Hukuman Dalam Undang-Undang Islam -

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Nur Atiqah Binti Roslan
No. Matrik :2012616812
Group : Csd1dq

PENGENALAN
Hukuman hudud disyariatkan Allah yang amat mengetahui segala kehendak dan keinginan manusia merangkumi segala rupa bentuk masyarakat di setiap tempat, masa, dan keadaan tanpa mengira bangsa, warna kulit dan sebagainya bagi menjaga kesucian agama, keturunan, kehormatan, harta benda, dan akal fikiran manusia. Sudah menjadi tabiat semula jadi manusia ingin kepada keselamatan, keadilan dan seumpamanya.
(Hudud adalah kata majmuk) dari “Al-Hadd” yang bererti “kawalan” atau “cegahan”. Dari akar kata yang sama penjaga atau pengawal pintu dipanggil Haddad kerana ia mengawal dan mencegah seseorang dari memasukinya. Ini kerana ia berfungsi mencegah orang ramai dari melakukan jenayah-jenayah yang dikenakan hukum hudud. Istilah Hududullah bererti perlakuan-perlakuan yang diharam dan dicegahkan Allah.Dalilnya firman Allah.
“Itulah perlakuan-perlakuanyang diharamkan Allah.
Oleh kerana itu janganlah kamu dekatinya.”
 (al-Baqarah : 187)
 Istilah Hududullah juga bererti “hukuman-hukuman yang telah ditetapkan Allah di dalam Al-Quran dan As-sunnah yang tidak boleh diubah-ubah. Hukum-hukum ini dinamakan Hudud kerana ia mencegah seseorang dari menghampirinya.
Dalilnya firman Allah Taala :

“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh kerana itu
janganlah kamu mencabulinya.” (al-Baqarah : 229)

 Hudud mengikut pengertian syara’ yang dipakai oleh mazhab Hanafi ialah hukuman-hukuman yang ditentu dan diwajibkan Allah sebagai hak Allah Taala.

Maksud hukum hudud itu disifatkan sebagai hak Allah kerana hukum hudud diperundangkan dengan tujuan melindungi maruah, keturunan, harta benda, akal dan nyawa, dari gangguan dan pencerobohan. Namun begitu, hukum hudud seperti hukuman kerana perzinaan dan minum arak merupakan hak Allah Taala semata-mata dengan erti ia adalah hak masyarakat. Dan sesetengah hukum hudud yang lain seperti hukum hudud kerana qazaf (membuat tuduhan berzina terhadap orang lain) merupakan hak Allah dan hak manusia, iaitu satu hukum di mana hak peribadi berkongsi dengan hak umum.

Matlamat Perlaksanaan Hukum Hudud
Secara umumnya perlaksanaan hukum hudud itu merupakan suatu kesakitan ataupun penyeksaan yang dikenakan ke atas diri penjenayah, bertujuan memberikannya kesedaran dan asuhan di atas kesalahan yang dilakukan serta untuk menjatuhkan satu hukuman yang sesuai dengan perbuatan penjenayah yang menjejaskan hak dan kepentingan umum masyarakat.Namun secara tidak langsung, tujuan diadakan hukum hudud ialah untuk menegakkan keadilan serta mencegah dan menahan manusia dari melakukan jenayah-jenayah.
 Ujar Ibn Taymiyah rahimahullah : Di antara rahmat Allah ialah Dia mengenakan hukuman terhadap perlakuan-perlakuan jenayah yang berlaku di antara sesama manusia yang melibatkan nyawa, tubuh badan, maruah dan kehormatan, harta benda, iaitu perlakuan jenayah membunuh, meluka, membuat tuduhan zina, dan mencuri. Allah telah mengaturkan cara-cara untuk mencegah jenayah-jenayah itu dengan undang-undang yang amat halus dan kukuh dan menguatkuasakannya dengan sebaik-baik cara yang dapat mencapai maksud pencegahan itu tanpa melampaui batas yang wajar diterima oleh seorang penjenayah. Jadi pembalasan itu berperanan menghalang manusia dari melakukan sesuatu yang dianggap sebagai jenayah terhadap perkara-perkara tersebut dan menghalang dari berkembangnya kadar jenayah di dalam sesebuah masyarakat. Pada kebiasaannya suruhan dan juga larangan tidak akan membawa apa-apa hasil kecuali kalau ia digandingkan dengan pembalasan ataupun ganjaran yang menuggu orang yang mengingkarinya.


