MURTAD JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Disediakan untuk : Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Muhammad Nur Ariff Bin Mohd Sadni

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah nikmat kurniaNya dapat juga saya siapkan tugasan ini dengan jayanya. Sekalung asprisiasi saya hulurkan buat pensyarah tercinta saya, Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin kerana telah mencurahkan ilmunya kepada saya serta memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam menyempurnakan tugasan ini dengan sebaiknya. Seterusnya, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan saya disamping memberi sokongan yang padu kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa penghargaan kepada rakan-rakan yang sentiasa bersama saya dan memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk meyelesaikan tugasan ini dengan suksesnya. Akhir kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun sebaliknya dalam pembikinan kerja kursus ini.

Akidah merupakan tunjang utama dalam pembentukan masyarakat Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Sebagai seorang muslim kita semestinya menjaga akidah kita daripada dirosakkan atau dipesongkan dengan anasir-anasir luar yang memusuhi Islam. Dalam era globalisasi ini isu murtad sering diperkatakan sama ada di kaca televisyen mahupun di corong radio, namun ia telah menimbulkan kerisauan kepada setiap individu yang bergelar muslim. Kebelakangan ini, terdapat banyak laporan mengenai kes-kes murtad yang dimonopoli oleh golongan saudara baru. Hal ini kerana golongan ini masih dalam proses mengenali Islam jadi pegangan dan keyakinan mereka terhadapa agama yang suci ini tidak begitu mantap. Mereka yang gagal menyesuaikan diri dan kecewa dengan ujian dan dugaan semasa menjalani kehidupan sebagai seorang muslim kebiasaannya akan mengambil tindakan keluar daripada Islam dan kembali semula menganut agama asal mereka. Perkara sedemikian sewajarnya dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat dan perlu diambil tindakan dengan segera. Jika perkara ini terus berlanjutan tanpa jalan penyelesaian, ia akan memberikan impak yang besar terhadap agama Islam seterusnya memberikan tanggapan negatif kepada masyarakat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini?Apakah punca sebenar sehingga berlakunya kejadian murtad saudara baru?Adakah terdapat gerakan yang memurtadkan mereka? Semuanya akan dikupas secara menyeluruh.

1. 1 MURTAD DALAM MASYARAKAT MELAYU
Tidak kurang hebatnya dengan kejadian murtad yang berlaku dalam kalangan orang Melayu yang memburukkan lagi pandangan orang luar terhadap agama Islam. Kini orang Melayu yang murtad bukan lagi perkara yang baru malah isu ini dianggap sebagai perkara biasa. Kejadian murtad yang berlaku secara berleluasa di negara kita telah menyedarkan umat Islam di negara ini daripada terus dibuai mimpi langkah mencari inisiatif untuk menyelesaikannya. Umat Islam perlu bersatu dalam menangani masalah murtad sebagai usaha menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus dipesongkan dan dirosakkan oleh musuh-musuh Islam. Ada pepatah yang berbunyi bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Ukhwah antara orang Islam perlu diperkukuhkan untuk menentang anasir-anasir luar mempengaruhi dan merosakkan akidah umat Islam. Pelbagai cara mereka merancang sama ada secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi untuk memesongkan akidah umat Islam. Bagi mereka yang lemah iman akan mudahlah termakan hasutan untuk murtad. Masalah murtad boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira mengira tempoh bergelar sebagai muslim. Ia boleh berlaku kepada golongan muda dan juga orang tua, lelaki mahupun wanita. Jika dilihat fenomena yang berlaku sekarang gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja disebabkan terpengaruh dengan budaya barat yang disebarkan melalui pelbagai cabang media elektronik dan media massa. Contoh ini sudah cukup menggambarkan bagaimana gerakan murtad dilakukan secara halus dan terperinci tanpa disedari oleh orang ramai dan pihak berkuasa. Punca utama dalam hal ini adalah gerakan mubaligh Kristian yang memainkan peranan penting mereka untuk menyebarkan agama Kristian di negara ini dan diikuti oleh mubaligh-mubaligh daripada agama lain. Meskipun dalam Perlembagaan Malaysia mengandungi undang-undang yang menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi namun itu bukanlah halangan untuk mubaligh-mubaligh agama lain berusaha menarik minat orang Islam terutama orang Melayu untuk murtad. Walaupun kerajaan Malaysia memberikan hak kebebasan beragama tetapi perlu diingatkan bahawa hak itu hanya untuk orang bukan beragama Islam dan orang Islam tidak boleh menukar agama.
