Oleh: Uhammad Harith Danial Bin Azahar
PENDAHULUAN
Di antara banyak-banyak nikmat yang allah anugerahkan pada kita, ada satu nikmat yang paling bernilai dan sangat penting yang allah kurniakan kepada kita iaitu nikmat iman. Maknanya semua nikmat-nikmat lain seperti kesihatan,kepandaian, kecantikan, kemasyarakatan, harta benda, wang ringgit, pangkat, anak pinak dan lain-lain nikmat allah yang tidak akan habis jika dihitung itu tidaklah semahal dan sepenting iman. Tapi dalam kekecohan krisis nilai hari ini, ramai yang telah menganggap iman tidak penting. Ini dapat dibuktikan dengan melihat sikap hidup mereka, semua program harian hanya bertujuan mencari keuntungan duniawi, dengan melupakan kepentingan iman. Bentuk kehidupan orang beriman bukan sahaja dianggap kolot dan ketinggalan zaman tapi ditentang habis-habisan.
Kehidupan akhirat yang sering diimpikan oleh orang beriman, telah mereka lupakan, malah sesetengah meragui dengan kedatangannya. Maka hiduplah manusia ini dengan berpandukan akal fikiran dan hawa nafsu semata-mata. Akibatnya masyarakat manusia kini rangkus dalam gelomang kerangkusan nafsu dan syaiyan. Tidak sedikit yang menjadi mangsa, mati dalam perangkapnya.
Tanpa iman masyarakat manusia tidak akan dapat kebahagiaan hidup yang diimpikan oleh setiap manusia. Di dunia akan dihimpit dengan pelbagai masalah dan kekalutan hidup, manakala di akhirat kelak akan dibenamkan oleh allah S.W.T ke dalam api neraka jahanam.
Oleh itu sedarlah wahai manusia, bahawa iman itu sangat penting yang perlu kita miliki. Ia perlu dicari sepertimana kita ingin mencari harta benda. Ia tidak mungkin datang dengan sendiri jika kita tidak berusaha mencarinya, sepertilah duit ia tidak pernah datang tanpa kita berusaha mencarinya.
Sudah menjadi sunnatullah, sesuatu yang berharga adalah susah untuk kita milikinya. Umpama mutiara atau intan belian dan emas permata, sangatlah susah untuk mencari dan mendapatkannya. Manusia sanggup korbankan nyawa, menyelami lautan dan membelah bumi untuk mendapatkannya.
Kalau tidak pun terpaksa mengumpul duit bertahun-tahun lamanya untuk membeli barang yang berharga itu. Kadang-kadang manusia mati sebelum mendapat barang yang sangat berharga dan diingininya itu. Begitu susahnya kita mendapatkan sesuatu yang berharga. Tetapi perkara yang tidak berharga, tidaklah susah untuk mendapatkannya, misalnya pasir atau batu atau tanah. Di mana-mana saja kita boleh mendapatkannya, tanpa usaha ikhtiar yang berat dan susah. Kadang-kadang kita berhajat pun untuk mengambilnya tapi ia pula mahu mengikut kita, dengan melekat pada pada baju dan kasut kita.
Iman nilainya melebihi nilai mutiara atau intan belian. Oleh itu, untuk mendapatkannya adalah lebih susah daripada mendapatkan intan belian. Manusia wajib menggadai semua nikmat-nikmat lain untuk mendapatkan iman sebaik-baiknya. Manusia mesti mengorbankan hidupnya demi mendapatkan iman yang setinggi-tingginya. Jika tidak usah mimpi iman itu akan masuk dan bertakhta di hati. Mungkin boleh disebut dan diingat selalu tetapi tidak mungkin boleh dirasai dan dimiliki.