1)    JENAYAH MENCURI
1.1    Definisi
 Para fuqaha’ mentakrifkan perbuatan mencuri sebagai “mengambil harta orang lain secara sulit (secara sembunyi atau diam-diam) dan berselindung”. Fuqaha’ bersetuju sebulat suara dengan takrifan ini, tetapi mereka tidak bersepakat tentang nilai barang yang dicuri itu, bagaimana tangan itu patut dipotong, dan persoalan tempat barang itu dicuri dan masalah pemilikan.

1.2    Nilai Harta Yang Dicuri
Menurut sebahagian besar fuqaha’ nilai harta yang dicuri itu harus melebihi, atau sekurang-kurangnya, pada kadar minimum yang ditetapkan oleh undang-undang islam ; hukuman bagi mencuri tidak boleh dikenakan, jika nilainya kurang daripada jumlah minimum ini.
 Menurut mazhab Syafi’i, nilai minimum harta yang dicuri mestilah satu per empat dinar ; telah ditetapkan satu dinar bersamaan dua belas dirham pada zaman nabi, oleh itu 3 dirham bersamaan dengan suku dinar
 Tujuan fuqaha’ cuba menentukan nilai minimum harta curian ialah untuk mengelakkan pelaksanaan hukuman (hadd) yang sangat berat dan membebankan kecuali harta curian itu mempunyai nilai yang agak tinggi. Semua mazhab bersetuju, jika harta curian itu tidak mempunyai nilai, hukuman ini tidak perlu dilaksanakan.Sebaliknya, pesalah itu boleh dikenakan hukuman Ta’zir dan bukan hukuman (hadd) yang ditetapkan untuk jenayah mencuri.

1.3    Hukuman Mencuri
 Hukuman ke atas jenayah mencuri telah dijelaskan oleh ayat al-Quran yang bermaksud :
“Si pencuri, lelaki dan perempuan, hendaklah dipotong tangan mereka. Itulah balasan kepada perbuatan mereka sendiri, satu hukuman daripada ALLAH sebagai teladan…”
     (Surah al-Ma’idah 5:48)
Dan sabda Rasulullah s.a.w :
“ Sesungguhnyayang menyebabkan binasanya orang-orang di zaman sebelum kamu ialah kerana mereka apabila seorang yang mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri mereka biarkannya dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Dan menurut satu riwayat yang lain mereka kenakannya dengan hukuman hudud.”

 Apabila thabit kesalahan mencuri, maka si pencuri wajib dikenakan hukuman potong tangan berlandaskan syariat islam yang telah ditetapkan di dalam al-Quran.

1.4    Hukuman ke atas Pencuri Yang Mencuri Berulang Kali
Para ahli perundangan Islam bersepakat bahawa pencuri yang thabit kesalahannya dikenakan hukuman potong tangan kanan bagi kesalahan mencuri yang pertama dan dikenakan potong kaki kiri pada kesalahan yang kedua, tetapi mereka tidak mencapai kata sepakat mengenai hukuman bagi kesalahan kali yang ketiga dan seterusnya.
 Menurut aliran Hanafi dan Hanbali, kesalahan mencuri bagi kali yang ketiga tidak dikenakan hukuman potong lagi setelah tangan kanan dan kaki kirinya dipotong, tetapi ia dikenakan hukuman membayar kerugian di samping hukuman Ta’zir sehingga ia bertaubat. Pendapat ini berdasarkan insiden dari Saidina Ali r.a, iaitu seorang pencuri telah dibawa kepada beliau lalu beliau menjatuhkan hukuman potong tangan, kemudian pencuri itu juga dibawa kepada beliau kerana pencuriannya kali kedua lalu beliau menjatuhkan hukuman potong kaki kemudian pencuri yang sama dibawa kepada beliau untuk kali ketiga lalu beliau berkata :
“Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman potong lagi.Jika aku potong tangannya yang tinggal bagaimana dia hendak makan dan bagaimana dia hendak membersihkan badannya dan jika aku potong kakinya yang tinggal bagaimana pula dia hendak berjalan.Aku malu kepada ALLAH lalu pencuri itu dijatuhkan hukuman sebat dan penjara.”
Kejadian yang serupa telah diriwayatkan dari Saidina Umar r.a.