1. 2 MAKSUD MURTAD DALAM PELBAGAI ASPEK
Definasi murtad merupakan perkataan daripada Bahasa Arab iaitu Riddah atau Irtidad yang diterjemahkan dari segi bahasa ialah kata terbitan daripada perkataan Riddah yang bermaksud kembali atau rujuk manakala dari segi istilah pula murtad bermaksud keluar daripada agama Islam atau tidak mempercayai agama Islam sama ada melalui perbuatan, perkataan atau iktikad. Ada yang berpendapat bahawa seseorang boleh dianggap murtad jika menghina Al-Quran, mengutuk Rasulullah, tidak melakukan solat fardhu dan mengeluarkan zakat, minum arak dan melakukan zina. Murtad merupakan salah satu dosa besar dan juga jenayah syariah yang boleh dikenakan hukuman hudud kepada individu yang murtad dengan sengaja. Menurut pandangan fuqaha majoriti berpendapat bahawa seseorang yang murtad hendaklah dikenakan hukuman bunuh setelah diberi peluang untuk bertaubat tanpa mengira lelaki atau perempuan dan tua atau muda. Seterusnya dari sudut pandangan reformis pula mereka menganggap orang yang keluar daripada Islam secara sembunyi walaupun tidak berniat jahat untuk memburukkan Islam golongan ini tidak menerima hukuman di dunia tetapi mendapat balasan yang amat pedih di akhirat kelak. Sebelum proses hukuman bunuh dijatuhkan orang yang murtad diberi kesempatan untuk kembali bertaubat memohon keampunan daripada Allah atas kesalahan yang di lakukan. Jika seseorang yang murtad sudah insaf dan bertaubat sama ada taubatnya diterima oleh Allah ataupun tidak maka dia terlepas daripada hukuman bunuh. Menurut Imam Abu Hanafiah, Imam As-Shafi’I, Imam Ahmad dan Hassan Al-Basri menyatakan suruhan bertaubat hanya galakan bukan kemestian. Orang yang murtad diberi tempoh selama 3 hari untuk bertaubat sebelum hukuman bunuh dikenakan. Mereka berpendapat tiada hadis Rasulullah yang menyuruh berbuat demikian. Dalam pandangan Imam Malik berpendapat bahawa peluang bertaubat adalah wajib diberikan kepada pesalah dengan menahan mereka selama tiga hari untuk proses taubat. Jika mereka enggan bertaubat dalam tempoh itu barulah hukuman bunuh dilakukan. Pendekatan cara ini mengambil amalan yang pernah dilakukan semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Ada juga fuqaha yang menyatakan bahawa tiada tempoh diberikan kepada pesalah untuk bertaubat kerana peluang bertaubat terbuka hingga ke akhir hayat mereka.

1. 3 HUKUMAN MURTAD DI MALAYSIA
    Di Malaysia hukum hudud belum dilaksanakan kerana terdapat kekanggan daripada beberapa pihak. Namun, undang-undang Malaysia ada memperuntukan hukuman bagi pesalah murtad. Seseorang yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau ketiga-tiganya sekali. Seterusnya, hukuman tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Akidah sehingga 36 bulan dan diberikan sesi kaunseling. Hukuman murtad di setiap negeri di Malaysia sama sahaja cuma jumlah bayaran denda dan penjara adalah berbeza. Bagi seseorang yang mahu menukar nama atau menukar agama hendaklah memohon di Jabatan Pendaftaran Negara. Mengikut sumber Jabatan Pendaftaran Negara statistik dari tahun 1999 sehingga Julai 2003 menunjukkan seramai 220 permohonan telah berjaya untuk murtad. Dalam melaksanakan hukuman di Malaysia institusi kehakiman memainkan peranan penting dalam membicarakan kes murtad. Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kedudukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah adalah dibawah kuasa bidang masing-masing tanpa dipengaruhi oleh salah satu mahkamah. Keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil dan begitu sebaliknya. Perkara ini telah menyelamatkan Mahkamah Syariah daripada diperlekehkan oleh orang bukan beragama Islam. Hakim yang berwibawa diperlukan dalam menyelamatkan akidah umat Islam yang ingin menukar agama. Hakim mempunyai kuasa untuk menangguhkan kes dan menolak permohonan untuk menukar agama secara mutlak. Keputusan yang diberikan tidak boleh dibawa ke Mahkamah Sivil untuk proses rayuan. Kebelakangan ini terdapat isu yang dibangkitkan supaya Perkara 121 dipinda supaya kes Mahkamah Syariah boleh dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Tuntutan ini merupakan satu penghinaan dan pencabulan terhadap Mahkamah Syariah.

