Politik Dalam Islam -

Oleh: Mohammad Aimanuddin Mohtar.

POLITIK
Firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (Pemimpin) antara kamu.
 [Surah an-Nisa’ 4:59]
Allah SWT mewajibkan atas orang Islam mentaati ulil amri iaitu para pemimpin. Perintah supaya mentaati mereka menjadi dalil kewajipan melantik pemimpin, kerana Allah SWT tidak memerintahkan supaya mentaati sesuatu yang tidak wujud dan tidak juga mewajibkan taat kepada orang yang kewujudannya sunat sahaja (bukan wajib).
Oleh itu, perintah supaya taat membawa perintah supaya mewujudkannya. Ini menunjukkan bahawa mewujudkan seorang pemimpin bagi orang Islam adalah wajib atas mereka.
Dalam sunnah juga banyak terdapat hadis yang menunjukkan kewajipan mengangkat atau melantik pemimpin,

Antara hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.
 (Riwayat Ahmad 2/177, Abu Daud no. 2608 dan 2609)

Kata Ibn Khaldun rhm:
“Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar r. a. dan menyerahkan keparanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan pekara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin. ”

Kewajipan melantik pemimpin juga dibuktikan dengan satu kaedah syarak iaitu, :
Maksudnya: Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.
Dalam menetapkan perkara ini, Ali bin Abi Talib r. a. telah berkata:
Maksudnya: Manusia mesti mempunyai pemerintah sama ada yang baik atau yang jahat. Lalu mereka menayai beliau, “Wahai Amirul Mukminin, yang baik telah sedia kami ketahui. Bagaimana pula dengan yang jahat itu?” Beliau menjawab, “Dengannya dapat juga dijalankan hudud, dengannya jalan-jalan juga aman, dengannya dapat juga berjihad menentang musuh dan dengannya dapat juga dibahagikan harta rampasan. ”

Kewajipan menegakkan pemerintahan dibuktikan dengan ia boleh menghalang kecelaruan yang memberi kesan buruk dan menutup pintu fitrah. Ketiadaan pemimpin tertentu membawa pelbagai kesan negatif dan fitnah-fitnah yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
Maka memelihara lima keperluan asas iaitu agama, jiwa, maruah, harta, dan akal adalah wajib dari segi syarak dan pemeliharaannya adalah salah satu maqasid syariah (objektif syarak). Ini tidak akan sempurna melainkan dengan melantik seorang pemimpin bagi kaum muslimin. Maka ia menunjukkan kewajipannya.

Berkata Imam Ahmad r. a. :
“Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia. ”
Masalah umat dan masyarakat tidak akan sempurna dan tersusun melainkan dengan adanya kerjasama antara pemerintah dan orang yang diperintah, antara pemimpin dan rakyat, dan mereka menjalankan kewajipan masing-masing dan menyempurnakan amanah serta tanggungjawab yang dipikul atas mereka.
Sesungguhnya pemimpin bukanlah tuhan kepada rakyatnya sehingga dia tidak memerlukan kepada mereka. Dia juga bukannya pesuruh Allah kepada rakyatnya sehingga dia menjadi perantaraan antara mereka dengan agama Tuhan.
Tetapi pemimpin dan rakyat adalah mereka yang bekerjasama, tolong-menolong demi kebaikan agama dan dunia. Dia mestilah membantu mereka dan mereka juga mestilah membantunya. Ibarat seorang ketua rombongan yang memimpin mereka berjalan. Jika dia membawa mereka melalui jalan yang betul, maka mereka akan mengikutinya, sebaliknya jika dia tersalah jalan mereka akan menegur dan memberi petunjuk. Jika mereka diserang oleh sesuatu, dia mestilah bersama-sama mereka membantu menghalangnya.
Berdasarkan perkara tersebut, maka setiap daripada pemimpin dan orang yang dipimpin, pemerintah dan rakyat mempunyai hak-hak kewajipan yang mesti dipelihara.

