingan.
As-Sabur bererti Allah Maha Penyabar iaitu Zat Yang Sangat Sabar, tidak tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu dan tidak terburu-buru untuk menjatuhkan azab kepada penderhaka atau orang yang melakukan maksiat. As-Sabur memerintahkan menurut kadar yang telah ditentukan olehNya. Dia juga mampu menangguhkan hukuman meskipun waktunya telah tiba.Maka sifat manusia menurut As-Sabur ialah memiliki kesabaran dan ketabahan yang tinggi.

PENUTUP
Setiap manusia perlu ada rasa wujudnya sifat-sifat Allah dalam diri mereka kerana mereka wajib mengetahui 99 nama-nama Allah dan sifatNya yang tidak pernah menyerupai makhlukNya. Sekiranya setiap manusia mengamalkan sifat-sifat berikut dengan tawadduk dan penuh yakin, insyaAllah kehidupan mereka akan sentiasa diberkati oleh Allah bahkan lebih cemerlang dan lebih baik dari sebelumnya.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com