Perjalanan Roh Manusia

Oleh: Anisatul Husna Bt Husni

Perjalanan Roh Manusia

Pendahuluan

 Ketika ini kita masih hidup dan ketika ini kita masih berada di alam ketiga iaitu Alam Dunia. Tetapi sebentar nanti kita akan mati dan itu adalah suatu hal yang pasti. Sebentar lagi kita sudah tidak ada lagi di sini, kita akan berada di alam lain pula.
 Jika dibandingkan dengan umur yang telah kita jalani di dalam alam dunia ini tentu jauh dan tiada tandingan. Kita pasti lama dan sudah tentu akan lebih lama lagi bilamana kita telah dipindahkan ke alam yang kelima iaitu alam akhirat yang mulai terjadinya hari kiamat kelak. Dalam perjalanan itu nanti kita tidak akan mempunyai teman lebih dari itu kita akan telanjang dan tidak berpakaian. Di sepanjang perjalanan itu kita tidak akan menemui restoran, hotel, supermarket untuk membeli-belah atau menumpang makan dan minum mahupun menginap.
 Malah lebih dari itu, kita tidak akan menemui tempat berteduh dari terik matahari yang membakar yang jaraknya di atas kepala kita hanya sejengkal sahaja. Namun anehnya kita tidak akan mati sebab mati itu hanya sekali. Kita juga tidak akan menemui tempat yang lapang dan luas seperti di rumah kepunyaan kita di dunia. Pada waktu itu tiada yang bermanfaat kecuali orang yang menemui Allah S.W.T dengan hati yang bersih.
Abstrak

 Dalam kerja kursus ini saya telah mengambarkan perkembangan hidup manusia dan sedikit hal-hal yang berhubung dengan kemanusiaan juga bagaimana perkembangan manusia dalam melalui beberapa alam.
 Pada mulanya saya memberitahu bagaimana keadaan manusia dalam perjalanannya melalui lima macam alam. Alam yang kelima ialah alam akhirat yang sudah kita mulai dari sejak alam keempat iaitu alam barzakh. Akan tetapi kita belum merasa berada di alam tersebut.
 Saya juga ada menceritakan kisah bagaimana terjadinya Nabi Adam a.s. serta Hawa dan kisah mereka berdua yang telah diturunkan ke dunia kerana terperangkap dalam tipu daya syaitan. Selain itu, ada juga kisah tentang bagaimana keadaan manusia ketika di dalam alam arwah iaitu alam yang dimana kita telah melakukan penjanjian dengan Allah S.W.T.
 Terdapat juga kisah manusia ketika berada di dalam alam rahim iaitu alam kedua yang harus dilalui oleh manusia untuk menuju ke alam dunia. Akhir sekali, saya menghuraikan juga bagaimana keadaan semasa berada di alam akhirat.

PERJALANAN ROH MANUSIA

~ BAB 1 Adam Dalam Ciptaan ~

*Sebelum kejadian manusia*

 Manusia asal yang diciptakan pada mulanya oleh Allah S.W.T. ialah Adam a.s. Sebelum terciptanya Adam a.s. Allah S.W.T. telah bermusyawarah dengan para malaikat terlebih dahulu walaupun Allah S.W.T. Maha Mengetahui segala baik dan buruknya yang kadang-kadang tidak dapat diselami oleh otak dan akal manusia. Permusyawarah itu diceritakan oleh Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang terjemahannya seperti berikut :

30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

*Anasir-anasir kejadian manusia*

 Seperti yang kita maklum bahawa Allah S.W.T. telah menjadikan manusia yang pertama ialah Adam a.s. pada hari jumaat. Kejadian Adam a.s. ini terjadi dari 7 macam tanah :

1. Turab iaitu tanah
2. Thin iaitu tanah bercampur air
3. Hama'in iaitu tanah bercampur udara
4. Shalshaal iaitu bangunan tanah yang separuh kering
5. Lazib iaitu tanah yang sempurna adunannya dan sudah dibentuk
6. Fakhkhaar iaitu tanah yang sempurna bentuknya dan mempunyai kekuatan panas
7. Roh
Maka sempurnalah kejadian Adam a.s. manusia yang pertama. Lalu Allah S.W.T. pamerkan di hadapan para malaikat seperti yang diceritakan dalam surah Al- Baqarah ayat 31-33.

31. dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".
32. malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
33. Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui Segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa Yang kamu nyatakan dan apa Yang kamu sembunyikan?".


*Penghormatan terhadap manusia pertama*

 Setelah sempurna kejadian Adam dan menunjukkan kesempurnaannya maka Allah S.W.T jadikan ia sebagai satu ujian kepada para malaikat di atas kesombongan dan ketakburan mereka ketika memberi buah fikiran dalam musyawarah sebelum ini. Kemudian, Allah S.W.T memerintah para malaikat melakukan sujud penghormatan terhadap Adam a.s. seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 34 :

34. dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan Yang kafir.