HAK-HAK YANG WAJIB (TANGGUNGJAWAB) ATAS PEMIMPIN.
Sesungguhnya kepimpinan mempunyai pelbagai objektif yang besar dan matlamat yang tinggi yang dapat dilihat dengan jelas dalam perkara-perkara tersebut:
Penyebaran agama dan berdakwah kepadanya.
Ia adalah matlamat terpenting bagi pemimpin. Bagi merealisasiakan matlamat inilah pemimpin umat islam, Rasulullah SAW melalui jalan ini. Selepas Allah SWT memuliakan Baginda dengan kenabian, Baginda diperintah supaya menyampaikan dakwah dan memberikan kepadanya kekuasaan di bumi. Baginda menghantar utusan-utusan ke beberapa negeri untuk menyeru manusia kepada agama Allah SWT dan menerangkan jalan kebenaran kepada mereka.
Baginda juga menghantar utusan kepada raja-raja dan para pemerintah, serta mengutus surat kepada mereka menyeru kepada islam. Baginda juga menghantar tentera-tentera bagi menyebarkan agama ini sehingga Baginda wafat. Jalan ini juga dilalui oleh Khulafah Ar-Rasyidin dan seluruh mereka yang diberi taufik oleh Allah SWT dalam kalangan raja-raja dan pemeritah umat islam.
Menolak serta memerangi keraguan, bidaah, dan perkara-perkara batil.
Ia adalah satu matlamat pemeritah yang mesti dilaksanakan oleh pemimpin. Wajib atasnya memelihara agama daripada segala anasir yang ingin memburukkan atau mencemarkannya.
Antara tanggungjawab tersebut adalah memerangi bidaah, menghapuskan keraguan, penyelewengan, dan kebatilan yang disebarkan oleh musuh-musuh islam. Juga memerangi pelbagai bentuk pemikiran yang merosakkan dengan menggunakan bermacam-macam kaedah bagi keselamatan masyarakat.
Ia berbeza-beza mengikut perbezaan bidaah atau pemikiran yang merosakkan tersebut, juga berbeza mengikut perbezaan penyeru kepadanya dan suasana disekeliling mereka. Kadang-kadang dengan cara mengajar dan memberi pandangan dan kadang-kadang dengan cara mengemukakan hujah serta menepis keraguan-keraguan sebagaimana yang dilakukan oleh Ali r. a. terhadap khawarij ketika beliau menghantar Abdullah bin Abbas r. huma sebagai utusan kepada mereka.
Kadang-kadang dengan cara hukuman ta’zir, buang daerah, atau pemulauan sebagaimana yang dilakukan oleh Umar r. a. terhadap Sabigh. Adakalanya dengan cara peperangan sebagaimana Ali r. a. memerangi Khawarij. Semuanya mengikut keadaan masing-masing dan setakat mana kemudaratan terhadap umat masyarakat.
Menjaga (keamanan) dalam negari dan membina benteng pertahanan di kawasan sempadan.
Wajib atas pemimpin dan pemerintah memberi keamanan kepada orang islam. Ia merangkumi keamanan dari sudut pemikiran, pengetahuan, kebudayaan, dan kemasyarakatan supaya rakyat dapat mencapai keamanan sebenar pada agama, jiwa, maruah, dan harta benda mereka.

Menegakkan syariah dan hukuman hudud serta melaksanakan hukum-hakam islam.
Ini adalah satu keistimewaan pemimpin yang menjaga urusan rakyat atau mereka yang diangkat sebagai penggantinya dalam kalangan kadi-kadi dan lain-lain. Maka wajib atas pemerintah melaksanakan hukuman hudud dan mendirikannya. Termasuk dalam menegakkan syariat dan menjalankan hukum-hakam ialah memungut zakat, membahagikan harta rampasan, menyusun tentera untuk berjihad, demi meninggikan panji islam, menjadikan manusia menghormati dan tidak melanggar batas sempadan (hukum-hakam) yang ditetapkan Allah, taat terhadap segala perintah-Nya dan memberi dorongan ke arah tersebut.
Berlaku adil dan menghapuskan kezaliman.
Perintah supaya adil dan tidak berlaku zalim adalah tuntutan bagi setiap manusia, bukannya khusus kepada pemerintah sahaja.

Hadis yang bermaksud, “Tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari tiada naungan selain naungan-Nya… antaranya ialah pemerintah yang adil. ”
 (Riwayat al-Bukhari no 6806, Muslim no 1031)
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Tidak ada seorang yang memegang urusan sesuatu umat sama ada sedikit atau ramai, tetapi tidak berlaku adil pada mereka melainkan Allah SWT akan menghumbankan mukanya ke dalam api Neraka.  (Riwayat Imam Ahmad, al-Musnad 5/25)



Sabda Nabi SAW:Maksudnya: Orang yang berlaku adil akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya di kanan Tuhan Yang Maha Pengasih. Dan kedua-dua tangan-Nya adalah kanan (iaitu Allah SWT memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang tiada kekurangan padanya). Iaitu mereka yang berlaku adil dalam pemerintahan mereka, terhadap keluarga mereka, dan segala yang mereka pimpin.
 (Riwayat Muslim no 1827)
Allah memberi ancaman daripada berlaku zalim dan menjanjikan balasan seksa kepada orang yang zalim. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang yang zalim, yakni seksaan hari yang pedih (Kiamat).
 (Surah az-Zukhruf 43:65)
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menangguhkan (balasan) kepada orang yang zalim, sehingga apabila Dia menghukumnya maka tidak akan terlepas lagi.
 (Riwayat al-Bukhari, Muslim no 583)

Zalim adalah antara punca utama binasanya umat terdahulu. Tiada sebuah negara yang berleluasa di dalamnya kezaliman melainkan ia akan binasa dan turun atasnya binasa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Begitu azab Tuhanmu apabila dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesugguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih keras.

