Ikhlas Kerana Allah Semata-mata

Disediakan Untuk : Abd Aziz Bin Harjin
Disediakan Oleh : Anis Amira Binti Talib 
Abstrak
Islam merupakan agama yang sempurna dan tinggi kedudukannya. Nilai-nilai Islam perlu dilaksanakan untuk mengecapi sebuah masyarakat yang bahagia. Ia merupakan salah satu keperluan yang amat penting bagi umat manusia di muka bumi ini untuk mengukuhkan keimanan mereka. Ini adalah untuk melahirkan golongan yang mukmin yang sentiasa taat dengan perintah Allah. Ikhlas bermakna bersih dari kotoran dan menjadikan sesuatu bersih dan tidak kotor. Maka orang yang ikhlas adalah orang yang menjadikan agamanya murni hanya untuk Allah saja dengan menyembah-Nya dan tidak menyekutukan dengan yang lain dan tidak riak dalam beramal. Salah satu cara untuk menjaga amal kebaikan agar tidak musnah dan berterusan iaitu melakukan sesuatu amal dengan ikhlas kerana Allah SWT s emata-mata. Justeru itu, untuk mendapatkan keikhlasan kerana Allah SWT, islam telah menyediakan satu garis panduan yang merangkumi asas-asas untuk memimpin manusia melakukan amal kerana-Nya sekali gus mendapat keredaan Allah SWT.

 Akhir sekali, ikhlas merupakan salah satu jaminan bagi seseorang untuk sampai kepada taufik Allah, pertolongan-Nya dan juga keselamatan dari segala bencana. Dengan sifat ikhlas ini juga dapat mengajar seseorang umat Islam sentiasa merasa merendah di sisi Allah SWT kerana semua yang kita miliki hanyalah pinjaman sementara dari Allah SWT. Semua adalah milik-Nya dan tidak ada yang hakiki, kecuali dari-Nya.


Pendahuluan
Alhamdulillah, pertama dan selamanya, saya panjangkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin, hidayah dan taufikNya, saya dapat meneruskan perjuangan saya sebagai umat Islam dengan tujuan utama adalah untuk menjadi Khalifah Allah SWT di muka bumi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Para Sahabat, Para Tabi’in, Para Tabi’ Tabi’in seterusnya kepada pejuang-pejuang Islam yang telah banyak berkorban nyawa demi memartabatkan Islam di serata dunia. Tujuan utama saya menulis esei ini adalah untuk mengetahui tentang keikhlasan kerana Allah SWT semata-mata. Ikhlas adalah sebuah sikap kejiwaan seorang muslim yang selalu berprinsip bahawa semua amal dan jihadnya adalah kerana Allah demi meraih keredhaan dan kebaikan pahala-Nya, tanpa sedikit pun melihat pada prospek (keduniaan), darjat, pangkat, kedudukan dan sebagainya. Bahkan pahala amalan kebaikan tersebut boleh musnah disebabkan sikap manusia sendiri. Antara penyebabnya adalah sifat ujub, riak, mahupun tasmi’. Halangan-halangan sebeginilah menjadi virus yang dapat memusnahkan amal kebaikan seseorang.
Oleh yang demikian, saya Anis Amira Binti Talib akan merungkai mengenai keikhlasan kerana Allah Semata-mata untuk menjaga amal kebaikan kita agar tetap bernilai dan tidak musnah. Semoga kita mendapat manfaat daripada sebahagian ilmu yang dikongsikan agar kita sama-sama termasuk dalam golongan soleh dan solehah di akhirat kelak.

Definisi Ikhlas
Ikhlas dari segi bahasa adalah bersih dari kekotoran. Manakala dari segi istilah syarak ialah berniat mengharapkan keredhaan Allah dengan melakukan amal tanpa menyekutukan Allah dengan suatu apa pun. Kita haruslah mempunyai sifat ikhlas kerana iklhas merupakan salah satu syarat untuk diterima ibadah (Kitab Tauhid 1 hlm. 85, Syeikh Shalih Al Fauzan).
Dengan niat yang betul dan insya-Allah amal yang dilakukan akan diterima. Oleh itu, niat adalah penting untuk memulakan sesuatu amal. Rasulullah SAW bersabda : “ Sesungguhnya segala amal perbuatan adalah bergantung kepada niatnya. Dan nescaya setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkan itu. ”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
     Hal ini boleh dilihat dari hadits Abu Umamah, iaitu ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda setelah ditanya mengenai orang yang berperang untuk mendapatkan upah dan pujian. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
 “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla tidak menerima suatu amal, kecuali jika dikerjakan murni kerana-Nya dan mengharap wajahNya” (HR. An Nasai dengan sanad yang bagus. Dishahihkan Al Mundziri, dan dimuat pula oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Baari VI/28).