 Manakala, mengikut aliran Maliki dan Syafi’i pula, jika pencuri yang sama melakukan pencurian bagi kali yang ketiga, maka ia dikenakan hukuman potong tangan kirinya dan jika ia mencuri untuk kali keempat maka ia dikenakan hukuman potong kaki kanannya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda mengenai hukuman ke atas pencuri :
“Jika ia mencuri potonglah tangannya kemudian jika ia mencuri (bagi kali yang kedua) potonglah kakinya kemudian jika ia mencuri (bagi kali yang ketiga) potonglah tangannya kemudian jika ia mencuri (bagi kali yang keempat) potonglah kakinya.”

 Oleh kerana tiada thabit satu hadis yang sahih bagi penetapan hukuman ini, maka tidak ada halangan untuk memilih mana-mana pendapat sama ada aliran Hanafi dan Hanbali atau aliran Maliki dan Syafi’i.

1.5    Syarat-syarat Hukuman Mencuri
1.    Syarat-syarat mengenai pencuri
 Pencuri itu mestilah seorang yang berakal dan mencapai usia baligh. Syarat ini disepakati oleh sekalian ahli perundangan. Di samping itu aliran Syafi’e dan Hanbali pula mensyaratkan bahawa pencuri itu mencuri dengan keputusan hatinya bukan atas paksaan dan hendaklah ia seorang yang iltizam dengan hukum Islam.
2.    Syarat-syarat Mengenai Harta Benda Yang Dicuri
     Benda yang dicuri itu mestilah berupa harta yang mempunyai nilai di sisi Islam.
 Berdasarkan syarat ini, jika seorang mencuri arak atau babi, maka ia tidak dikenakan hukuman potong tangan kerana arak dan babi tidak mempunyai nilai di sisi Islam.
     Harta benda yang dicuri itu mestilah mempunyai nilai yang sampai nisabnya.
Ahli perundangan Islam tidak mencapai kata sepakat dalam menentukan had nisab. Menurut aliran Hanafi, nisab harta yang dicuri ialah satu Dinar atau sepuluh dirham atau nilai salah satu dari keduanya berdasarkan sabda Rasullulah s.a.w :
“Tidak dikenakan hukuman potong tangan pada kesalahan mencuri harta yang tidak sampai sepuluh dirham”

Dan sabdanya :
“Tidak dikenakan hukuman potong melainkan pada kesalahan mencuri satu dinar atau sepuluh dirham”

1.6    Cara Membuktikan Jenayah Mencuri
1.6.1    Syarat-syarat Saksi
 Keterangan para saksi diterima dengan syarat-syarat yang ketika member keterangan di samping syarat-syarat khas dalam hukum hudud ialah :
1.    Lelaki
2.    Bersifat adil dan tidak fasik
3.    Original atau asli bukan persaksian di atas persaksian
4.    Tidak dalam masa yang lama
5.    Dakwaan yang dikemukakan oleh pemilik yang sah

 Jika saksi-saksi itu member persaksian bahawa pencuri itu telah mencuri harta si fulan
yang tidak ada di tempat kejadian, tetapi pihak yang kena curi tidak mengemukakan
sebarang dakwaan, maka persaksian mereka tidak diterima, tetapi pencuri itu ditahan
dalam penjara.
 Jika jenayah mencuri itu disabitkan dengan dakwaan pemilik yang, maka pencuri itu
dijatuhkan hukuman potong tangan.
1.6.2    Syarat Pengakuan
 Mengikut Abu Hanifah, Muhammad dan para ulama’ yang terbanyak (jumhur), hukuman potong tangan dikenakan ke atas pencuri yang mengaku salah dan cukuplah hanya sekali pengakuan, namun sebaliknya, Abu Yusuf dan aliran Hanbali pula berpendapat, pencuri itu tidak boleh dijatuhkan hukuman potong tangan kecuali ia membuat pengakuan sebanyak dua kalisebagaimana bilangan saksi juga disyaratkan dua orang.
Sehubungan dengan pengakuan ini, Abu Hanifah dan Muhammad menyarankan pihak pihak yang dicuri mengemukakan dakwaan.Jika si pencuri mengaku salah atas kesalahan mencuri yang dilakukan meskipun di fulan tidak berada di tempat kejadian serta tidak membuat sebarang dakwaan ke atasnya, maka pencuri itu tidak dikenakan hukuman potong tangan.