 (Surah Hud 11:102)
Keadilan yang paling besar adalah melaksanakan syariah Allah, menjalankan hukum-hakam-Nya dan memberikan hak-hak kepada yang berhak. Manakala kezaliman yang paling besar adalah mengabaikan syariah Allah dan menjauhkannya daripada urusan kehidupan.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki?
Menyatukan kalimah perpaduan dan tidak berpecah belah.
Antara tugas utama pemimpin adalah menyatukan orang islam dan menghalang segala sebab yang membawa kepada pepecahan dan perbezaan demi melaksanakan matlamat-matlamat islam yang tinggi, yang menyuruh supaya bersatu dan melarang daripada berpecah belah dan berselisih.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
 (Surah Ali ‘Imran 3:103)

Bersikap lembut dengan rakyat dan memberi nasihat kepada mereka.
Antara kewajipan pemimpin adalah bersikap lembut terhadap rakyat dan menasihati mereka, kerana perkara tersebut mempunyai kepentingan bagi pemimpin dan rakyat.

Disebut dalam Hadis:
Maksudnya: Ya Allah! Sesiapa yang memegang sesuatu urusan umatku lalu dia menyusahkan mereka maka susahkahlah dia, dan sesiapa yang memegang sesuatu urusan umatku lalu dia bersikap lembut, maka berlembutlah dengannya.
 (Riwayat Muslim no 1828)
Berkata Imam an-Nawawi rhm:
“Ini adalah antara tegahan yang paling kuat daripada mengenakan kesusahan terhadap manusia dan dorongan yang paling besar supaya berlembut dengan mereka. Banyak lagi hadis yang datang dengan pengertian ini. ”

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang hamba yang diberikan oleh Allah Taala memegang urusan rakyat dalam kalangan orang islam, lalu dia mati dalam keadaan membohongi mereka melainkan Allah mengharamkan atasnya syurga.
 (Riwayat al-Bukhari no 7151)

Pemimpin soleh yang mendirikan solat, melaksanakan hukuman hudud dan menjaga hak-hak yang telah ditentukan kepada umat, akan merealisasikan sebesar-besar sebab bagi umat untuk kebaikkan negara dan rakyat.
Jika pemimpin berusaha untuk mengislahkan (membawa kebaikkan dan membaiki) rakyatnya setakat kemampuannya, maka dialah sebaik-baik manusia pada zamannya dan dia jugalah semulia-mulia mujahid di jalan Allah.
Ini adalah sebahagian hak-hak kewajipan yang telah ditentukan oleh islam dan diwajibkan ke atas pemerintah terhadap rakyatnya. Ia menjelaskan keindahan islam dalam pemerintahan dan kepimpinan.

HAK-HAK (TANGGUNGJAWAB) YANG WAJIB ATAS RAKYAT.

Supaya kebaikan yang dikehendaki daripada pemimpin dan khalifah terlaksana, rakyat perlu menjalankan kewajipan mereka terhadap pemerintah kerana mereka adalah rakan sekutunya dalam merealisasikan perkara ini.
Berkata Ka’ab al-Ahbar:
“Perumpamaan bagi islam, pemerintah dan rakyat adalah seperti sebuah khemah, tiangnya dan tali khemah berserta pasak-pasaknya. Khemah itu ialah islam, tiangnya ialah pemerintah dan tali khemah dan pasak-pasaknya ialah rakyat jelata. Tidak sempurna sebahagiannya melainkan dengan sempurnanya sebahagian yang lain. ”

Antara hak dan kewajipan yang menjelaskan hubungan antara pemimpin dengan rakyat ialah:
Kewajipan mendengar dan mentaati.
Ketaatan adalah satu daripada tiang-tiang dalam pemerintahan dalam islam dan satu daripada kaedah perundangannya. Telah diketahui dalam agama islam bahawa tidak aka nada jemaah melainkan dengan adanya kepimpinan dan tidak akan ada kepimpinan melainkan dengan adanya sikap mendengar dan taat.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya), dan ulul amri (Pemerintah) antara kamu.
 (Surah an-Nisa’ 4:59)

Dalam ayat ini, terdapat penjelasan tentang kewajipan mendengar dan mentaati para pemimpin. Di siniia di sebut secara mutlak (umum), dan dikaitkan pula dengan hadis yang sahih bahawa ketaatan hanya pada perkara yang bukan maksiat.