Selain itu, ikhlas juga adalah salah satu syarat agar kita mampu menjadi peribadi yang bertaqwa, kerana sesungguhnya ikhlas adalah rukun taqwa yang pertama. Ikhlas didahulukan sebelum Ittiba’ dan Ilmu (Manhajul Anbiyaa’ Fii Tazkiyatin Nufuus, Syaikh Salim bin ‘Ied Al Hilali)
     Ikhlas juga salah satu penyebab agar kita ditolong Allah
 “Allah akan menolong umat ini kerana sebab orang miskin, kerana orang miskin tersebut, kerana shalat mereka dan kerana keikhlasan mereka dalam beramal” (HR. An Nasai no. 3178, dishahihkan oleh Al Albani).

Keikhlasan hanya terjadi dalam ketaatan. Tidak ada ikhlas dalam urusan yang dimakruhkan oleh-Nya, apalagi yang diharamkan. Secara sederhana, Al-Harits Al-Muhasibi medefinisikan ikhlas sebagai berikut:

“Sebuah keinginan untuk mempersembahkan ketaatan hanya kepada Allah, bukan untuk selain-Nya. Terdapat dua perkara yang harus dipenuhi untuk mendapatkan keikhlasan, iaitu hanya keinginan kepada Allah dan membuang apa yang selain-Nya.

Dalil daripada Al-Quran Dan Hadis Mengenai Ikhlas

 “Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik)” (QS. Az Zumar: 2-3)
 “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama” (QS. Az Zumar: 11)
 “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus” (QS. Al Baiyinah: 5)

 “Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana menginginkan perkara dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (hanya) mendapatkan apa yang dia inginkan” (HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).

Di samping itu, keampuhan “ikhlas” adalah dapat menjauhkan diri dari bisikan syaitan kerana syaitan tidak mampu berbuat apa pun terhadap para hamba yang “mukhlis”, sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran:

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka. ”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menerima sebuah amal perbuatan seseorang, kecuali yang mengharap reda-Nya. ”(Hadis Riwayat Abu Dawud dan An-Nasa’i).

Aspek Keikhlasan

    Ibnu Rajab berkata: “Nabi Isa bertanya kepada seorang nabi : “Wahai nabi, apa sebenarnya maksud ikhlas dalam beramal?”
Beliau menjawab : “Ikhlas adalah ketika engkau tidak menyukai pujian orang lain atas perbuatanmu. ”
Seiring dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu Rajab, Ibnu Taimiyah menegaskan : Definisi ikhlas sebagaimana kata-kata sebahagian ulama, bahawa orang yang ikhlas adalah mereka yang tidak memerhatikan pujian yang keluar dari hati orang lain kerana kesucian hatinya terhadap Allah SWT. Bahkan orang yang ikhlas adalah orang yang tidak suka terhadap butiran-butiran amalnya diketahui oleh orang lain. ”

“Keikhlasan seseorang dapat diketahui dari tiga perkara. Pertama, ketika dia mampu memandang antara pujian dan celaan manusia dalam persepsi yang sama. Kedua, ketika dia mampu menghilangkan serta melupakan amalan dalam amalannya. Ketiga, ketika dia mampu melupakan pahala dari amalannya dia akhirat kelak. ”
Abu Usman Al-Maghrabi berkata : “Ikhlas adalah kemurniaan jiwa dari segala hal dunia. Ikhlas juga adalah hancur lebur puji-pujian makhluk dalam memuja Yang Maha Khalik. ”Zunnun Al-Misri dan kesabaran dalam ikhlas itu sendiri. ”
Sahal bin Abdullah berkata : “Tiada seorang pun yang mengetahui sifat riak kecuali orang yang ikhlas. ”Abu Sulaiman berkata, “Jika seseorang telah sampai pada darjat ikhlas, dia akan terhindar dari rasa was-was dan riak. ”
Natijahnya, keikhlasan seseorang dapat menguat dan melemahkan, menebal serta menipiskan. Ikhlas mempunyai batas minimum sebelum sampai pada puncak kesempurnaannya, iaitu teguh dalam keikhlasannya. Setiap manusia akan menjalani setiap fasa-fasanya bergantung pada kesungguhan masing-masing. Imam An-Nawawi berpendapat:”. . . Bahkan ikhlas pun memerlukan kejujuran, sedangkan kejujuran tidak memerlukan apa-apa. ”
Ikhlas pada fasa terendahnya menyebabkan ibadah seseorang menjadi sah, telah dapat diraih oleh kebanyakan kaum muslimin. Ibnu Taimiyah berkata : “Majoriti kaum muslimin pada hakikatnya telah melaksanakan sikap ikhlas untuk Allah SWT dalam beberapa perbuatan.