1. 4 PUNCA-PUNCA BERLAKU GEJALA MURTAD
    Isu murtad sering kali dibual bicarakan melalui pelbagai forum, seminar, wacana tetapi sangat sedikit disiarkan di media massa kerana dianggap sebagai isu sensetif yang tidak boleh dibicarakan. Malaysia merupakan negara Islam yang mempunyai hak untuk memperjuangkan berkenaan isu murtad. Isu berkenaan dibimbangi akan mencetuskan kontrovesi dalam kalangan agama lain jika dibincangkan secara terbuka. Namun sampai bila perkara ini akan berlanjutan jika tiada pihak yang berani tampil menyedarkan masyarakat Islam sejagat. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya kes murtad di negara ini. Antara sebab berlakunya kes murtad ialah kelemahan iman umat Islam. Krisis akidah pada hari ini sudah berada pada tahap yang sangat parah terutama dalam kalangan remaja kerana kurangnya pemahaman, penghayatan, pengetahuan mereka terhadap agama Islam. Hal ini kerana dalam sistem pembelajaran di negara ini mereka lebih dididik dan dibimbing kearah pembangunan jasmani berbanding pemantapan rohani. Sukatan pelajaran lebih kepada sukatan pelajaran di barat berbanding negara Islam. Padahnya lahirlah insan yang yang bersikap hendonisme dan mementingkan diri sendiri. Lebih parah lagi sukatan pelajaran yang berteraskan sekularisme itu telah melahirkan muslim yang lemah iman dan runtuh akhlak sehingga sanggup melakukan perkara yang songsang dengan ajaran Islam. Seterusnya ialah sikap segelintir umat Islam yang pandang enteng dan tiada sikap mengambil berat terhadap saudara baru juga merupakan faktor berlakunya murtad. Saudara baru memerlukan bimbingan dan dorongan daripada masyarakat Islam setempat dalam menjalani kehidupan dalam agama baru. Masyarakat Islam sekeliling perlu prihatin dan sentiasa memberikan pertolongan kepada saudara-saudara baru mereka seperti makanan, tempat tinggal dan wang perbelanjaan. Ini adalah kerana, selepas memasuki Islam segelintir daripada saudara baru berpisah daripada keluarga kerana dianggap derhaka kepada orang tuanya. Mereka tiada tempat bergantung seperti layang-layang terputus tali. Begitulah dugaan yang menimpa saudara baru yang ingin mendekati dan mendalami pengajaran Islam. Tidak dinafikan sesetengah saudara baru yang memeluk Islam atas dasar kepentingan peribadi semata-mata tetapi segala bantuan dari segi jasmani dan rohani perlu disalurkan kepada mereka supaya mereka rasa terpelihara apabila memeluk Islam. Tindakan segelintir saudara baru yang murtad adalah disebabkan kekecewaan mereka terhadap masyarakat Islam sekeliling mereka yang hanya indah khabar dari rupa. Segelintir masyarakat Islam sekeliling mereka tidak dapat menerima sepenuhnya mereka sebagai saudara baru. Akibatnya, perkara ini telah menyebabkan sebahagian saudara baru bertindak dengan keluar Islam dan menganut agama asal. Seterusnya, persekitaran yang tidak kondusif, tidak sihat dan negatif juga faktor berlakunya kejadian murtad. Jika kita lihat keadaan sekeliling gejala sosial dalam kalangan remaja semakin parah dan lebih dibimbangkan ia dimonopoli oleh anak-anak orang Islam. Mereka mudah terpengaruh dengan budaya barat yang menyelinap masuk ke negara ini melalui pelbagai media. Selain itu, kewujudan pusat-pusat maksiat bagai cendawan tumbuh lepas hujan merupakan saham terbesar kepada keruntuham akhlak dalam kalangan remaja Islam masa kini. Pemerintah memainkan peranan penting dalam menangani masalah murtad yang berlaku dalam negara. Sikap pemerintah yang hanya berdiam diri dalam hal ini menyebabkan merebaknya gejala murtad dalam kalangan masyarakat. Pemerintah perlu mengambil berat terhadap masalah ini dan hendaklah menyelesaikannya secara berani dan bijaksana demi menyelamatkan ummat sejagat. Pemerintah mahupun kerajaan mestilah menguat kuasa undang-undang berkenaan isu ini supaya tiada pihak yang boleh mangajak orang Islam murtad ataupun murtad secara sukarela. Di Malaysia tindakan keluar Islam tidaklah sesukar yang disangkakan. Mereka yang hendak berbuat demikian hanya perlu membuat pengakuan secara bersumpah dan membuat afidavit. Kemudian menyiarkan dalam akhbar untuk makluman orang awam. Undang-undang kawal murtad perlu diwujudkan untuk mencegah kegiatan menukar agama dan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.
