Sikap Wanita Islam Kini -

Oleh: Nur Ellia Binti Norazam

WANITA-WANITA ISLAM DAN PERJUANGAN

Wanita Islam zaman kini menjangkau sangat jauh dalam perjuangan mereka bagi menuntut hak `Kebebasan Wanita`. Hakikatnya, perjuangan ini diasaskan oleh wanita-wanita barat yang asalnya bukan beragama Islam dan diikuti oleh wanita-wanita Islam sekarang. Perjuangan mereka berkisar pada dua aspek penting :

 i) Kedudukan wanita dalam masyarakat, seperti isu bertudung, pelajaran campuran (co-education), pergaulan bebas, bekerja di luar rumah dan sebagainya.
ii) Hak sama rata dengan kaum lelaki, khasnya dalam hal pekerjaan, seperti hal kenaikan pangkat, pentadbiran awam, keluarga dan `personal affair`.

Wanita Islam sekarang sudah tidak segan-silu memakai pakaian `mini` di luar rumah. Pada mulanya, mereka hanya ingin membuka tudung atas alasan-alasan yang tertentu, tetapi kini benci pula melihatnya. Di samping itu, mereka bukan sahaja benci kepada agama, tetapi takut bahkan lari dari hukum-hukum agama.

Mengenai perjuangan mereka untuk mendapat pelajaran campuran, iaitu belajar di sekolah yang bercampur lelaki dan perempuan, awalnya diimplimentasikan di kelas-kelas pra sekolah sahaja iaitu TADIKA. Kemudian menjalar pula ke arah Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan terus ke Sekolah Menengah Atas. Akhirnya, amalan co-education ini merebak ke pusat-pusat pengajian tinggi, maktab-maktab dan universiti-universiti.

Dalam perhimpunan-perhimpunan awam, kelab-kelab persatuan, perhubungan mass-media dan dalam pekerjaan, semua kaum wanita telah sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki. Ini kerana datangnya suara-suara yang melaungkan agar mereka diberi kebebasan bergaul dalam masyarakat umum. Seruan ini mendapat sambutan yang sangat baik dari kalangan mereka sendiri.

Pergaulan bebas itu membawa kepada persahabatan yang lebih erat, khususnya dalam kalangan muda-mudi yang baru meningkat remaja. Mereka sering bersaing-saingan dan berpasangan-pasangan di jalan-jalan, di kebun bunga dan sebagainya.

Dalam masa yang sama bangkit pula satu isu dari kalangan mereka yang menentang kaum wanita keluar bekerja di luar rumah. Wanita-wanita barat sebenarnya bekerja di luar rumah kerana keadaan darurat yang berlaku akibat perang dunia. Mereka harus bekerja bagi menampung kekurangan tenaga buruh di samping mencari nafkah. Keadaan ini tidak berlaku dakam negara-negara Islam. Jadi wanita-wanita Islam yang bekerja di luar rumah hanya meniru gelagat wanita barat sahaja, tidak lebih dari itu.

Sebenarnya ada dua tujuan penting bagi wanita yang keluar bekerja di luar rumah:
i) Bagi mendapat kebebasan ekonomi. Apabila mereka bekerja, mereka mempunyai wang sendiri. Jadi mereka bebas untuk berbelanja apa saja yang diingini dan tidak pula terikat kepada orang lain seperti bapa, suami, dan sebagainya.
ii) Apabila sudah mempunyai wang sendiri, fikiran akan berasa tenang. Mereka bebas berfikir dan mengatur rancangan untuk kepentingan diri. Mereka bebas keluar rumah untuk mencari pasangan sebagai teman hidup dan sebagainya.
 Dalam suasana begini, mereka lebih selesa jika tinggal bersendirian atau bersama rakan-rakan daripada berasa dikongkong oleh keluarga. Inilah dua tujuan penting dalam tindakan mereka bekerja di luar rumah. Justeru, mereka semakin jauh dari keluarga sendiri dan menyebabkan hubungan semakin renggang. Akhirnya hilanglah identiti kekeluargaan yang selama ini begitu kuat dengan adat-adat keislamannya.