 Selepas itu, Allah S.W.T. juga menceritakan tentang kesombongan iblis sehingga ia gagal dalam ujian ini dan seterusnya menjadi musuh ketat bagi Adam dan anak cucunya seperti dalam surah Al-A'raf ayat 12-18 :

12. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya Yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang Dia Engkau jadikan dari tanah."
13. Allah berfirman: "Turunlah Engkau dari syurga ini, kerana tidak patut Engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang hina".
14. Iblis berkata: berilah tempoh kepadaKu hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
15. Allah berfirman: "Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh (ke suatu masa Yang tertentu)".
16. Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
17. "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
18. Allah berfirman: "Keluarlah Engkau dari syurga sebagai makhluk Yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka Yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam Dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

*Dalam syurga dan akibat pelanggaran*
 Penghormatan terhadap Adam telah menyebabkan ia ditempatkan di dalam syurga yang dipenuhi segala kesenangan yang tidak pernah sekalipun terlintas di fikiran manusia. Tambahan pula, dilengkapi oleh manusia kedua yang cantik jelita sebagai pasangan istimewa iaitu ibu kita, Hawa.
 Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 35 bahawa mereka boleh tinggal di dalam syurga dan makanlah sepuas-puasnya apa sahaja yang mereka sukai dan janganlah mereka hampiri pokok yang satu ini sekiranya mereka hampiri maka mereka termasuk dalam golongan orang yang zalim. Allah S.W.T. menceritakan juga bahawasanya syaitan itu telah menghasut Adam dan Hawa untuk ke pohon tersebut dan menikmati buahnya. Akhirnya, mereka berdua terpedaya dengan hasutan tersebut lalu memakan buah dari pohon tersebut. Selepas mereka memakan buah tersebut maka terdedahlah aurat mereka berdua. Kemudian mereka menutupinya dengan daun-daun dari syurga. Hal ini menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T. terhadap mereka lalu mereka mohon ampun kepada Allah S.W.T. kerana kealpaan mereka itu.

*Diturunkan ke dalam dunia*

 Sebagai hukuman terhadap pelanggaran itu, Adam dan Hawa diperintahkan oleh Allah S.W.T. turun dari syurga dan tinggal di bumi seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 36 :

36. setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat Yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian Yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

Allah S.W.T. juga berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 25 :

25. Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".

Demikianlah kisah asal mulanya kejadian Adam dan sebagai anak cucunya kita harus meneruskan hidup di dunia yang fana yang penuh dugaan dan cabaran ini.

*Pertemuan antara Adam dan Hawa*

 Menurut riwayat bahawa ketika Adam dan Hawa diturunkan ke dunia mereka telah terpisah. Mereka saling mencari-cari antara satu sama lain sehinggalah pada suatu hari mereka telah bertemu di suatu padang pasir yang tandus, dekat suatu bukit. Betapa gembiranya mereka ketika itu sangatlah tidak dapat digambarkan. Padang tersebut dikenali sebagai Padang Perkenalan ataupun Padang Arafah. Bukit itu pula dikenali sebagai Jabal Rahmah.

~ Bab 2 Manusia Dalam Alam Dzar @ Alam Arwah ~

*Pembahagian alam kepada lima*

 Manusia dalam perjalanan untuk menuju kembali ke hadrat Allah S.W.T. pasti akan melalui 5 tingkat masa atau lebih dikenali sebagai alam.

*Penjanjian pertama atau asal*

 Di sebelah bukit Rahmah itu terdapat satu lembah di mana Nabi Adam a.s. telah diiringi oleh malaikat untuk pergi ke tengah lembah tersebut. Dengan qudrat Allah S.W.T. dikeluarkan dari tulang belakang Nabi Adam seluruh roh-roh dari semua anak cucu zuriat keturunannya termasuklah anak yang keluar kerana keguguran. Roh-roh itu disusun namun padang lembah itu masih sesak. Pemandangan itu menakjubkan para malaikat kerana sekiranya setiap roh itu diberi jasad tentu bumi ini akan sempit. Lalu mereka bertanya seperti berikut :
Malaikat: "Wahai Tuhan Kami ! Bumi in tidak akan cukup luas untuk tempat kediaman umat manusia ini."
Allah : "Aku nanti akan menjadikan di antara mereka itu mati, sehingga dengan demikian dunia akan tetap sahaja cukup untuk tempat tinggal mereka.
Malaikat : "Kalau begitu, mereka itu tidak akan tenang dalam kehidupannya."
Allah : "Nanti akan Ku jadikan mereka itu mempunyai cita-cita dan harapan yang dikejar oleh mereka.