1. 5 SEJARAH MURTAD ZAMAN RASULULLAH
Sejarah permulaan peristiwa murtad telah berlaku semenjak zaman Rasulullah S.A.W lagi ketika baginda berada di Mekah dan Madinah. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj telah berlaku peristiwa murtad. Peristiwa itu dianggap tidak masuk akal kerana pertama kalinya Rasulullah diberitakan berjalan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Palestin dalam tempoh kurang satu malam. Walhal mengikut perjalanan biasa akan mengambil masa selama dua bulan perjalanan pergi dan balik. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa sebaik sahaja diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj maka ada segelintir umat Islam yang tidak percaya dan terus murtad secara beramai-ramai lantaran keganjilan kisahnya. Selain itu, dalam peperangan Uhud juga al-Harith bin Suid Ibn al-Samit telah murtad kerana semasa menentang musus-musuh Allah beliau telah mengambil kesempatan untuk membunuh tentera Islam yang bernama al-Mujazzir bin Zaid al-Badawi kerana dendam ayahnya telah dibunuh semasa zaman Jahiliyah. Kemudian beliau melarikan diri ke Mekah dan murtad di sana. Peristiwa murtad juga berlaku semasa zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq selepas menggantikan kepimpinan Rasulullah. Terdapat sekumpulan yang enggan membayar zakat kepada kerajaan Islam. Kumpulan ini terdiri daripada kaum Asad dan Ghatfan dengan diketuai Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi. Lantaran itu Sayidina Abu Bakar telah mengambil keputusan untuk memerangi golongan ini. Keputusan dan tindakan Sayidina Abu Bakar ini merupakan sesuatu yang tepat walaupun pada peringkat awal tidak dipersetujui para sahabat yang lain termasuk Sayidina Umar al-Khattab. Ulama-ulama Islam telah bersetuju membahagikan cara-cara murtad. Pertama sekali murtad melalui iktikad apabila seseorang itu beriktikad dengan mempercayai yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam yang diamalkan kini. Contohnya, iktikad bahawa Allah itu beranak dan mempunyai anak, tidak mempunyai sifat-sifat sempurna, menafikan kebenaran yang disampaikan Rasulullah, dan ajaran Islam tidak lengkap. Keduanya murtad melalui perkataan apabila seseoran melafazkan kalimah dan ucapan serta tulisan dan membenci Islam. Contoh-contoh ucapan itu adalah seperti “berzina kalau suka sama suka apa salahnya”, “kalau kita menutup aurat sampai kiamat pun tidak maju”, “zaman sekarang tidak patut mengharamkan riba”, dan “hukum hudud sudah tidak relavan untuk digunakan”. Ketiga, murtad melalui perbuatan dengan melakukan upacara ibadah terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan. Begitu juga dengan perbuatan yang meletakkan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis nabi, nama-nama rasul dan sebagainya dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya. Di samping itu, termasuk dalam perkara mempersendakan Islam ialah apabila seseorang hanya menzahirkan melalui isyarat seperti gerak tubuh badan, mengenyitkan mata atau mengeluarkan lidahnya dan meramas tangan dengan maksud untuk memperlekeh, memperolokkan dan mempersendakan ajaran Islam.