PERSAMAAN HAK

Setelah wanita Islam dapat bergaul bebas dengan lelaki dan setelah dapat bekerja di pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat-syarikat swasta, didapati bahawa prestasi dan pencapaian mereka dalam pekerjaan itu memuaskan, maka mereka memajukan pula tuntutan lain, iaitu tuntutan persamaan hak dengan kaum lelaki.

Dengan itu peluang –peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang haruslah disediakan dengan lebih banyak lagi kepada kaum wanita, seperti dalam sektor perhubungan, dalam pengangkutan darat, air dan udara. Dalam bidang politik pun demikian juga, mereka mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Mereka boleh menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Setelah diberi peluang-peluang itu, ada pula perbezaan dalam pengagihan kerja dan jawatan. Dengan itu mereka menuntut pula agar diberi tugas yang sama seperti lelaki dan boleh berganding bahu bekerja bersama lelaki dalam pejabat yang sama. Kemudian harus pula diberi gaji dan layanan yang sama.

Pertubuhan Pembebasan Wanita menuntut kepada masyarakat Islam agar diberi hak serta kuasa yang sama dengan kaum lelaki dalam hal keluarga atau Ahwal Syakhsiah. Antara yang dituntut ialah :
i)    Persamaan kuasa menjadi wali dalam akad perkahwinan.
ii)    Persamaan hak dalam hal penceraian.
iii)    Persamaan dalam hal pusaka.
iv)    Hak poligami yang ada pada lelaki hendaklah ditarik balik.
v)    Saksi wanita dalam susuatu perbicaraan di mahkamah mestilah diambil kira sama dengan saksi seorang lelaki

GERAKAN PEMBEBASAN WANITA-WANITA DI BARAT

Selagi wanita-wanita Islam masih merasa mudah mengikut prosedur yang diatur oleh wanita-wanita Barat, khasnya dalam gerakan pembebasan ini, lambat-laun kita akan dapat lihat akibat yang diterima oleh wanita Islam. Mereka berusaha pelbagai cara untuk sampai ke matlamat perjuangan mereka itu dan akhirnya mereka juga turut rosak seperti mana rosaknya moral wanita di barat.

Sebagai contoh, perusahaan yang sangat laris masa kini ialah `modeling`. Perusahaan ini bukan sahaja memperniagakan gambar-gambar wanita separuh bogel, tetapi wanita-wanita bogel dengan gaya yang sangat mengghairahkan. Ada juga dan gambar yang memperlihatkan aksi melakukan hubungan jenis dengan gaya liar. Sebahagiannya dimuatkan dalam wayang gambar (Blue Film) yang ditayangkan di panggung wayang.

Perjuangan mereka bagi mendapatkan kebebasan ekonomi, kebebasan bagi keluar bekerja di luar rumah, menjadikan mereka merasa sangat bebas. Hinggakan mereka sanggup meminta agar dimansuhkan perkahwinan yang ada, yang dianggap mengikat kebebasan mereka.

Negeri-negeri di Scandinavia telah menggubalkan satu undang-undang keluarga sejak 1972 lagi iaitu menggalakkan perzinaan. Pertubuhan Pembebasan Wanita di negeri ini meletakkan garis-garis kasar undang-undang supaya membolehkan lelaki yang menginginkan anak tidak perlu berkahwin sebaliknya dengan cara `Permanian Beradas` atau secara `bayi tabung uji` dengan bantuan para doktor yang mereka sukai.

Sekarang kita dapat lihat betapa bebasnya wanita-wanita barat yang bekerja di luar rumah dan mendapat kebebasan diri yang penuh dan terlepas dari kongkongan keluarga, dan sebanyak itu pulalah mereka mencuaikan tugas sebagai ibu dan sebagai isteri yang baik.

Dari tindakan wanita barat untuk mendapatkan kebebasan diri `Self Freedom`, maka banyak pula perkara lain yang turut berlaku berkaitan dengan tindakan itu seperti perpecahan keluarga, banyak berlakunya zina dan sebagainya. Lanjutan itu, mereka menuntut pula beberapa perkara lain kononnya bagi menjaga imej kewanitaan mereka. Antaranya ialah :
i)    Pengguguran
ii)    Kahwin cubaan
iii)    Pertukaran pasangan
iv)    Permanian beradas
v)    Mengharuskan pelacuran

Demikianlah apa yang terjadi ke atas wanita-wanita barat zaman kini hasil daripada gerakan pembebasan diri oleh Pertubuhan Pembebasan Wanita `Women`Liberation`.