2)    JENAYAH ZINA
2.1    Takrifan Zina
Dalam undang-undang Islam, definisi perlakuan zina sebagai jenayah berbeza-beza mengikut mazhab.Definisi yang paling lengkap diberikan oleh Mazhab Hanafi ialah, “Persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang wanita tanpa hak yang sah atau tanpa persamaan dengan hak yang sah (al-milk atau shubhat al-milk).Dinyatakan juga, dalam bahasa Arab istilah yang serupa, zina, digunakan untuk persetubuhan haram antara dua individu yang sudah berkahwin dan hubungan seks antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin.Perbuatan zina ini adalah satu perlakuan yang amat keji dan tergolong dalam kumpulan dosa-dosa besa. Oleh sebab itulah ia dikenakan hukuman yang paling berat. Ia merupakan jenayah yang mencabul maruah, kehormatan, dan keturunan yang bersih.
Firman Allah Taala :
“Dan janganlah engkau hampiri perbuatan zina, kerana ia merupakan satu perbuatan yang amat keji dan satu jalan (mencari kepuasan nafsu) yang amat buruk”
(al-isra’ ; 32)
Firman-Nya lagi :
“Dan mereka yang tidak menyenbah Tuhan yang lain di samping menyembah Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang benar dan tidak berzina. Dan sesiapa yang melakukan perbuatan itu akan menerima dosa-dosa dan pada hari Qiamat akan dikenakan azab yang berlipat kali ganda dan akan kekal di dalam keazaban itu dengan keadaan hina-dina”
 (al-Furqan : 78,79)
 Ayat yang menjadi asas perundangan hukuman sebat ke atas penzina yang dara pula ialah firman Allah Taala :


“Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah dikenakan hukuman sebat setiap orang seratus kali”
 (an-Nur : 2)
 Manakala nas hukuman rejam ke atas penzina yang muhson (yang telah berkahwin dan bersetubuh secara sah) telah disabitkan dalam sunnah Rasulullah s.a.w, di mana hukuman rejam telah dijatuhkan ke atas seorang lelaki bernama Ma’iz dan seorang perempuan dari suku Ghamidi melalui berbagai riwayat yang setengahnya mencapai darjah mutawatir. Keseluruhan mazhab bersepakat bahawa kanak-kanak dan orang gila dikecualikan dari hukuman hudud berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“Pena yang mencatatkan kesalahan itu diangkatkan (tidak mempersalahkan) dari tiga individu yang berikut : Dari kanak-kanak sehingga ia dewasa, dari orang yang sedang tidur sehingga ia sedar dan dari orang gila sehingga ia siuman”