 Kemudian Allah S.W.T. membuat penjanjian dengan roh-roh manusia tadi dan isi penjanjiannya ialah :
Mengakui dan naik saksi akan ketuhanan Allah dan keesaanNya yakni taat kepadaNya dan mengingati segala titah perintahNya serta menjauhi segala macam larangan-laranganNya. Setelah selesai penjanjian itu maka semua roh itu dikembalikan ke tempat asalnya iaitu ke dalam tulang belakang Nabi Adam a.s. untuk nanti pada saat dan tempat yang tertentu akan dilahirkan dan dikeluarkan ke dalam dunia sebagai manusia. Kejadian ini ada diceritakan dalam surah Al-A'raf ayat 172-174.

172. dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

173. atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa Kamilah Yang melakukan syirik dahulu sedang Kami ialah keturunan (mereka) Yang datang kemudian daripada mereka. oleh itu, Patutkah Engkau (Wahai Tuhan kami) hendak membinasakan Kami disebabkan perbuatan orang-orang Yang sesat itu?"



174. dan Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata Segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).


 Kejadian itu terjadi dalam suatu alam yang disebut Alam Arwah atau Alam Dzar. Ertinya semua roh-roh kita dijelmakan di mana kita pada waktu itu masih merupakan dzat-dzat halus sebagai atom bertaburan di seluruh lembah padang Wadhi An-Nu'man, jauh sebelum saat-saat kelahiran masing-masing ke dalam alam dunia namun sudah diberi penjanjian untuk dipenuhi. Kita wajib bersyukur ke hadirat Allah S.W.T. bahawa kita telah diwujudkanNya ke dalam Alam Dunia, alam ketiga yang kita diami sekarang. Demikianlah hal-hal yang berhubung dengan Alam Arwah semoga Allah S.W.T memperingatkan kita untuk menunaikan janji asal itu dengan mendapat keredhaanNya.

~Bab 3 Manusia Dalam Alam Rahim~

*Apa & sebab dinamakan alam rahim?*

 Rahim menurut bahasa arab ertinya kasih sayang. Alam ini disebut Alam Rahim kerana benih atau calon manusia yang berada di dalamnya adalah sangat dikasihi dan disayangi oleh ibu yang sedang hamil mahupun bapanya atau siapa sahaja yang mengetahui bahawa wanita itu sedang mengandung sehingga kesihatannya harus dijaga. Kehendak dan kemahuannya juga dipenuhi dan perasaannya juga dijaga supaya tidak tersinggung.

*Permulaan kejadian manusia*

 Sabda Rasulullah S.A.W. :
Sesungguhnya bilamana Allah berkehendak menjadikan seseorang hambaNya, ditakdirkanNya suami melakukan jimak terhadap isterinya maka mengalirlah air maninya meresap ke segenap urat-urat dan anggota-anggota isterinya. Bila telah sampai pada hari ketujuh, terus dihimpunkan Allah bercampur bersama-sama dengan air mani wanita itu sendiri. Kemudian mulailah dihadirkannya segala urat-urat yang diperlukan baginya, selain kejadian Adam sendiri di dalam bentuk dan rupa apa yang dikehendakiNya terus disusunNya.

 Tingkat penyusunannya telah diterangkan oleh Allah Taala dalam firmanNya dalam surah Al-Mu'minun ayat 12-14 :

12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
13. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;
14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.


*Pemberian nyawa*

 Menurut penyelidikan, para ulama telah sepakat bahawa pemberian nyawa pada seseorang calon manusia di dalam rahim tidak boleh terkecuali setelah 4 bulan. Imam Ahmad bin Hanbal pula berpendirian seperti berikut yakni masuk kelima bulan dan bergerak-gerak janin di dalam perut ibunya ketika itu menunjukkan suatu tanda telah diberikan roh kepadanya. Melihat dari segi inilah terkandung hikmah bahawa Islam menetapkan bahawa iddah kematian suaminya adalah 4 bulan 10 hari yakni lebih kurang 130 hari kerana masuknya wanita itu dalam bulan kelima dari saat meninggal suaminya dengan kenyataan tidak ada hamil maka jelaslah rahimnya kosong. 10 hari lagi itulah dilaksanakan pemberian roh kepada janin.



 Anak yang lahir dari keguguran itu tidak boleh disembahyangkan sebab masih benda beku ( jamad ) kecuali bilamana telah sampai masa 4 bulan 10 hari ke atas barulah disembahyangkan. Kalau benda keguguran itu belum nampak tanda-tanda kemanusiaan, masih merupakan lendir maka hukumnya tidak wajib sembahyang hanya sunat dibungkus dan dikebumikan. Kalau ada tanda-tanda hidup maka wajib dilaksanakan sebagaimana orang dewasa meninggal dunia iaitu dimandikan, dikafankan dan sembahyang jenazah ke atasnya serta dikebumikan.