Iman sebenarnya bukan dimulut. Tidak juga pada akal tapi tersemat kuat di dalam hati dan dijiwa manusia. Iman juga bersandar pada amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain walaupun perkara itu diperintahkan tapi ia ada pada amalan hati. Ini dapat difahami dari sepotong hadith yang bermaksud :
“Tidak ada kelebihan pada Abu Bakar di sisi allah dengan sebab banyaknya puasa dan banyaknya sembahyang. Tapi yang melebihkan Abu Bakar ialah iman yang tersemat di dadanya”
Hadith di atas membuktikan bahawa iman adalah ujud tersendiri bebas dari ikatan dan kongkongan luar. Tempatnya di hati manusia dan betindak sebagai tenaga penggerak yang boleh mengarahkan manusia kepada apa yang dikehendakinya.
Amalan-amalan lahir seperti sembahyang dan lain-lain tidak semestinya sebagai simbol iman di dalam hati manusia. Sembahyang adakalanya dari arahan iman dan ada ketikanya bukan dorongan iman.
Allah S.W.T berfirman di dalam surah (hujerat ayat 14) maksudnya :
“Orang arab badwi itu berkata: “ Kami telah beriman.” Katakanlah pada mereka, “Kamubelum beriman.” Tapi kamu katakanlah, “Kami telah tunduk (islam).” Kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat pada Allah Rasuk-Nya. Dia tidak mengurangi sedikit pun pada (pahala) amalanmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Jelas bahawa iman terpisah dari amalan lahir. Walaupun hubungan keduanya agak rapat tapi kedua-duanya tetap terpisah. Yang satu ada di luar dan yang lain ada di dalam hati manusia. Dari itu menjadi tugas kita untuk mempastikan bahawa kita wajib memiliki kedua-duanya. Bagaimanapun, iman yang lebih patut diutamakan.
Iman bukan saja akan menjamin kekalnya amalan-amalan lahir seseorang tetapi akan bertindak sebagai sumber kebahgiaan manusia di dunia dan di akhirat. Iman ialah segala-galanya;ketenangan, kekuatan, hiburan, kekayaan, kelapangan dan semua yang diidamkan manusia. Malah iman kehidupan kita. Matinya zaman kegemilangan islam adalah disebabkan lenyapnya iman hati-hati umat islam. Dan hina dan lemahnya kita hari ini pun kerana lemah dan tipisnya iman yang kita miliki.
Oleh itu, demi kebangkitan Islam yang kita harapkan kini, berjuanglah untuk mencari dan menambahkan iman. Berikrarlah untuk berkorban apa saja untuk memperoleh iman. Relakan diri untuk diperalatkan dalam memperjuangkan untuk merebut iman.
Supaya semua itu mudah dilakukan, yakinlah bahawa Allah sentiasa mengawasi kita pada bila-bila masa saja. Dia boleh memanggil kita untuk dipersoalkan tentang semua yang kita lakukan semasa hidup di dunia. Di hari itu, tiada apa yang akan melindungi kita melainkan iman.
Allah S.W.T berfirman di dalam surah (Asy-Syu’ara’ : 88-89) maksudnya :
“Di hari kiamat, harta dan anak pinak tidak berguna lagi.Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (bersih dan beriman).”
DEFINASI IMAN
Iman ialah asas penting yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi mukmin. Kalau manusia diibaratkan seperti sepohon pokok, maka iman ialah akar tunjang bagi pokok itu. Kalau manusia diibaratkan seperti rumah maka iman ialah tapak bagi rumah tersebut. Begitulah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna lagi diredhai Allah S.W.T. Tanpa iman seseorang akan sama seperti pokok yang tiada akar tunjang atau rumah yang tidak bertiang. Maknanya seseorang yang tidak memiliki iman tidak akan ada kekuatan untuk berdepan dengan cabaran kehidupan. Dia pasti akan menghadapi kegagalan.
Meskipun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, tapi ibadah itu tidak akan berfungsi apa-apa sewaktu manusia yang tiada beriman berdepan dengan persoalan-persoalan hidup. Lagi banyak ibadah lagi cepat gagalnya, sepertilah lagi besar pokok yang tiada akar tunjang, lagi cepatlah tumbangnya atau lagi besar rumah yang didirikan di atas lumpur, lagi cepatlah ia roboh.