2.2    Syarat-syarat Hukuman Zina
Orang yang melakukan perzinaan sama ada lelaki atau perempuan akan dikenakan hukuman berdasarkan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Di antaranya ialah syarat-syarat yang mencapai persetujuan semua ahli perundangan Islam dan setengahnya pula ialah syarat-syarat yang tidak mencapai kata sepakat deri mereka, jumlah syarat-syarat itu ialah sepuluh :
1)     Pelaku perzinaan itu hendaklah mencapai usia baligh. Kanak-kanak yang belum baligh dibebaskan dari hukuman hudud mengikut kata sepakat.
2)     Fikiran si pelaku zina itu mestilah waras. Orang yang gila dibebaskan dari hukuman hudud mengikut kata sepakat. Misalnya lelaki yang waras berzina dengan perempuan yang gila atau lelaki yang gila berzina dengan perempuan yang waras, maka hukuman hudud hendaklah dikenakan ke atas yang waras sahaja di dalam kedua-dua kes ini.
3)     Orang yang melakukan perzinaan itu hendaklah orang islam. Orang yang kafir tidak boleh dijatuhkan hukuman hudud jika ia berzina dengan perempuan yang kafir, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir jika ia melakukan perzinaan secara terbuka. Jika lelaki yang kafir itu memaksa perempuan islam berzina dengannya, maka lelaki yang kafir itu hendaklah dikenakan hukuman bunuh. Sebaliknya jika ia berzina dengan perempuan Islam dengan kerelaan si perempuan, maka ia dikenakan hukuman Ta’zir (qanun keseksaan), tetapi mengikut pendapat ahli perundangan yang ramai (jumhur), lelaki yang kafir hendaklah dikenakan hukuman hudud, tetapi jika ia seorang yang muhson (yang telah berkahwin) maka ia hanya dikenakan hukuman sebat bukannya hukum rejam mengikut aliran perundangan Hanafi.
4)     Orang yang melakukan perzinaan itu hendaklah dengan kerelaan hatinya. Para ahli perundangan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai hukuman ke atas lelaki yang melakukan perzinaan di bawah ancaman paksaan. Mengikut pendapat ahli perundangan yang ramai (jumhur) ia tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mengikut aliran Hanbali, ia dikenakan hukum hudud. Perempuan yang dipaksa berzina atau dirogol dibebaskan dari hukuman hudud.
5)     Orang yang melakukan perzinaan itu hendaklah dengan manusia dan jika ia melakukan hubungan kelamin dengan binatang, maka hukum hudud tidak dikenakan mengikut kata sepakat empat mazhab, tetapi dikenakan hukuman Ta’zir.
6)     Perempuan yang berzina itu hendaklah dari perempuan yang layak disetubuhi, jika perempuan itu masih kanak-kanak kecil yang tidak layak disetubuhi, maka lelaki dan kanak-kanak itu tidak dikenakan hukum hudud begitu juga perempuan yang melakukan perzinaan tidak dikenakan hukuman hudud jika lelaki yang mensetubuhinya belum mencapai usia baligh.
7)     Persetubuhan itu mestilah bersih tanpa sebarang keraguan. Jika ia bersetubuh dengan perempuan yang disangkakannya sebagai isterinya, maka ia tidak dikenakan hukum hudud mengikut pendapat Jumhur, tetapi mengikut pendapat Abu Hanifah dan Abu Yusuf ia dikenakan hukum hudud (kerana ia bertindak mengikut sangkaan sedangkan sepatutnya ia membuat kepastian).
8)     Orang yang melakukan perzinaan itu hendaklah seorang yang mengetahui bahawa perzinaan itu merupakan suatu perbuatan yang diharamkan Allah. Jika seorang mendakwa ia tidak mengetahui hukum perzinaan, sedangkan dia boleh dipercayai tergolong dalam orang-orang yang tidak mengetahui, maka mazhab Maliki berpendapat ada dua pendapat mengenai kes ini yang dikemukakan oleh Ibn al-Qasim dan Asbagh.
9)     Perempuan yang disetubuhi itu hendaklah bukan perempuan kafir Harbi sebaliknya jika perempuan itu perempuan kafir Harbi maka lelaki yang berzina dengannya dikenakan hukum hudud mengikut Ibni al-Qasim dari mazhab Maliki dan tidak dikenakan hukum hudud mengikut al-Majisyun yang juga dari mazhab Maliki.
10)     Perempuan yang disetubuhi itu hendaklah perempuan yang masih hidup. Mengikut pendapat Jumhur lelaki yang mensetubuhi perempuan yang mati tidak dikenakan hukum hudud. Sebaliknya pula mengikut mazhab maliki ia dikenakan hukuman hudud.
Selain dari itu, disyaratkan pula kepastian berlakunya perbuatan zina, adalah apabila memasukkan kepala alat kelamin lelaki yang asli ke dalam faraj perempuan.Perbuatan mengadakan hubungan kelamin pada lubang dubur atau perbuatan homoseks tidak dikenakan hukuman hudud, tetapi dikenakan hukuman Ta’zir mengikut Imam Abu Hanifah, sedangkan semua mazhab-mazhab yang lain termasuk
dua sahabat Abu Hanifah berpendapat ia dikenakan hukuman hudud.
Begitu juga disyaratkan bahawa perbuatan zina itu hendaklah berlaku di dalam negeri Islam. Jika orang yang berzina itu berada di negeri kafir Harbi maka ia tidak dikenakan hukuman hudud.
2.3    Kategori Hukuman Zina
 Hukuman Zina dibahagikan kepada dua bahagian :
1.     Hukuman sebat yang dikenakan ke atas penzina yang masih dara berlandaskan firman Allah :
“Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah dikenakan hukuman sebat setiap orang seratus kali”
                 (an-Nur : 2)
 Ahli perundangan Islam tidak sependapat sama ada penzina darayang dijatuhkan hukuman sebat itu dikenakan serentak dengan hukuman buang daerah?
 Aliran Hanafi berpendapat bahawa hukuman buang daerah tidak dicampurkan dengan hukuman sebat kerana Allah menyebut hukuman sebat itu sebagai keseluruhan hukuman zina dan jika dikenakan pula dengan hukuman buang daerah bererti hukuman sebat itu merupakan sebahagian dari hukuman zina dan ini melebihi nas yang telah ditetapkan Allah dan hukuman yang melebihi nas merupakan pemansuhan nas, sedangkan pemansuhan nas tidak boleh dilakukan dengan hadis dari kategori khabar al-Wahid, juga kerana hukuman buang daerah itu mendedahkan pesalah itu kepada perbuatan zina, kerana di sana tidak ada kawan, teman dan kaum keluarga yang dimaluinya.
 Hukuman buang daerah mengikut aliran Hanafi bukanlah hukum hudud, malah hukuman itu terserah kepada budibicara pemerintah itu sendiri jika hukuman itu dilihat mendatangkan muslihat yang baik, maka bolehlah ia mengenakan hukuman itu sebagaimana juga ia diharuskan mengenakan hukuman penjara hingga pesalah itu bertaubat.
Mengikut aliran Syafi’e dan Hanbali pula hukuman sebat dikenakan sekali dengan hukuman buang daerah selama setahun di tempat-tempat yang jarak jauhnya mengharuskan sembahyang Qasar. Ini berlandaskan sabda Rasulullah s.a.w :
“Ambillah dariku: sesungguhnya Allah telah mengadakan satu jalan penyelesaian kepada perempuan-permpuan itu,iaitu si dara yang berzina dengan si dara hendaklah dihukum sebat seratus kali serta dibuang daerah selama setahun dan si yang telah berkahwin berzina dengan si yang telah berkahwin hendaklah dihukum seratus kali sebat serta direjam”