*Perkembangan selanjutnya*

 Ulama fiqh menerangkan bahawa apabila seorang wanita yang sihat tidak mengeluarkan darah haid maka itulah suatu tanda saat mulai hamil. Darah itu terkumpul terus selama masa perkembangan kandungannya hingga saat nafkhur roh. Bilamana janin itu diberi nyawa maka darah haid itulah menjadi makanannya melalui tali pusatnya sebab mulutnya belum boleh terbuka selama ia masih dalam kandungan.

 Masuk bulan 5 ke atas dari sehari ke sehari membesar yang nampak kelihatan dari membesarnya perut ibu yang sedang mengandungnya. Ia turut memakan apa yang dimakan oleh ibunya dan minum apa yang diminum oleh ibunya melalui tali pusatnya sebagai tambahan makanan di atas dan apa yang dirasakan atau dialami oleh batin atau jiwa si ibu memberi bekas kepada perkembangan jiwa si janin itu.

~Bab 4 Manusia Di Dunia~

*Manusia lahir ke dalam dunia*

 Pada saat yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. lahirlah ia (manusia itu) ke dalam alam dunia ini entah siang entah malam. Biasanya kelahirannya itu disambut oleh ibu bapanya dengan rasa gembira sekali. Sebentar sahaja khabar kelahirannya itu telah tersebar luas ke segenap masyarakat keluarganya sehingga mereka juga ikut turut merasa gembira menyambut kelahirannya. Yang dekat mulailah berdatangan menjenguk ingin melihat wajah keluarga baru lahir itu. Kadangkala dengan membawa buah tangan sebagai tanda syukur kepada Tuhan dan turut bergembira dengan kehadirannya dengan selamat. Keluarganya yang jauh turut merasa gembira ada di antaranya mengirimkan ucapan selamat dan lain-lain.

*Lahirnya menjerit atau menangis*

 Menurut kebiasaan, bayi itu lahir ke dalam dunia ini dalam keadaan menjerit atau menangis. Bilamana tidak demikian, maka sudah tentu ada kelainannya, si bidan harus mengusahakan berbagai-bagai cara sehingga kembali seperti keadaan normal, disenam, diurut serta dibersihkan dari sisa-sisa bekas alam rahim. Dibersihkan dari lendir-lendir dan sebagainya agar nantinya jangan sampai dihinggapi penyakit kulit, juga dibersihkan mulutnya dari bekas sisa makanan dalam rahim supaya kelak jangan dihampiri penyakit. Lain-lain anggota badannya juga dibersihkan sedemikian rupa sehingga benar-benar putuslah hubungannya dengan alam rahim, alam tempat ia mulai tumbuh.

 Apa sebab bayi yang baru lahir itu menjerit atau menangis ??
Rasulullah S.A.W. bersabda :
Tiap-tiap anak Adam itu, ditusuk oleh syaitan pada lambung sisinya ketika ia dilahirkan kecuali Isa bin Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya terkena pada hijab sahaja.

 Bila sahaja manusia itu lahir ke dalam alam dunia ini, begitu ia menugaskan kepada seorang syaitan yang telah disediakan untuk hidup mendampinginya dan menyertainya dalam kehidupan setiap manusia itu hanya untuk menyesatkan, mewas-waskan dan mengacau bilaukan keadaan hidupnya semata-mata. Syaitan itu mengambil tempat kediaman pada batang tubuh anak Adam di mana-mana darahnya mengalir.

*Sedikit upacara selepas kelahirannya*

1. Bayi itu diletakkan pada riba pada salah seorang keluarganya yang dianggap soleh dan wara sambil mengadap qiblat, mendengarkan kalimah azan pada telinga kanannya dan kalimah-kalimah iqamah pada telinga kirinya. Ianya untuk ingat kembali pada janji utamanya di alam arwah supaya ia menjadi manusia yang suka berterima kasih dan bukannya orang yang kafir dan engkar.

2. Selanjutnya sunat pula dilakukan kepadanya apa yang dinamakan "tahnik" dan mendoakannya mendapat barakah dalam hidupnya kelak. Maksud "tahnik" ialah memasukkan ke dalam mulut bayi itu sedikit daripada kurma atau barang makanan yang manis sehingga dapat ditelannya. Hal ini semoga anak itu kelak dalam hidup selanjutnya akan mendapat keadaan-keadaan yang manis atau mempunyai tingkah laku yang baik-baik dan manis hendaknya.