Datang ujian kecil pun orang yang tiada iman sudah goyang, apatah lagi kalau berdepan dengan ujian-ujian yang besar, hanyut dan karamlah dia. Sejarah telah membuktikan ini dengan berbagai-bagai bentuk. Seorang wali Allah yang mempunyai keramah-keramah yang luar biasa, punyai pula pengikut-pengikut yang berpuluh-puluh ribu dan ibadah yang berlipat kali ganda tetapi akhirnya mati dalam keadaan kafir kerana berjaya ditipu melalui seteguk arak dan seorang perempuan.
Dan sering pula berlaku dalam masyarakat kita kini, orang-orang yang kita lihat seperti ulama’ kerana banyaknya ilmu dan ibadah tapi kecundang bila berdepan dengan ujian-ujian hidup seperti pemarah, keluh kesah, hasad dengki, bakhil, gila dunia, sombong, gila puji, dendam dan lain-lain sifat yang ditegah oleh Allah.
Perkara yang paling penting kenapa berlakunya sifat-sifat keji tersebut kerana lemahnya iman. Iman yang kuat dan benar umpama mutiara yang tersimpan di dasar laut, walau sekencang mana pun ribut dan ombak yang mengganas, ia tetap tahan, kukuh dan tidak berganjak. Jadi orang yang kuat iman, walau sehebat mana pun ujian yang datang dia tetap tenang, sabar dan redha, tidak terlintas pun dihatinya untuk melanggar syariat.
Islam dapat tegak dalam masyarakat atau peribadi manusia kerana ada dan kuatnya iman. Tanpa iman yang kuat Islam hanyalah sabegai satu simbol lahiriyah yang diamalkan sebagai satu tradisi kebiasaan semata-mata. Sebaliknya iman yang kukuh akan melahirkan satu peribadi yang benar-benar kuat dan islamik. Islam adalah amalan lahir dan iman adalah amalan hati. Kalau iman kuat, Islam pasti akan kuat tetapi jika Islam kuat belum tentu imannya kuat. Ini perlu diperhatikan betul-betul. Jangan kita hanya menjadi orang yang kuat dalam beramal tetapi lemah imannya, sebaliknya jadilah muslim yang beriman dan kuat amalannya. Allah hanya menjanjikan keuntungan itu hanya bagi orang-orang yang beriman dan beramal.
Firman Allah S.W.T di dalam surah (Al-Asr : 1- 3) maksudnya :
“Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan supaya mentaati kebenaran dan berpesan-pesan supaya menetapi kesabaran.”
Allah menyebutkan iman dahulu sebagai syarat bahawa amalan yang didahului atau didorong oleh iman sahaja yang akan dinilai. Rasulullah S.A.W turut ini dengan sabdanya :
“Allah tidak melihat kepada rupanmu tetapi dia melihat hatimu.”
Sebanyak mana amalan lahir, seperti sembahyang, puasa, menutup aurat, zikir, doa, berjihad, dan lain-lain tiadalah ertinya di sisi Allah kalau itu semua bukan atas dasar iman kerana Allah. Dalam mengertikan hadith ini ada orang berkata, “buat jahat pun tidak mengapa,asalkan hati baik sebab Allah bukan melihat amalan lahir tetapi dia melihat hati.” Kalau dihuraikan maksud mereka itu, bolehlah kita katakan kita tinggal sembahyang pun tidak mengapa, dedah aurat pun tidak mengapa, maksiat pun tidak mengapa. Yang penting hati baik ! Untuk mengetahui betul atau tidak kenyataan itu cuba jawab soalan ini:
“Baikkah hati orang yang tidak sembahyang dan menderhakai tuhannya ?”