Tetapi bahagian kedua dari hadis ini “si yang telah berkahwin berzina dengan si yang telah berkahwin hendaklah dihukum seratus kali sebat serta direjam” tidak dipakai oleh aliran-aliran Syafi’e, Hanbali dan aliran-aliran yang lain, malah penzina yang telah berkahwin itu hanya dikenakan hukuman rejam sahaja.Sehubungan dengan hukuman buang daerah ini, si perempuan tidak boleh dibuang daerah sendirian sahaja, malah hendaklah disertakan dengan suami atau mahram berdasarkan hadis “Perempuan Tidak boleh bermusafir melainkan hendaklah ditemani oleh suami atau mahram.”
 Mengikut aliran Malikiah lelaki dibuang dareah selama setahun, iaitu dipenjarahan ditempat di mana ia dibuang, tetapi perempuan tidak dibuang daerah kerana dikuatiri terdedah kepada perzinaan untuk kedua kalinya dengan sebab hukuman itu.

2.     Hukuman rejam yang dikenakan ke atas penzina yang telah berkahwin mengikut persetujuan para ulama’ berlandaskan sabda Rsulullah s.a.w :
“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan dengan salah satu dari tiga keslahan. Orang yang telah berkahwin melakukan perzinaan, nyawa dibalas dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya dan berpisah dari jamaah”

 Dan di antaranya lagi ialah kisah al-’Asif yang telah berzina dengan seorang perempuan lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada seorang lelaki dari suku Aslam: “Wahai Anis pergilah engkau menemui perempuan ini (perempuan yang berzina dengan al-‘Asif), jika ia mengaku maka laksanakanlah hukuman rejam ke atasnya”
Juga kisah Ma’iz yang diriwayatkan oleh pelbagai pihak, yang telah mengaku berzina lalu Rasulullah s.a.w memerintah supaya ia dikenakan hukuman rejam dan seterusnya kisah seorang perempuan dari suku Ghamidi yang telah mengaku berzina lalu Rasulullah s.a.w menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya dan hukuman itu dilaksanakan setelah ia melahirkan anak.

3)    JENAYAH QAZAF

3.1 Definisi Qazaf

 Jenayah seterusnya yang ditetapkan sebagai hukuman had berdasarkan al-Qur’an dikenali sebagai qadhf. Kesalahan ini boleh dedifiisikan sebagai perbuatan melemparkan fitnah atau tuduhan zina yang tidak dibuktikan bahawa seseorang telah melakukan zina. Perlakuan ini merupakan antara perbuatan yang tergolong dalam kumpulan dosa-dosa besar berlandaskan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
“Jauhilah tujuh perbuatan yang membawa kepada kebinasaan. “lalu mereka bertanya: “Apakah perbuatan-perbuatan itu?” Jawab beliau: “Perbuatan syirik terhadap Allah azza wajalla, perbuatan sihir, perbuatan membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang benar, perbuatan makan riba, perbuatan makan harta anak-anak yatim, perbuatan melarikan diri pada hari peperangan dan perbuatan melemparkan tuduhan zina terhadap perempuan-perempuan yang baik, yang kosong hatinya dari fikiran-fikiran yang jahatdan beriman.”