1. 6 HUKUMAN HUDUD TERHADAP ORANG MURTAD
Mengikut jumhur ulama, kesalahan murtad boleh dikategoorikan dalam kesalahan hudud yang terdapat dalam sistem perundangan Islam. Kesalahan hudud bererti boleh dihukum dengan hukuman hudud. Sesiapa yang murtad maka boleh dijatuhkan hukuman hudud kepadanya. Bagaimanapun hukuman itu masih tertakluk pada tiga hukuman utama iaitu hukuman asal, hukuman ganti dan hukuman sampingan. Hukuman asal bagi orang murtad ialah dibunuh. Ini berdasarkan kepada dalil hadis nabi yang bermaksud “sesiapa yang menukar agamanya(murtad) maka bunuhlah dia”. Hukuman bunuh ini wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad sama ada lelaki mahupun perempuan, tua mahupun muda tanpa sebarang perbezaan. Menurut Imam al-Syafie, seseorang yang murtad hendaklah diminta bertaubat terlebih dahulu dan kembalik kepada Islam dalam tempoh tiga hari. Jika tetap enggan barulah dijatuhkan hukuman bunuh kepadanya. Seterusnya ialah hukuman ganti yang berlaku apabila hukuman asal (bunuh) ke atas orang yang murtad tidak boleh dijalankan. Dalam kes ini, hakim boleh menggantikan hukum asal itu dengan hukum takzir yang berpatutan sebagai pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Hukuman takzir itu sama ada memenjarakan ataupun menyebat si pelaku dengan kadar yang tertentu. Hukuman sampingan bermaksud selain daripada hukuman bunuh, penjenayah murtad akan dikenakan beberapa hukuman lain yang berkaitan dengan pemiilikan harta benda, pengurusan, perwarisan dan perkahwinan. Harta-harta yang dimiliki oleh orang yang murtad tidak boleh diwarisi keluarga yang beragama Islam. Begitu juga tidak boleh bagi waris keluarga murtad untuk membuat pengurusan dan penyelenggaraan dengan menggunakan harta benda peninggalan orang yang murtad itu seperti melakukan urus niaga, sewa-menyewa dan sebagainya. Bahkan segala pengurusan tersebut dianggap batil dan tidak dituntut oleh syarak.

Konklusinya, walau apa sekalipun tanggapan kita terhadap isu murtad ini, sewajarnya diwujudkan satu peruntukan khas yang boleh memberikan peringatan dan pengajaran kepada mereka yang berniat untuk melakukan perbuatan keluar daripada Islam. Jika Islam diibaratkan sebagai manusia, maka murtad boleh dianggap sebagai toksik dan racun dalam tubuh badan. Toksik yang terkumpul di dalam badan sekiranya dibiarkan akan menjadi sel kanser yang berkembang biak seterusnya menjadi barah dan akhirnya akan menjadi penyebab kematian manusia. Demikianlah perumpamaan yang boleh diberikan kepada penyakit murtad yang bermula daripada kes-kes kecil yang dibiarkan dan sehingga hari ini ia menjadi satu ancaman yang amat dahsyat kepada umat Islam khususnya negara Malaysia. Oleh itu, kepada sesiapa yang masih beranggapan murtad sebagai perkara kecil, maka satu anjakan paradigma perlu dimulakan daripada sekarang. Ayuhlah umat Islam bangkit daripada mimpi indah untuk menentang penjenayah-penjenayah murtad yang semakin banyak bertebaran di negara kita. Mari bersama-sama kita menjulang dan memelihara kesucian agama Islam supaya generasi akan datang tidak terjebak dalam kancah permasalahan murtad.

Sumber rujukan kerja kursus ini memberikan pelbagai gambaran daripada beraneka perspektif untuk membolehkan kita memahami persoalan dan permasalahan murtad yang sedang kita hadapi. Selain itu, ia juga memberikan pelbagai infon mengenai punca-punca berlakunya murtad dalam kalangan orang Melayu mahupun saudara baru. Mengambil pendekatan dengan memberikan pendapat jumhur ulama yang terkenal seperti Imam al-syafie, Ibrahim al-Nakha’i, Hassan al-Basri, Imam Malik dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal. Seterusnya ialah menceritakan kembali sejarah permulaan berlakunya gejala murtad bermula zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com