Daripada Ibn Umar r. huma bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: (Wajib) atas seseorang Muslim mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia suka atau benci kecuali apabila dia disuruh melakukan maksiat. Jika dia disuruh melakukan maksiat, maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat.
 (Riwayat al-Bukhari no 7144)

Daripada Abu Hurairah r. a. bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mentaati aku maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa yang mengingkariku maka dia telah mengingkari Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin maka dia telah mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemimpin maka dia telah mengingkariku.
 (Riwayat al-Bukhari no 7137, Muslim no 1835)

Hadis ini menunjukkan kewajipan mendengar dan mentaati para pemimpin selagi tidak disuruh kepada maksiat. Kerana ia adalah satu ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia adalah suatu kewajipan yang telah disepakati di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah dan ia adalah salah satu usul mereka yang membezakan mereka dengan golongan bidaah dan hawa nafsu.

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar rhm:
“Dalam hadis, ini terdapat kewajipan mentaati para pemimpin. Ia dikaitkan (dikhususkan) pada perintah bukan maksiat. Hikmah perintah supaya mentaati mereka adalah untuk menjaga kesatuan kalimah kerana perpecahan membawa kepada kemusnahan. ”
Menanggung kezaliman pemerintah dan bersabar atasnya.
Jika berlaku sebarang kezaliman oleh pemimpin terhadap rakyatnya, atau melampaui batas atas mereka dalam urusan-urusan duniawi, atau berlaku kekurangan terhadap kepentingan-kepentingan rakyat, atau melebihi diri sendiri mahupun sebahagia rakyat sahaja, maka kewajipan rakyat ketika itu adalah menanggung kezaliman ini, dan bersabar atasnya, serta mengharapkan pahala disisi Allah SWT.
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r. a. katanya: Aku berkata, ”Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam keburukan (pada zaman jahiliah), Allah mendatangkan kebaikan lalu kami berada dalam kebaikan. Adakah selepas kebaikan ini ada keburukan?” Sabdanya, “Ya. ” Aku berkata: “Adakah selepas keburukan itu datang kebaikan?” Sabdanya, “Ya. ” Aku berkata, “Adakah selepas kebaikan itu datang pula keburukan?” Sabdanya, “Ya. ” Lalu aku berkata, “Bagaimana?” Sabdanya:

Maksudnya: Akan ada pemimpin-pemimpin yang tidak mengambil petunjuk daripada hidayatku, tidak mengikut sunnahku. Akan berdiri dalam kalangan mereka lelaki –lelaki yang hati mereka adalah hati –hati syaitan yang berada di dalam jasad manusia. Aku berkata, “Bagaimana yang patut aku buat jika aku sempat dengannya?” Sabdanya. “Engkau dengar dan taatlah kepada pemerintah sekalipun belakang kami dipukul dan hartamu diambil. Maka dengar dan taat. ”
 (Riwayat Muslim no 1847)
Hadis ini adalah antara hadis yang paling jelas dalam bab ini (taat kepada pemerintah) kerana Nabi SAW menyifatkan mereka sebagai pemimpin –pemimpin yang tidak mengambil petunjuk Baginda dan tidak mengikut sunnah perjalanan Baginda. Ini adalah kemuncak kesesatan, kerosakkan, penyelewengan, dan keingkaran. Mereka tidak mengambil petunjuk Nabi dalam diri mereka, keluarga, dan rakyat jelata mereka.
Sekalipun sampai tahap mereka memukul belakang kamu dan mengambil harta kamu, janganlah perkara itu menyebabkan kamu tidak metaati mereka dan tidak mendengar perintah mereka. Dosa tersebut adalah atas mereka dan mereka akan dihisab dan dibalas pada Hari Kiamat.