Menderhakai kedua ibu bapa pun dianggap jahat, apalagilah kalau menderhakai tuhannya. Orang yang sembahyang pun Allah tidak jamin baik, apalagi kalau tidak sembahyang. Tutup aurat pun Allah tidak terima kalau bukan kerana Allah, apalagi kalau tidak tutup aurat langsung. Pernah terjadi seorang sahabat berhijrah dari mekah ke madinah. Sahabat ini bukan berhijrah kerana menunaikan pertintah Allah, tetapi beliau ingin mengahwini dengan seorang wanita yang tinggal di Madinah. Kebetulan ketika itu masa pemergiannya sama dengan masa hijrah. Bila ditanya oleh rasulullah S.A.W, baginda bersabda :
“Amalan itu dipandang menurut niat. Siapa-siapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah menurut apa yang di hijrahkannya. Siapa-siapa yang hijrah kerana keduniaan yang akan dicapainya atau perempuan yang akan dikahwininya maka hijrahnya kepada itulah.”( Riwayat bukhari )
Hati yang baik adalah hati yang ikhlas dan beriman kepada Allah. Adakah orang yang meninggalkan solat, tidak menutup aurat, mencuri dan merompak itu semua adalah niat kerana Allah ta’ala ? Itu semua adalah mustahil ! Orang-orang yang begitu, kalau tidak bertaubat, di akhirat kelak akan tahulah siapakah dia yang sebenarnya dan dimana tempat sepatutnya dia berada.
Allah menegaskan dengan firmanNya ( Mariam : 59 ) maksudnya :
“Maka datanglah sesudah mereka pengganti-pengganti ( Yang jahat ) yang meninggalkan solat dan memperturutkan hawa nafsu, maka mereka kelak akan menemui kesesatannya”
Tegasnya orang-orang yang beriman sudah tentu akan beramal. Tetapi orang yang beramal belum tentu lagi beriman. Dan orang yang langsung tidak beramal, lagi lemahlah imannya atau langsung tidak memiliki iman. Sebab itu Allah sering mengingatkan bahawa amalan-amalan yang akan diterima Allah hanyalah amalan orang-orang yang beriman.
Di antara firman-firman Allah yang menunjukkan ialah :
“Barangsiapa yang mengamalkan amal soleh, sedang dia beriman, maka usahanya tidak diabaikan dan sesungguhnya Kami menulis amalannya itu untuknya”
( Al-Anbiya’:94 )
“Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”
( Al-baqarah:82 )
“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.”
( Mariam:60 )
“Sesungguhnya oran-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh akan memperolehi syurga yang penuh kenikmatan.”
( Luqman:8 )
Berpandukan ayat-ayat itu, faham dan sedarlah kita tentang pentingnnya iman mendahului amalan-amalan yang lain. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal adalah penipu. Manakala orang yang beramal tetapi tidak beriman adalah tertipu. Sebab itu Rasulullah S.A.W memberi amaran keras pada orang yang tidak beriman di samping menyanjung tinggi orang yang beriman. Sabda baginda :
“Dua rakaat semahyamh orang yang beriman adalah lebih baik dari dua ribu rakaat sembahyang orang yang tidak beriman.”
Dengan hadith ini mudah-mudahan sedarlah kita bawaha sia-sianya kerja kalau tidak didorong oleh iman. Dari itu eloklah bersiap-siap untuk memeriksa hati sendiri adakah sudah beriman atau belum. Cara pemeriksaan mestilah secara sistematik dan ilmiah bukan agak-agak tanpa panduan.
Makna Iman
Iman pada loghah ( bahasa yang biasa digunakan hari-hari ) bererti percaya. Sebab itu orang yang beriman dikatakan orang yang percaya. Siapa yang percaya dia dikatakan orang yang beriman. Tidak ada huraian tentang syarat dan cara percaya itu. Yang kedua ta’arif iman menurut istilah syariat islam itulah yang disabda oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“Membenarkan dengan hati melafazkan dengan lidah dan mengamalkan dengan jasad ( anggota badan ).”
Dengan hadith ini kita diberitahu bahawa iman ialah keyakinan yang dibenarkan oleh hati, diucapkan dengan mulut dan mengamalkan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman adalah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan sebagai orang yang beriman yang sempurna. Ketiadaan satu saja dari yang tiga itu, mungkin fasik, munafik atau kafir.