3. Ada beberapa ulama berpendapat bahawa pada saat itu juga baik juga dibacakan surah Al-Qadr tujuh kali. Mereka mengatakan : Khasiatnya ialah semoga Allah Taala memeliharakan anak itu kelak daripada suka berzina/ melacur.

4. Pada hari ketujuh, menurut riwayat Ahmad atau pada hari ke 40hari kelahirannya, menurut riwayat lain lagi, sunat pula dilakukan :
 a. Tasmiah yakni perasmian pemberian nama kepada bayi itu dengan nama yang baik-baik.
 b. Mencukur/ membersihkan rambut kepalanya yang dibawanya sejak lahir, lalu ditimbang berat rambutnya itu dengan emas atau perak, beberapa nilainya dengan wang disedekahkan kepada saudara seagama kita yang miskin.
 c. Kalau orang tuanya pada saat itu telah tersedia wang maka baiklah pula dilakukan pemotongan aqiqah atas namanya sekali.

5.Ketika ia sebelum aqil baliqh baik pula dilakukan khatan (sunat) yakni memotong dan membuang qhulfah pada hujung zakar kemaluannya bagi anak lelaki dan sedikit dari hujung kelentit pada kemaluannya bagi anak perempuan.

*Perkembangan hidup manusia menurut umur*

1. Masa bayi iaitu sejak lahirnya hingga umur satu tahun atau 9 bulan. Dalam masa ini kekuatan terus menerus bertumbuh, tidaklah ia dapat menyatakan sesuatu kecuali rasa sakit dan buang air. Sedikit demi sedikit mulailah ia menangis, melihat dan tersenyum. Giginya mulai tumbuh dan menuju ke arah kesempurnaannya. Mulai pada pertengahan masa ini, jiwa anak itu mulailah menyelidik apa sahaja yang dilihatnya, diselidiknya, ditilik, diperiksa, dicuba, dilempar, dibanting dan dikoyak-koyaknya dan sebagainya.

2.Hingga lebih kurang 4 tahun barulah ia mulai meniru-niru dan menurut-nurut, khalayannya mulai tumbuh melatih aqal dan otaknya. Nampak padanya kekuatan ingatannya dan pada umurnya 5 tahun mulai pengertiannya memberikan hukum atas segala sesuatu yang dilihatnya. Maka kedua ibu bapa dan seluruh keluarga yang ada di sekitarnya dalam linkungan rumah tangganya itulah yang menjadi gurunya yang pertama. Ia mengikuti segala gerak-geri mereka. Ia contohi dan tiru serta teladani segala apa yang dilihatnya, didengarnya dan diperhatikannya yang buruk dan yang baik.

3. Pada umurnya 6 hingga 7 tahun mulailah gigi yang disebut dengan gigi susu yang ada padanya itu berguguran satu demi satu berganti dengan yang baru. Baiklah ia mulai disekolahkan kepada sekolah yang kedua yakni sesudah sekolah atau didikannya di dalam rumahtangga iaitu sekolah rendah yang lebih teratur.

4. Umur muda remaja iaitu sejak 7/8 tahun hingga 14 tahun ialah masa peredaran cita-cita dan angan-angan. Maka pada peringkat ini wajiblah ia disekolahkan. Dalam sekolah itu selain aqalnya diisi dengan ilmu pengetahuan dengan teratur juga pendidikan jasmani untuk menyempurnakan pertumbuhan jasmaniyyah dan rohaniyyahnya.


5. Umur aqil baliqh iaitu sejak 15 tahun sehingga akhir 21 tahun iaitu satu peringkat yang penuh dengan khayalan, cita-cita dan angan-angan. Oleh kerananya maka pemuda itu suka mementingkan diri sendiri, suka berdandan, pendek perhitungan dan suka bebas merdeka dari segala apa yang menghambat kemahuan dan keinginannya. Sebab itu ibu bapanya harus lebih berwaspada, sungguh teliti dan menaruh perhatian terhadap pengawasan anak ini agar ia jangan sampai tergelincir masuk ke jurang lembah penghinaan mengikutkan hawa nafsunya yang sangat ingin memuaskannya. Selain itu, mulai saat itu ia wajib memenuhi dan menunaikan janji asalnya yang pernah diikrar dan diakuinya ketika ia dahulu berada di dalam alam arwah yakni menjalankan peraturan-peraturan Allah, tuhan yang menjadikannya.

6. Umur pemuda atau sinnusyabibah ialah sejak 22 tahun sehingga akhir 26 tahun. Peringkat ini ialah peringkat kelazatan syahwat yang penuh dengan romantik, kurang tetap pendirian tetapi penuh dengan keberanian. Berumur 18 tahun ke atas itulah pancaroba yang kedua di mana ibu bapa dan para pengajar harus lebih berhati-hati dan sungguh berwaspada untuk menjaga dan mengawasinya kerana pada masa itulah puncak syahwat hawa nafsunya.