Jika hawa nafsu mengheret kamu untuk menyalahkan perintah yang penuh hikmah dan syariat yang sangat lurus ini lalu kamu tidak mentaati pemimpin kamu, maka kamu mendapat dosa dan jatuh ke dalam larangan.
Perintah Nabawi ini adalah antara kesempurnaan dan keadilan yang dibawa oleh Islam. Orang yang dipukul tadi jika dia tidak mendengar dan mentaati, banyak menyebabkan kepentingan agama dan keduniaan tergendala. Pemimpin pula akan terus bertindak zalim atas seluruh rakyat atau sebahagian besar mereka. Ini menyebabkan hilangnya keadilan di dalam negara dan kebenaran akan benar –benar berlaku dan ia akan menimpa semua orang.
Berlainan kalau seseorang dizalimi, tetapi dia bersabar dan mengharapkan ganjaran Allah serta memohon daripada-Nya supaya diberi kelepasan, dalam pada itu dia dengar dan taat maka akan terlaksana pelbagai masalah dan tidak akan tergendala. Haknya disisi Allah juga tidak lenyap. Boleh jadi Allah akan gantikan baginya sesuatu yang lebih baik daripadanya dan boleh jadi Allah menyimpan untuknya di Akhirat.
Inilah keindahan syariah. Ia tidak mengkhususkan kewajipan mendengar dan taat hanya ketika ada keadilan pada para pemimpin. Kalaulah begitu, nescaya seluruh dunia ini akan jadi kacau –bilau dan penuh fitnah. Segala pujian bagi Allah atas kelembutan-Nya terhadap hamba –hamba-Nya.

Haram mencela, menipu, dan membenci para pemimpin umat islam.

Daripada Anas r. a. katanya: Orang besar dalam kalangan sahabat –sahabat Nabi Muhammad SAW melarang kami dengan berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu mencela pemimpin –pemimpin kamu, jangan kamu menipu mereka, jangan membenci mereka, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Kerana sesungguhnya Hari Kiamat itu hampir.

Dalam mengukuhkan perkara ini, seorang lagi ulama al-Hasan nin Ali al-Barbahari rhm. Berkata di dalam kitab as-sunnah:
“Jika engkau melihat seorang lelaki berdoa (dengan keburukan) atas sultan, maka ketahuilah bahawa dia mengikut hawa nafsu. Jika engkau melihat seorang lelaki berdoa untuk sultan dengan kebaikan maka ketahuilah bahawa dia pengikut sunnah, insya-Allah. ”

Berkata al-Fudhail bin ‘Iyadh rhm. :
“Andaikata aku mempunyai doa (yang mustajab), nescaya tidak akan aku tujukan melainkan untuk sultan. Maka kita diperintahkan supaya mendoakan untuk mereka dengan kebaikan dan tidak diperintahkan berdoa (dengan keburukan) atas mereka walaupun mereka zalim dan kejam. Hal ini kerana kezaliman mereka adalah atas diri mereka sendiri dan atas orang islam dan kebaikan mereka adalah untuk mereka dan untuk orang islam. ”

Sheikh Abdul Aziz bin Baz rhm. Ditanyai tentang orang yang enggan berdoa untuk pemimpin. Katanya:
“Ini adalah disebebkan oleh kejahilannya dan buta pandangannya. Berdoa untuk pemimpin adalah antara sebesar –besar amalan yang mendekatan diri (kepada Allah), antara ketaatan yang paling afdal dan ia adalah sebahagian daripada nasihat bagi Allah dan bagi hamba –hambanya-Nya. Nabi SAW ketika dikatakan kepadanya, “sesungguhnya Daus telah berdosa. ” Baginda bersabda:
Maksudnya: Ya Allah, berilah petunjuk kepada Daus dan datangkanlah bagi mereka, ya Allah berilah petunjuk kepada Daus dan datangkanlah bagi mereka.

Baginda berdoa untuk manusia dengan kabaikan. Sultan adalah lebih utama untuk didoakan untuknya kerana kebaikannya adalah kebaikan bagi umat. Maka berdoa untuknya adalah doa yang paling penting dan nasihat yang paling utama.

Diriwayatkan daripada Ibnu Majlaz katanya:
“Mencela pemimpin adalah pencukur. Aku bukan bermaksud pencukur rambut, tetapi pencukur agama. ”

Sesiapa yang beranggap bahawa perbuatan mencela dan mencaci para pemimpin adalah sebahagian daripada syariat Allah, atau sebahagian daripada mencegah kemungkaran dan seumpamanya, maka dia telah sesat dan bercakap tidak benar terhadap Allah dan syariat-Nya. Malahan ia bertentangan dengan kehendak kitab al-Quran dan as-Sunnah serta apa-apa yang diucapkan oleh umat salaf yang terdahulu.
Sebarang penglibatan dalam menjatuhkan maruah mereka, menyibukkan diri dengan mencerca mereka dan menyebut keaiban mereka adalah dosa yang besar dan jenayah yang buruk. Syariah yang murni ini melarangnya dan mencela pelakunya.
Ia adalah benih kepada penentangan terhadap pemimpin yang merupakan asas kepada kerosakan agama dan juga dunia sekali gus.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com