Kita lihat sekarang apa yang jadi pada seseorang yang tidak memenuhkan syarat-syarat beriman itu :
1. Seorang yang mengucapkan la ilaha ilallah dan yakin dengannya, tapi tidak beramal atau amalnnya tidak sempurna sepertimana yang dikehendaki adalah seorang mukmin yang fasik atau derhaka, di akhirat nanti tempatnya ialah neraka. Cuma kerana imannya yang sedikit itu sah maka ada juga peluang untuknya ke syurga setelah selesai diazab di api neraka.
2. Seorang yang yakin tetapi tidak mahu mengucapkan la ilaha illallah, samada beramal atau tidak, dia dikira sebagai kafir. Ada juga qaul yang memfasikkan saja, tetapi menurut qaul yang lebih jelas ia adalah kafir. Matinya tidak boleh dikuburkan ditanah perkuburan orang-orang islam dan tempatnya di akhirat kelak akan kekal diseksa di neraka Allah.
3. Seseorang yang mengucap la ilaha illallah kemudian beramal dengan tuntutannya ( sedikit atau banyak ) tetapi keyakinannya dicelahi dengan keragu-raguan adalah orang munafik. Ragu-ragu ini bukan sahaja terhadap Allah, tapi mungkin pada Rasul, Malaikat, kitab, hari kiamat atau Qadha’ dan Qadar Allah.
Contoh-contoh keraguan
1. Ragu tentang kerasulan salah seorang nabi dan rasul yang wajib diimani. Katakanlah bila dikaji riwayat hidup nabi Allah iaitu nabi Ayub a.s dia ragu-ragu tentang kenabiannya. Ketika itu walau sebanyak mana pun ucapan la illaha illallah dan amalan-amalannya tetaplah sebgai munafik.
2. Ragu-ragu dengan rezeki yang Allah berikan dengan mengatakan “rezeki mesti dicari dengan ikhtiar dan usaha, rezeki tidak boleh datang sendiri”. Dengan keraguan rezeki yang sentiasa diberikan oleh Allah S.W.T dia termasuk dalam golongan munafik walaupun dia mengucapkan kalimah syahadat dan beramal dengannya.
3. Ragu-ragu dengan Qadha’ dan Qadar Allah. Misalnya suatu hari anaknya mati dilanggar kereta. Dengan sedih dan terlalu marah tanpa dapat mengawal emosi terdetik diahatinya, “Kalau tidak kerana kereta ini mungkin anak aku tidak mati.” kalaulah keyakinnya tidak diperbaharui dan tidak bertaubat, tetaplah dia sebagai munafik.
Keraguan itu mungkin dalam bentuk jahil, syak,dzan atau waham. Hukum munafik ini jatuh pada mereka yang telah mengucapkan dua kalimat syahadat serta beramal.
Orang-orang munafik adalah orang-orang yang menunjukkan suasan islam dan merahsiakn kekufuran, mereka berpura islam pada zahirnya tetapi melalui batin hatinya tidak menerima islam. Orang munafik hakikatnya adalah orang kafir.
Malah bahayanya orang munafik kepada orang islam jauh lebih besar daripada bahaya yang didatangkan oleh orang-orang kafir. Orang kafir adalah musuh yang jelas dan nyata pada umat islam tetapi munafik seumpama musuh dalam selimut kepada umat islam. Orang munafik amat sukar dikesan kerana mereka tiada perbezaan dengan umat islam. Jadi, umat islam harus berhati-hati dengan tipu daya orang munafik.
Allah telah menerangkan ciri-ciri orang munafik dengan firman-Nya yang bermaksud :
“Dan apabila kamu melihat mereka,tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum ; dan apabila mereka berkata kamu ( tertarik ) mendengar perkataan mereka. Namun ( demikian ) mereka seakan-akan kayu yang tersandar (yakni tidak memahami kebenaran). Mereka mengira tiap-tiap teriak yang keras ditujukan kepada mereka ; mereka itulah ( musuh yang sebenarnya ) maka waspadalah terhadap mereka. Bagaimana mereka sampai dipalingkan dari kebenaran.