7. Umur kejantanan iaitu sejak 27 tahun sehingga 35 tahun ialah puncak ketinggian watak tabiatnya dan kekuatan aqal fikirannya. Pada peringkat inilah puncak kekuatan batang tubuhnya, ketangkasan dan kecerdasan otaknya.

8. Umur pertengahan atau peringkat kejantanannya yang kedua iaitu sejak 36 tahun sehingga 42 tahun ialah umur ketetapan pendirian, kelanjutan umur kejantanan yang penuh dengan kegiatan, ketamakan kepada kebendaan, kegemaran mencari nama, pangkat dan kedudukan.

9. Umur kuhulah atau masa tua dan peringkat istirehat iaitu dari sejak umur 43 tahun hingga akhir 49 tahun ialah masa kegemaran kepada hak milik dan hidup tenang kembali dan menyendiri bagi yang berusia lanjut sehingga kecintaannya kepada harta bendanya itu dengan aqalnya dengan sempurna, menyedarkannya kembali untuk beristirehat, menikmati hidup dengan tenang sambil merenung-renung dan mengingatkan masa nan silam dan pengalaman nan lampau.

10. Sinnul-hibuth atau masa menurun iaitu dari umur 50 tahun sehingga umur 56 tahun dalam mana ia selalu bertafakur lebih sering mengenang masa nan silam dan lebih cenderung kepada istirehat sebagaimana seorang yang baru sahaja tiba dari menempuh suatu perjalanan yang jauh, letih, lelah dan apa sahaja yang telah terasa baginya sebagai lanjutan umurnya yang lewat.

Perkembangan hidup lanjutnya sejak 57 tahun hingga akhir hayatnya semakin banyaklah terganggu kesihatannya dan akhirnya habislah seluruh kekuatannya bagaikan pelita kehabisan minyak.

~Bab 5 Manusia Dalam Alam Barzakh~

*Alam Barzakh*

 Alam yang keempat yang harus dilalui oleh manusia itu ialah alam yang dinamakan alam barzakh iaitu suatu alam yang harus ditempuhnya sejak ia keluar dari alam dunia dengan berpisah rohnya dari jasadnya, sehingga suatu ketika ia dibangkitkan dari kuburnya menuju kepada alam kelima. Jadi, barzakh ada antara maut dan kiamat.

*Pembahagian alam barzakh*

 Alam barzakh itu dibahagi kepada tiga iaitu tempatnya, masanya dan keadaannya.

1. Tempatnya : Di dalam perkuburan sampai kepada tingkat Illiyin (dalam syurga) yang dihuni oleh roh-roh orang yang bahagia, atau sampai kepada tingkat Sijjin (dalam neraka) yang dihuni oleh roh-roh celaka.

a. Perkuburan :
Seseorang itu menurut hadis riwayat At-Tirmidzi dan lain-lainnya akan dikebumikan pada tanah asalnya yang ia dijadikan daripadanya. Sehingga walaupun ia jauh bertempat tinggal daripada tanah asalnya, Allah Taala akan takdirkan ia mempunyai suatu keperluan di tempat itu, lalu ia mati dan dikuburkanlah di situ. Perkuburan itu melapangkan dan meluaskan dirinya sejauh mata memandang dan disingkapkannya pemandangan kepada syurga bakal tempat kediamannya. Tetapi bilamana sebaliknya, dikebumikan padanya seorang yang kafir atau fajir (orang yang banyak melanggar hukum Islam).

b. Roh setelah berpisahdari jasadnya :
 Hadith riwayat Al-Hafiz Abi Nu'aim bahawa malaikat membawa roh itu sehingga dihadapkan ke hadirat Allah Taala. Kalau ia dari golongan bahagia maka malaikat itu akan mendapat perintah untuk membawa dan memperlihatkan kepadanya bakal tempat kediamannya di syurga, selama orang sedang memandikan jasadnya. Bilamana telah selesai dan dikafankan barulah roh itu dikembalikan dan di letak di antara kafan dan jasadnya. Setelah orang membawanya di dalam keranda ia akan mendengar perkataan orang-orang yang diucapkan terhadap atau mengenai dirinya, perkataan yang baik mahupun cela-celaan.
 Oleh kerana roh itu bermacam-macam keadaannya yakni ada yang dari roh orang mukmin, iman yang sempurna atau yang tidak sempurna ada dari roh orang kafir atau orang munafiq, maka malaikat yang membawanya juga bermacam-macam jenisnya,misalnya malaikat Rahman, malaikat Zabaniyyah dengan bentuk dan rupanya yang sangat ngeri dan lain-lain yang sesuai dan setimpal dengan amal perbuatannya ketika hidupnya. Juga cara membawanya umpamanya di dalam suatu bekas emas yang dilapis dengan kain sutera yang semerbak dengan bau kasturi atau sebaliknya di bawa di dalam suatu tempat yang penuh dengan azab seksaan dan sebagainya.
 Kemudian bilamana kuburnya telah siap ditutup dan ditimbus kembali dengan tanah maka kuburnya itu akan menyambutnya dengan kata-kata yang berpadanan dengan tingkat kedudukan roh tadi, menyambut dengan penuh kegirangan, penuh dengan ucapan yang berirama yang cukup menyenangkan atau ia menyambut dengan segala keganasan dan kekejaman dan menambahkan lagi kesedihan di atas dirinya.