Sekarang langkah-langkah gerakan ini sedang diikuti oleh wanita-wanita Islam di Negara Islam sendiri. Seandainya tiada kefahaman agama yang mencukupi dan iman yang kuat, sudah tentulah wanita-wanita Islam akan terikut-ikut dan langsung terjerumus ke lembah yang hina ini.

MASYARAKAT SEKARANG

Pada lahirnya kaum wanita barat sekarang telah pulang ke zaman Jahiliah dalam segala perbuatan mereka. Ini semua kesan daripada gerakan `Women`s Lib. `. Gerakan itu kini diikuti pula oleh kaum wanita Islam. Dalam banyak hal wanita Islam telah pun mengamalkan apa yang telah dilakukan oleh wanita di barat yang telahpun rosak moralnya itu.

Sifat-sifat kemanusiaan yang seharusnya ada pada setiap umat Islam, misalnya sifat ikhlas, malu, memuliakan orang, amanah dan sebagainya dalam suatu perhubungan telah hilang sama sekali.

Apa yang telah wujud sekarang ialah setiap perhubungan yang wujud antara satu sama lain hanyalah untuk kepentingan diri sendiri dan kebendaan sahaja. Seorang wanita sanggup menyerahkan kesucian dirinya dinoda bagi mendapatkan sesuatu. Seorang suami sanggup memberikan isterinya kepada orang lain asalkan orang itu juga sanggup menyerahkan isterinya kepadanya.

Kadi dan hakim sering sahaja menerima rasuah kerana kepentingan pemberi rasuah itu, iaitu bagi mendapatkan sesuatu yang bukan haknya. Wasi anak yatim memakan semua harta anak yatim, kononnya itulah rahmat Tuhan kerana dia telah memelihara anak-anak yatim.

Peniaga-peniaga dengan senang hati mengurangkan timbangan dan sukatan semasa sedang menjual, tetapi ketika membeli dilebihkan pula dengan tujuan menginginkan keuntungan yang besar. Demikian juga perkara-perkara lain;kebanyakannya sudah tidak mempunyai nilai kemanusiaan dan keagamaan lagi. Yang ada cumalah nilai material.

Ini menunjukkan bahawa manusia zaman sekarang telah tidak menyembah Allah lagi, sebaliknya telah menyembah harta benda. Mereka berlumba-lumba ingin mendapatkan harta benda dan lupakan Allah yang telah menciptakan mereka dan harta yang mereka miliki itu.

Wanita-wanita zaman sekarang adalah hidup dalam zaman Jahiliah moden yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata lebih dari segala-galanya. Mereka amat mengutamakan ekonomi sehingga mengatasi hak-hak kemanusiaan dan sampai ke peringkat menzalimi orang lain. Mereka telah menilai seseorang berdasarkan keteguhan ekonominya, bukan berdasarkan nilai-nilai kemanusiaannya yang tinggi.

Wanita Barat sekarang dengan senang hati mahu menggugurkan anak dalam kandungannya akibat takut menjadi papa atau kesempitan ekonomi. Hal ini sama sahaja dengan sikap wanita zaman Jahiliah dulu yang sanggup membunuh anak-anak kerana sebab-sebab peribadi dan ekonomi. Jadi, melalui cara pengguguran yang dilakukan oleh wanita sekarang bolehlah mereka mengatasi masalah hidup termasuklah masalah kemiskinan dan kesempitan wang.

Wanita zaman kini sudah berani menelan pil-pil perancang keluarga bagi mencegah daripada mengandung. Sekiranya sudah mengandung mereka mencuba pula melakukan pengguguran. Jika terlambat juga dan terpaksa melahirkan anak, maka dia akan berikan anak tersebut kepada orang lain sebagai anak angkat. Perbuatan ini adalah satu kezaliman.