Hukuman Qazaf nini wajib dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah ini kerana perlakuan melempar tuduhan zina itu mengaibkan yang dituduh. Ini bertujuan untuk menolak tuduhan yang mengaibkan itu dan memelihara nama baik yang dituduh. Tertuduh itu haruslah seorang muhson. Walaubagaimanapun, dalam kes ini ihsan mempunyai tafsiran yang berbeza daripada yang digunakan berhubung dengan zina: dalam konteks ini ia bermaksud bersih. Para fuqaha’ mazhab Ahli Sunnah berpendapat untuk menganggap dakwaan itu satu kesalahan, tertuduh mestilah seorang islam dewasa yang waras yang terkenal sebagai seorang yang ‘bersih’. Hukuman Qazaf diperundangkan dengan firman Allah :
“Dan mereka yang membuat tuduhan zina ke atas perempuan-perempuan yang baik kemudian mereka tidak dapat membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat dan janganlah kamu terima persaksian mereka buat selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang yang fasik’
    (an-Nur : 4)


Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina itu berlaku dengan dua cara :
1.     Melemparkan tuduhan zina secara terang-terangan dan tanpa keraguan, iaitu menuduh orang lain melakukan perbuatan zina yang wajib dikenakan hukuman zina jika yang membuat tuduhan itu dapat membawa empat orang saksi atau jika yang dituduh itu mengaku melakukannya.
2.     Menafikan nasab keturunan seseorang dari bapanya yang diketahui umunya seperti berkata: “Awak bukan anak si fulan” atau “Si fulan itu bukan bapa awak”. Dengan perkataan-perkataan ini, dia seolah-olah berkata: “Ibu awak berzina”.

3.2 Tuduhan Yang Jelas Atau Sindiran
 Tuduhan yang jelas itu tuduhan yang dinyatakan dalam perkataan atau ucapan yang tidak
mempunyai lebih daripada satu makna, iaitu satu perkataan yang berpunca daripada
perkataan zina sebarang perkataan yang member makna yang sama. Sebaliknya, tuduhan
yang tidak tepat itu ialah tuduhan penuduh yang menggunakan perkataan yang hanya
bermakna, antara lain, bahawa tertuduh telah melakukan jenayah zina.
 Semua fuqaha’ kecuali daripada mazhab Maliki memberi kata sepakat bahawa tidak
akan ada hukuman hadd kecuali penuduh menggunakan perkataan yang jelas maknanya.
 Sebaliknya mazhab Maliki berpegang kepada pendapat bahawa tuduhan yang tidak tepat
tidak jauh bezanya asalkan bermaksud zina dan menuduhnya melakukannya.
3.3 Syarat-syarat Hukuman Qazaf
Aliran Hanafi mewajibkan enam syarat bagi hukuman Qazaf :
Pertama :Syarat-syarat mengenai si penuduh, ialah dua syarat iaitu ;
1)    Seorang yang berakal
2)    Mencapai usia baligh
Kedua :Syarat-syarat mengenai yang dituduh, iaitu dua
1)    Mangsa yang dituduh itu mestilah seorang yang muhson sama ada lelaki atau perempuan. Dan syarat-syarat muhson ialah lima perkara: Berakal, baligh, merdeka, beragama islam, dan afif (tidak pernah terlibat dalam perzinaan sepanjang hidupnya), mereka yang terlepas dari hukuman qazaf kerana yang dituduh bukan muhson, maka ia dikenakan hukuman Ta’zair kerana menyakiti orang yang tidak sepatutnya disakiti.
2)    Hendaklah yang dituduh seorang yang dikenali dan jika ia tidak dapat dikenal, maka si penuduh tidak dikenakan hukuman qazaf. Misalny si penuduh membuat tuduhan secara umum kepada satu kumpulan dengan katanya: “Tidak ada penzina di antara kamu kecuali seorang sahaja” atau dengan katanya: “Salah seorang dari kamu berdua adalah penzina” maka dalam kes-kes ini, si penuduh tidak dikenakan hukuma qazaf kerana yang dituduh tidak dikenali.
Ketiga :Syarat yang mengenai penuduh dan yang dituduh
 Disyaratkan si penuduh itu bukan bapa kepada yang dituduh dan bukan
datuknya dan bukan pula neneknya, tetapi jika sebaliknya, maka si penuduh tidak
dikena hukuman qazaf sebaliknya disuruh berbuat baik kepada mereka.
Keempat :Syarat yang mengenai kata-kata tuduhan
 Disyaratkan tuduhan itu dibuat dengan kata-kata zina secara terus-terang atau
sebagainya yang member maksud zina.
Kelima :Syarat mengenai tempat berlakunya tuduhan
 Disyaratkan tuduhan itu dibuat dalam negeri Islam, dan sekiranya tuduhan yang
dibuat di negeri kafir maka ia tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana pemerintah
Islam tidak mempunyai kuasa di atas negeri kafir.