c. Hendaklah dikuburkan dekat orang-orang yang soleh
Oleh ulama-ulama disukai dan disunatkan agar mayat itu dikuburkan dekat kuburan orang-orang yang soleh dan ahli-ahli kebajikan iaitu mendapatkan barakah, rahmat dan ketenangan bertetangga dengan mereka itu seperti halnya juga ketika berjiran dan berdekatan dengan orang baik-baik di dalam pergaulan seharian.

d. Himpitan-himpitan kubur
Dalam hadith-hadith yang telah lalu, dapatlah kita ketahui bagaimana himpitan kubur itu terhadap seseorang dan bahawa seseorang itu tidak akan dapat terlepas daripada himpitannya. Akan tetapi menurut beberapa ulama bahawa himpitan kubur terhadap orang-orang yang soleh dapatlah diertikan sebagai pelukan atau rangkulan dari seorang ibu terhadap anak yang dimanjakannya. Tetapi bagi orang-orang yang tidak sempurna imannya atau orang fasiq, fajir atau orang-orang kafir maka himpitan kubur itulah suatu seksaan pertama yang dihadapinya. Semoga Allah Taala melindungi kita dari seksaan kubur.

2. Masa :
Seperti masa seseorang ketika ia masih hidup dalam dunia maka masanya seseorang itu di dalam alam barzakh ialah sejak manusia atau jin itu dimasukkan ke dalam lubang kubur hingga hari mereka dibangkitkan kelak.

3. Keadaan :
Keadaan-keadaan di dalam alam barzakh itu senang atau susah yakni suka dukanya akan kita ceritakan sambil lalu.

*Fitnah kubur*

 Setelah mengalami segala apa yang telah kita ceritakan di atas ia akan mengalami fitnah kubur pula. Rohnya akan dikembalikan tetapi bukan seperti sediakala hanya dikembalikan kepada salah satu anggotanya. Maka bangunlah ia seolah-olah baru bangun dari tidur, melihat ke kiri dan ke kanan dalam suatu ruangan yang sempit, gelap-gelita maka merataplah ia seolah-olah mengaduh, alangkah gelapnya, alangkah sempitnya. Dalam pada itu ia mendengar panggilan dari seorang malaikat yang bernama Ruman yang tugasnya berkeliling mendatangi segala kubur :
 Ya Abdullah katanya tulislah amal dan perbuatanmu. Saya tidak punya tinta dan kertas jawabnya, katanya lagi kafanmu itulah kertasmu, tintanya ialah air liurmu dan kalamnya ialah jarimu.
Lalu dikoyaklah sepotong dari kain kafannya dan orang itupun teruslah menulis semua kebajikan dan kejahatan yang telah dilakukannya seolah-olah seperti satu hari. Kemudian malaikat itu melipatkannya dan mengantungkannya pada lehernya.

*Bagaimanakah keadaan munkar dan nakir*

 Setelah kejadian di atas selesai maka dengan tiba-tiba datanglah dua malaikat yang melakukan fitnah kubur yang biasa disebut Munkar dan Nakir. Sifat- sifat dan rupa kedua kedua malaikat itu ialah bahawa keduanya hitam legam membelah bumi dengan taring-taringnya, mempunyai bulu-bulu yang panjang mengheret bila ia berjalan, suaranya bagaikan halilintar membelah bumi, matanya bak kilat menyambar dan nafasnya seperti angin puyuh melanda apa-apa yang melintang di hadapannya. Masing-masing membawa sebuah pemukul dari besi yang beratnya tidak akan terangkat oleh kumpulan jin dan manusia yang kalau dipukulkannya suatu gunung umpamanya akan menjadi datarlah gunung itu. Maka apabila sesuatu jiwa terlihat kepada keduanya nescaya lari lintang-pukang demikianlah perumpamaannya.