Wanita Barat sekarang sanggup membiarkan dirinya dimamah orang dalam upacara yang dipanggil `Pertukaran Pasangan`. Dalam upacara ini mereka akan berkumpul di suatu tempat khas lantas setiap pasangan suami isteri akan memilih orang lain sebagai peneman tidurnya. Pernah juga berlaku pasangan tersebut melakukan hubungan jenis dengan pasangan masing-masing di dalam sebuah bilik sahaja. Bermaksud pasangan-pasangan itu dapat melihat dengan mudah pasangan lain melakukan persetubuhan.

Anak yang diperoleh hasil daripada persetubuhan itu dikira anak suami bagi pasangan suami isteri itu sendiri. Inilah masanya orang-orang barat boleh berkahwin lebih daripada satu ke satu bilangan yang tidak terhad. Bukan sahaja suami yang boleh melakukan hal demikian tetapi isteri juga sama boleh berbuat demikian. Walaubagaimanapun, ada juga antara wanita barat yang tidak menyukai prosedur ini. Mereka menganggap anak yang didapati secara ini bukanlah anak yang baik, dia lebih merupakan anak sundal.

Wanita-wanita barat masa kini mula menceburkan diri dalam perusahaan pelacuran. Mereka merelakan diri menjadi pelacur bagi mendapatkan wang. Perusahaan ini telah menjadi satu perusahaan yang laku dan mampu mengumpulkan modal yang banyak. Pada mulanya mereka mengeluarkan modal untuk mendirikan rumah-rumah pelacuran dan rumah-rumah tumpangan bertujuan mewujudkan profesyen Pelacuran, iaitu memperdagang kehormatan wanita dengan membayar sedikit wang kepada mereka.

Perusahaan pelacuran merupakan satu kezaliman kerana menjatuhkan martabat seseorang. Tujuan perusahaan ini cumalah kebendaan. Kenikmatan yang diperoleh oleh para pelacur itu bukanlah kenikmatan rohani, sebaliknya kenikmatan fizikal dan material sahaja.
Wanita barat sekarang berusaha membabitkan diri mereka ke kancah ini melalui perjuangan mereka dinamakan `Pembebasan Wanita`. Tujuan perjuangan itu adalah kebebasan dan di sebalik kebebasan itu mereka ingin merosakkan diri sendiri kerana mengejar kebendaan.

Wanita Timur sekarang ini juga terikut-ikut dengan gerakan pembebasan itu. Mereka menuntut hak sama rata dalam masalah Talaq. Ini bertujuan agar mereka tidak lagi berada di bawah kawalan orang lain atau kawalan suami. Dengan itu mereka akan berasa bebas ke mana sahaja dan bebas melakukan apa-apa sahaja.

ISLAM DAN KEDUDUKAN WANITA

 Pandangan Islam terhadap perkara-perkara yang terjadi pada wanita barat adalah seperti berikut :
i.    Islam mengharamkan pengguguran anak dalam kandungan.
ii.    Tidak harus melakukan hubungan jenis sebelum aqad nikah
iii.    Tidak mempunyai rancangan bertukar isteri atau suami dalam Islam. Malah perbuatan tersebut adalah haram.
iv.    Tidak harus melakukan permanian beradas kepada manusia.
v.    Pelacuran adalah haram dalam Islam.
vi.    Tidak harus mendedahkan aurat bagi wanita Islam.
 Islam telah mengatur kedudukan individu dalam keluarga dan masyarakat serta peranannya sekali. Seorang lelaki menjadi seorang bapa dan suami yang mencari nafkah untuk keluarganya. Walaubagaimanapun Islam memaafkan wanita yang ingin bekerja di luar rumah bersyaratkan :
a)    Tidak menjejaskan kehormatan sebagai seorang wanita bila bertemu seorang lelaki di tempat kerjanya.
b)    Tidak menjejaskan kehidupannya sebagai seorang isteri yang berlemah lembut dan kasih sayang serta bertanggungjawab terhadap keluarganya.
c)    Tidak menjejaskan kedudukannya sebagai seorang ibu yang memberi pengajaran yang baik terhadap anak-anak yang masih kecil.

Wanita barat sekarang lebih gemar sekiranya tidak ada ikatan perkahwinan sebagai peraturan hidup berkeluarga. Mereka lebih suka menerima keadaan masyarakat yang mengizinkan mereka bersekedudukan dengan lelaki lain tanpa ikatan perkahwinan. Mereka juga pasti akan diberi bayaran nafkah dan tempat tinggal yang baik kerana perhubungan yang sedemikian. Bayaran yang diberikan itu tidak pula mengikat mereka dari melakukan sesuatu yang lain.