(Al-munafikun:4)
Di akhirat nanti Allah akan menimpakan pada golongan munafik seksa yang amat pedih. Firmannya :
“Khabarkanlah pada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat siksa yang amat pedih”
( An Nisaa’:138 )
Begitu sekali allah menghina oang-orang munafik, lebih hina dari orang kafir sendiri.
Manakala seseorang yang tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah,tidak percaya di hati dan tidak pula dia beramal, dia adalah seorang yang kafir. Di akhirat kekal selama-lamanya dalam neraka Allah. Firman Allah S.W.T :
“Sesungguhnya binatang-binatang ( makhluk ) yang paling buruk pada sisi Allah adalah orang-orang kafir kerana mereka tidak beriman.”
( An anfal:55 )
Nilaian seseorang itu beriman atau tidaknya diukur melalui satu hadith yang diriwayatkan oleh saidina Umar al-khattab :
Suatu hari sedang kami mengelilingi Raslulullah di dalam masjid telah masuk lelaki yang segak, berpakaian putih bersih tanpa debu sedikit pun seakan-akan dia datang dari tempat yang dekat tapi tiada seorang pun dari kami yang mengenalinya. Lelaki itu terus duduk dihadapan Rasulullah,hingga lututnya bertemu lutut rasulullah dan tangannya diletakkan diatas paha rasulullah. Lelaki ini kemudian bersuara, “Khabarkanlah padaku apa itu islam?” Rasulullah terus menjawab, “Islam ialah engkau mengucapkan laa ilaaha illallah, waasyhadu anna Muhammadar Rasulullah.
Bererti :
Tiada tuhan selain Allah, Nabi muhammad pesuruh Allah.
Apabila seseorang mengucapkan kalimah ini, jadilah dia seorang islam. Tapi dia belum boleh dikatakan sebagai orang yang beriman, walaupun dia puasa, sembahyang dan menunaikan haji.
Untuk Menjadi orang yang beriman ucapan dua kalimah ini syahadah mestilah dipelajari maksud dan tuntutannya, kemudian difahami, diyakini ( tanpa ragu ) dan dihayati untuk diamalkan.
Keraguan seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah sama ada maksud tentang kalimah tersebut atau lain-lain rukun iman boleh berlaku dalam empat cara iaitu :
1. Jahil
2. Syak
3. Zan
4. Waham
Apabila Persoalan iman seseorang ada dicelahi oleh orang jahil atau syak atau salah satu dari empat tadi maka ia dikatakan belum beriman. Sebaliknya seseorang yang mengucapkan kalimah syahadah ini dengan keyakinan yang begitu tinggi barulah dia dikira sebagai orang yang beriman. Orang yang beriman sahajalah yang sanggup mengerjakan segala perintah dan suruhan Allah serta meningglkan apa yang dilarangkannya.
Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang bukanlah satu perkara yang mudah. Ia mungkin ada pada orang yang mengucapkan kalimah syahadah yang difahami dan dihayati sungguh-sungguh sahaja.
Di antara tuntutan kalimah syahadah
1. Mengabdikan diri hanya pada Allah S.W.T. Amalan-amalan dalam hidup sehari-hari semuanya dijadikan ibadah pada Allah dengan memenuhi syarat-syarat yang berikut :
-Niat segala perbuatan tadi mestilah betul hanya untuk beribadah kepada Allah S.W.T semata-mata.
-Segala perbuatan tadi mestilah mengikut syariat islam.
-Perkara yang dibuat sah mengikut islam
-Natijah mestilah betul hanya untuk Allah.
-Tidak pula meninggalkan segala perkara asas.
2. Tiada yang diredhai melainkan Allah.
3. Tiada yang ditakuti melainkan Allah.
4. Tiada yang dicintai melainkan Allah.
5. Tiada tempat menyerah diri selain Allah.
Apabila segala tuntutan ini dipenuhi dan ditunaikan barulah terjawab sabda
Rasulullah S.A.W :
“Siapa yang mengucap dua kalimah syahadah masuk syurga”
Ini bermakna kalimah syahadah yang diiringi dengan keyakinan yang jitu, jiwa yang bertaqwa.