4 JENAYAH MINUM ARAK
4.1 Definisi Minum Arak
Mengikut aliran Hanafi : Terdapat dua hukuman bagi minuman haram, iaitu kerana
minum arak dan hukuman kerana mabuk. Hukuman minum arak dijatuhkan ke atas orang
yang minum arak sama ada dalam kadar yang banyak atau sedikit. Minum arak ini tidak
semestinya mabuk berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“Siapa yang minum arak hendaklah kamu sebatkannya”
 Secara amnya, arak bermaksud sejenis minuman yang dibuat dari buah anggur yang
diperam. Adapun hukuman kerana mabuk ialah hukuman yang dikenakan ke atas seorang
yang mabuk kerana minum minuman yang memabukkan selain dari arak.
 Para ahli perundangan tidak memberi perbezaan antara arak dan minuman lain. Pada
pendapat mereka apa sahaja jenis minuman apabila minum dalam kuantiti yang banyak yang
memabukkan dikira haram meskipun dalam kuantiti yang sedikit. Hukumannya sama dengan
hukuman arak yang diperbuat dari buah anggur yang diperam dari segi haram dan wajib
dikenakan hukuman hudud ke atas peminumnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“Setiap yang memabukkan itu arak dan setiap arak itu haram”

4.2 Syarat-syarat pemabuk yang dikenakan hudud
Antara syarat-syarat yang telah ditetapkan ialah :
1.    Berakal
2.    Baligh
3.    Beragama Islam
4.    Dengan sukarela tanpa paksaan
5.    Tidak terdesak kerana terlekat makanan di halkum
6.    Mengetahui minuman yang diminum itu adalah arak
7.    Mengetahui hukum minun arak itu haram
8.    Mengetahui minuman itu haram mengikut mazhab yang dipegang olehnya.
4.3 Qadar Hukuman
Menurut ahli perundangan Islam yang Jumhur: Qadar hukuma yang dikenakan ke atas
peminum arak dan pemabuk ialah sebat sebanyak lapan puluh kali berdasarkan perkataan
 Saidina Ali r.a :
“Apabila dia minum dia mabuk dan apabila dia mabuk dia meracau dan apabila dia meracau
dia berbohong dan hukuman ke atas pembohong ialah lapan puluh kali sebatan”

 Tiada siapapun yang membantah perkataan beliau ini dan kerana ituia merupakan suatu
Ijma’.
 Menurut aliran Syafie: Hukuman ke atas peminum arak dan segala jenis minuman yang
memudaratkan dan memabukkan itu ialah empat puluh kali sebatan, ini kerana Nabi
 Muhammad s.a.w todak menetukan sebatan, malah ia mengenakan hukuman ke atas
pemabuk dengan bilangan sebatan yang tidak ditetapkan sebagaimana diriwayatkan oleh
Abu Hurairah lalu mereka anggarkan bilangan itu sebanyak empat puluh kali. Menurut
riwayat Anas r.a katanya: Nabi Muhammad s.a.w menyebat peminum arak dengan pelepah
pokok kurma dab dengan kasut sebanyak empat puluh kali.
 Ujar Ali Karramallahu wajhah :
“Rasulullah s.a.w mengenakan hukuman sebat sebanyak empat puluh kali dan Abu Bakar
juga empat puluh kali dan Umar lapan puluh kali semuanya as-sunnah belaka dan inilah
had hukuman yang paling saya sukai”

 Arak mula diharamkan pada tahun kelapan hijrah dan pemabuk pernah dipukul dengan
kasut, tangan, hujung-hujung kain dan cemeti yang sederhana.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com