PERSAMAAN DALAM HUKUM SAKSI

Wanita Islam tidak berpuas hati kerana Syariat Islam tidak mengambil kira saksi wanita dalam kes-kes harta (civil), melainkan jika bersama-sama lelaki. Manakala dalam kes jenayah seperti hukum `hudud` dan `Qiyas`, hanya saksi lelaki sahaja yang diterima. Saksi perempuan sama sekali tidak diterima, melainkan dalam masalah tertentu di mana tidak ada langsung lelaki yang mengetahuinya.

Lelaki dan perempuan sama sahaja sifatnya;kedua-duanya adalah manusia yang mempunyai hatidan perasaan. Cuma perbezaannya lebih mudah terpengaruh dan menerima sesuatu serta mudah pula berubah. Lelaki lambat menerima sesuatu dan lambat pula timbul perasaan untuk mengubah sesuatu. Lelaki lebih tegas dan tidak mudah terpengaruh berbanding wanita.

Kaum lelaki dikatakan sebagai seorang yang tegas dan keras. Dia lebih tahan dan tabah menanggung kepayahan dan masalah daripada wanita. Mereka lebih banyak berfikir sebelum bertindak. Bagi wanita pula, mereka tidak tetap pendirian dan tidak tegas seperti lelaki. Mereka lebih cepat menerima sesuatu tanpa berfikirdan meneliti terlebih dahulu. Justeru, semasa Allah menerangkan saksi dalam hutang piutang, Allah menetapkan dua orang perempuan bersama seorang lelaki.

Islam telah menetapkan dua orang saksi perempuan dalam masalah hutang bersamaan seorang lelaki memandangkan tabiat perempuan yang cepat pelupa dan kurang kuasa ingatan. Dari sini kita dapat faham bahawa syariat Islam ini sangat memelihara kehendak manusia kerana kelalaian inilah yang menunjukkan perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hukum saksi.

ISLAM TIDAK MENGKESAMPINGKAN WANITA

Akhirnya Al-Quran menerangkan penghormatan yang diberikan kepada kehendak semulajadi wanita. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah memberi kebebasan memilih kepadaisteri-isteri baginda sama ada mahu terus hidup di samping baginda atau mahu mencari kehidupan sendiri.

Rasulullah S.A.W. merupakan manusia biasa. Baginda terpaksa bekerja mencari nafkahnya, berasa lapar dan dahaga dan sebagainya. Baginda ialah seorang rasul dan pemimpin umat. Dalam catatan sejarah baginda amat terkenal sebagai seorang pemimpin yang terulung.

Dalam syariat Islam, tidak ada nas yang merendakan kaum wanita dan tidak memperhitung kehendak-kehendak semulajadi wanita, khususnya dalam memberi kuasa memilih kepada mereka.

Masyarakat Islam sendiri, seandainya terlalu melampaui batas dalam mengejar kebendaan, maka di saat itu nilai-nilai kemanusiaan dengan sendirinya semakin hari semakin merosot. Di kala itu jugalah masyarakat Islam menjadi masyarakat Jahiliah.

Ketika masyarakat lebih mementingkan dunia dan benci pula kepada mati, makabermaksud masyarakat itu telah menzalimi diri sendiri kerana mengejar kebendaan. Nilai kemanusiaan hanya menjadi sifat perseorangan sahaja, bukan lagi sifat masyarakat.

Para wanita zaman Jahiliah zaman kedatangan Islam dahulu suka menzahirkan barang yang sepatutnya ditutup. Mereka sanggup mempamerkan bahagian atas hingga ke paras bila bersama kawan karibnya, malah kadang kala lebih dari itu lagi.

Bagi mengetahui lebih mendalam mengenai kelebihan Syariat Allah ini, mereka hendaklah mengenali diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Apabila sudah mengenali diri sendiri semoga keimanannya kepada Allah juga akan turut bertambah. Dengan itu mereka boleh menyesuaikan diri dengan lelaki sama ada dalam keluarga atau dalam masyarakat.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com