Keikhlasan tersebut ada dalam perbuatan yang disertai usaha dan kesungguhan mereka, misalnya dalam puasa Ramadan. Maksudnya suadah diketahui bahawa mereka melaksanakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan hanya untuk Allah semata-mata. Begitu juga dengan solat, mereka tidak akan menjalankan solat, kecuali hanya untuk Allah SWT. ”Beruntunglah mereka yang sentiasa mengaplikasikan keikhlasan dan sifat ikhlas itu semakin meningkat setiap hari. Akan beruntung kerana, setiap peningkatan ikhlas yang ada dalam diri, semakin dekat hubungan kita dengan Allah SWT yang akhirnya akan menjaring lebih banyak pahala dari-Nya.

Ikhlas adalah perkara penting dalam membangunkan syiar agama kerana ikhlas mempunyai cakupan yang amat penting iaitu:
1. Ikhlas dalam niat-ikhlas beribadah dan beramal semata-mata kerana Allah SWT.
2. Ikhlas dalam nasihat. Al-Khattabi berkata bahawa asal perkataan nasihat (dalam bahasa Arab) adalah khulus atau kemurnian.
3. Ikhlas dalam agama atau akidah. Akidah adalah hakikat Islam dan prinsip yang terbina di atasnya adalah kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah, tidak ada selain-Nya. Dan semua itu terangkum dalam lafaz :

“La ila ha illallah Muhammadur rasulullah”

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“. . . . Maka sembahalah Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya. ”(Az-Zumar, 39, 2).


Halangan ikhlas
Tidak disebut dunia, jika tidak ada halangan dan rintangan. Begitu halnya ketika kita hendak membiasakan sikap ikhlas. Banyak aral yang merintangi dan memerlukan usaha keras untuk dapat menyingkirkan kerikil-kerikil tajam yang dapat menghalang sampainya jiwa pada puncak keikhlasan.

Sahal bin Abdullah berkata: “Bagi jiwa manusia, tidak ada yang lebih berat dari sikap ikhlas kerana jiwa sama sekali tidak akan mendapat bahagian apa-apa dalam sikap itu”.

Yusuf bin Al-Husin Ar-Razi berkata: “Sesuatu yang paling mulia di dunia ini adalah ikhlas. Setelah banyak usaha yang telah dikeluarkan untuk mengusir sifat riak dari hatiku, seolah ia tumbuh kembali dengan warna atau bentuk yang lain.

Sufyan Ats-Tsauri juga berkata : “Aku tidak merasa sukar untuk menyembuhkan sesuatu, kecuali niat yang sentiasa bergolak dalam hati. ”
Yusuf bin Asbath berkata: “Sesuatu yang paling berat bagi manusia adalah memurnikan niat dari kerosakannya kerana memerlukan kesungguhan dalam jangka waktu yang lama. ”

Ada baiknya kita mengetahui beberapa perkara yang dapat menghalang jiwa dari sampai pada puncak keikhlasan, seperti ujub, riak dan tasmi’.
Al-Muhasibi menerangkan bahawa ujub adalah sikap memuji diri sendiri atas perbuatan yang telah dilakukannya, tetapi dia lupa bahawa hat tersebut (kejayaan menyelesaikan pekerjaan)adalah dengan izin dan pertolongan Allas SWT. Jadi, sikap memuji diri dan melupakan kurniaan Allah inilah yang dinamakan ujub.

Imam An –Nawawi berkata: “Barang siapa yang ujub (membanggakan diri) dengan amalnya, maka secara tidak sedar dia telah melunturkannya.

Ujub merupakan faktor penyebab kesombongan, tetapi kesombongan itu pula mengundang kesombongan kepada orang lain. Sedangkan ujub hanay terbatas pada diri sendiri. Berkaitan dengan sifat ujub tersebut, Syeikh Bisyru bin Al-Harits Al-Hafi mengungkapkan bahawa ujub adalah “ketika engakau mengagung-agungkan amalanmu, sedangkan amalan orang lain engkau pandang sebelah mata. ”Ini fenomena yang terjadi pada masa kini. Misalnya seseorang yang terpelajar sentiasa bermegah-megah dengan keilmuan yang ada pada dirinya yang konon daialah yang paling hebat, sentiasa bercerita kehebatan diri, anak-anak dan ahli keluarga. Padahal dia lupa bahawa apa yang dia peroleh semua adalah anugerah Allah SWT. Oleh itu, amal yang kita akan lakukan perlulah berniatkan kerana Allah SWT untuk mendapatkan keikhlasan serta menjauhi daripada sifat riak yang di mana boleh menyesatkan manusia.

Seterusnya, riak adalah halangan kita untuk mendapatkan keikhlasan. Definisinya, riak adalah keinginan seseorang agar ketaatannya kepada Allah dilihat oleh para manusia. Maksudnya, amalan yang dilakukannya adalah kerana manusia. Sangat jelas bahawa sikap tersebut akan melunturkan amalan itu sendiri.