Dalam hadith lain pula Rasulullah S.A.W bersabda :
“Seseorang yang mengucap la illaha ilallah akan memberi banyak faedah pada orang ramai kalau dia tunaikan haknya. Sahabat-sahabat bertanya, “apakah hak kalimah itu ya Rasulullah ?.” jawab baginda, “menegakkan amrun bil ma’ruf wa nahyi anil munkar.”
Sesungguhnya kalimah syahadah yang menjadi syarat islam dan imannya seseorang itu mengandungi erti dan maksud yang luas. Setinggi mana iman seseorang adalah bergantung pada setinggi mana keyakinan dan sebanyak mana tuntutannya ditunaikan.
PENUTUP
Masa beredar detik demi detik, tidak pernah berhenti. Satu detik umur yang kita tinggalkan bererti satu detik umur yang kita hilang. Satu detik umur kita berlalu bermakna satu langkah kita menghadapi kematian. Mati merupakan perpindahan kita dari alam dunia yang fana ini ke alam barzakh yang kekal abadi. Di sana Allah lanjutkan hidup kita. Kehidupan disana adalah balasan kepada cara hidup di dunia ini.
Seandainya kita pilih di dunia ini kehidupan beriman dan beramal baik maka di barzakh kita akan menerima ganjaran kebaikan. Tetapi sekiranya di dunia ini kita kufur dan tidak beramal soleh maka Allah S.W.T akan memberikan balasan yang setimpal di alam barzakh nanti. Akan kekallah kita begitu, hingga tibanya hari qiamat, di mana Allah akan sempurnakan pembalasan pada hamba-hambanya.
Di hari kiamat akan bangkitlah manusia dari barzakh dalam bentuk yang di warisi sejak di dunia. Orang yang beriman adalah golongan yang berjaya. Di samping itu, orang-orang yang ingkar menderhakai Allah, adalah golongan yang tercela dan menderita.
Di hari qiamat kelak manusia dikelaskan hanya pada dua kelas; iman atau kafir. Tidak ada kelas ketiga. Sesiapa yang dapat masuk ke kelas iman maka berbahagialah dia, tetapi sesiapa yang terpaksa masuk ke kelas orang-orang yang kafir, menderitalah dia selama-lamanya di dalam api neraka.
Siapa di antara kita yang sanggup dan mahu menerima penderitaan hidup ? Di uji dengan sedikit kesusahan di dunia ini pun kita sudah resah gelisah dan tidak sabar lagi, apatah lagi kalau diseksa dalam api neraka untuk selama-lamanya. Sudah tentu tidak mahu !
Jika begitu kita tidak ada pilihan lain selain beriman. Peluang hidup yang masih ada ini janganlah kita sia-siakan. Pilillah jalan hidup beriman dan jalan-jalan orang yang telah hampirkan diri pada Allah seperti para nabi dan salafus soleh. Jalan lurus yang telah direntang oleh Al-quran dan sunnah. Jalan itu ialah kehidupan yang diasaskan oleh rasa cintanya pada tuhan. Rindukan syurga dan takutkan pada neraka Allah.
Mereka sentiasa melebihkan kepentingan akhirat dari kepentingan dunia mereka. Tidak pernah terniat untuk menderhaka pada Allah sebaliknya mereka sentiasa merancang dan bersedia untuk berbakti pada Allah.
Sudah menjadi sunnatullah bahawa jalan-Nya itu adalah susah dan payah sekali. Menenpuhnya bererti menyusahkan diri dengan segala pengorbanan yang besar-besar. Bagaimanapun ia adalah paling mulia. Jalan inilah yang ditempuh oleh para anbiya’ dan orang-orang muqorrobin. Mereka ini sudah sampai ke penghujungnya dan sekarang ini sedang menikmatinya. Kesukaran yang terpaksa kita tanggung adalah harga bagi kebahagiaan yang kita akan terima kelak.
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com