Syadddd bin Aus telah mewasiatkan kepada pengikutnya ketika ajal datang menjemputnya iaitu: “Ssesuatu yang paling aku takuti menimpa kalian adalah riak dan syahwat yang tersembunyi. ”(Az-Zuhud Ibnu Al-Mubarak). Ibnu Al-Jauzi menerangkan: “Sikap riak adalah sesuatu yang tidak dapat dihindarkan bagi sesiapa pun. Riak tidak patut dijadikan saranan kepada umat manusia. ”

Begitu berbahayanya sifat riak kerana akan merasuk ke dalam jiwa seseorang dalam segala keadaan, ragam dan warnanya. Riak dapat memakan semua ibadah, baik yang wajib, sunat atau harus. Bahkan riak akan mengotori urusan duniawi. Faktor berlakunya riak adalah seseorang senang dipuji, takut dicela, sentiasa bertujuan untuk menguasai sesuatu yang dimiliki orang lain.

Di samping itu, tasmi juga merupakan halangan mendapatkan keikhlasan. Tasmi adalah salah satu jenis dari sifat riak. Adapun yang dimaksud tasmi’ adalah menceritakan amalan, baik secara terang-terangan mahupun dengan bahasa sindir-sindiran. Misalnya dengan mengatakan, “siapa yang dapat tidur di waktu sahur?” Memang, secara rasionalnya, ia mengingkari kewujudan seseorang yang tidur di waktu sahur. Namun, secara implisit yang dimaksudkan adalah menilai dirinya yang sentiasa menjalankan solat malam di waktu sahur. Tasmi juga terjadi ketika seseorang menunjukkan bukti dari hasil ibadahnya.
Rasulullah SAW bersabda: Ertinya : “Barang siapa yang menceritakan amalan (tasmi’) kepada orang lain, nescaya Allah akan menceritakan keinginan mashurnya kepada manusia. Dan barang siapa yang berbuat riak, maka Allah akan memperlihatkan riaknya tersebut. ”(Hadis Riwayat Muttafaq’Alaih).

Oleh itu, ketiga-tiga halangan untuk mendapat keikhlasan perlulah kita hindari di mana yang boleh mengurangkan dan merosakkan segala amalan yang kita lakukan.

Penutup
Sesungguhnya keimanan seseorang tidak akan sempurna jika hanya merasa takut kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas. Atau, takut akan seksa dan hukuman-Nya. Tetapi, kesempurnaan iman harus dilengkapi dengan pengharapan yang besar atas kasih sayang dan kelembutan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Untuk menjadi orang yang mukmin, kita mestilah sangat berhati-hati terhadap halangan-halangan yang boleh memusnahkan amal kita. Kita sedaya mungkin harus menjaga diri dari sifat riak, ujub dan tasmi’. Segala amalan hendaklah difokuskan hanya kerana Allah SWT dan jangan mengharapkan orang lain tahu. Cukuplah Yang Maha tahu yang mengetahuinya.
Namun, jika ternyata orang lain sudah terlanjur mengetahuinya, maka kosongkanlah hati. Jangan biarkan hati ternoda dengan perasaan senang dan bahagia. Sekalipun hati dikalahkan oleh perasaan senang dilihat orang lain, maka cuba untuk tetap tenang. Teruslah berwaspada dan berusaha untuk tidak memperlihatkannya jika hal itu tidak membahayakannya. Lebih lanjut, Ibnu Al-Qayyim menambahkan, “Redakanlah getaran –getaran yang ada dalam jiwa anda. Ini kerana, jika anda tidak meredakannya, maka ia akan berpontensi menjadi syahwat atau keinginan. Jika sudah demikian, maka perangilah. Hati-hati, jika anda gagal menumpaskannya, maka ia berpontensi menjadi suatu kesilapan. Jika anda gagal memperbaiki rasa tersebut, maka lambat laun ia akan berubah menjadi kebiasaan yang sangat sukar untuk dihentikan. Akhir sekali, kita hendaklah selalu bermotivasi untuk berlaku ikhlas dalam segala situasi dan sentiasa berwaspada dari dorongan-dorongan syaitan yang menyesatkan.

“Ketahuilah bahawa jasad manusia ada darah, jika segumpal darah itu baik, maka baik pula seluruh jasadnya. Sebaliknya, jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Tahukah engkau, apakah itu?Itulah hati. ”
“Ingatlah hanya kepunyaan Allah sahaja agama yang bersih (dari syirik). . ”(Az-Zumar t391, 3).

Berbahagialah orang-orang yang ikhlas kerana mereka adalah hidayah yang sanggup menyinari kegelapan fitnah. ”(Hadis Riwayat Al-Baihaqi). Sekian, terima kasih.

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com