*Lanjutan fitnah kubur*

 Menurut hadith tersebut selanjutnya maka jiwa yang telah ketakutan kerana melihat dan menyaksikan kengeriaan bentuk Mungkar dan Nakir di atas, ia lari dan masuk ke dalam lubang hidung mayat dengan demikian lalu ia hidup dari dadanya ke atas seperti keadaannya ketika dalam keadaan sakaratulmaut, tidak boleh bergerak dan tidak boleh berbuat apa-apa kecuali hanya dapat melihat dan mendengar sahaja. Lalu berlakulah apa yang dikatakan fitnah kubur itu.

*Hanya binatang sahaja yang dapat mendengar seksa kubur*

 Sebahagian dari ahli ma'rifat menerangkan bahawa seksa kubur itu hanya dapat didengar oleh benda-benda yang bersifat dapat menahan rahsia seperti binatang-binatang. Golongan jin dan manusia tidak akan dapat menahan rahsia maka kepada mereka itu hal-hal yang berhubungan dengan seksa kubur dirahsiakan kerana suatu hikmah Ilahiyyah, antara lain ialah kerana sangat takutnya ketika mendengar seksa kubur sehingga tidak akan tenteram hidupnya. Tambahan lagi bahawa kita manusia ini bersifat lemah. Berapa banyak kita mendengar orang mati ketakutan atau mendadak kerana mendengar bunyi petir dan halilintar padahal kedahsyatan bunyi dan hal-hal tersebut jauh daripada jeritan suara malaikat Zabaniyyah yang sedang mengeluarkan seluruh kemurkaannya. Sabda Rasulullah S.A.W. :
Sekiranya salah seorang kamu dapat mendengar bunyi pukulan malaikat kepada seseorang mayat dengan beberapa pemukul-pemukul dari besi nescaya ia akan mati seketika itu juga.

*Mayat dapat mendengar apa yang diucapkan orang terhadap dirinya*

 Riwayat Al-Baihaqi bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
Apabila seseorang melalui perkuburan yang dikenalnya lalu ia memberi salam kepadanya maka ia menjawab salamnya dan kenal kepadanya dan bilamana ia melalui perkuburan yang tidak dikenalinya dan memberi salam juga ia menjawab salamnya itu. *Apakah roh/arwah itu dapat bergaul satu sama lain??*

 Hadith Ibnu Abi Dunia dari Abu Laibah katanya : Sewaktu Bisyr bin Bara' bin Mar'ur meninggal dunia, ibunya sangat berasa sedih sekali lalu ia berkata kepada Rasulullah S.A.W. : "Ya Rasulullah sesungguhnya sering orang-orang dari Bani Salamah meninggal dunia, apakah orang mati itu dapat berkenal-kenalan sehingga saya ingin mengirim salam kepada Bisyr". Maka bersabda Rasulullah S.A.W. : " Benar, demi Tuhanku yang menguasai diriku sesungguhnya mereka itu dapat berkenal-kenalan bagaikan burung-burung dapat berkenalan satu sama lain di atas pohon-pohon kayu".

*Si mayat mengetahui keadaan orang-orang hidup*

 Riwayat Abu Daud At-Thayalish dari Jabir bin Abdillah beliau berkata Rasulullah S.A.W. bersabda :
Sesungguhnya amalan-amalan kamu itu akan dilaporkan kepada keluarga kamu yang sedang di alam kubur. Jika amalan kamu itu baik, mereka bergembira dengannya. Tetapi bilamana selain daripada itu mereka berkata : " Wahai Tuhan kami ilhamkanlah kepada mereka agar mereka beramal melakukan perbuatan taat".


Rujukan :
Al-Hidayah Publications
Perjalanan roh manusia melalui 4 alam karya Muhammad Baihaqi

Ilmu penyuluh hidup, Amal bekalan perjalanan, Akhlak hiasan jiwa & peribadi menuju destinasi, Akhirat yang sudah pasti.

Penutup

 Perjalanan yang akan kita tempuhi ini sangat jauh sedangkan kita hingga kini masih berada di sini, masih belum lagi memulakan perjalanan itu namun telah mengetahui serba sedikit tentangnya. Baiklah kita mulai sekarang menyediakan dan membuat bekalan sebanyak yang mungkin sebab kita masih belum terlambat dan masih mempunyai kesempatan.
 Bukankah kita saat ini telah diberikan nikmat hidup, nikmat sifat, dan nikmat-nikmat yang tidak terhingga maka syukurilah nikmat-nikmat itu. Laksanalah perintahNya dan jauhilah laranganNya. Andaikata kita merasa berdosa oleh kerana telah melanggar perintahNya, bukankah Allah itu Maha Pemurah lagi Maha pengampun? Kita masih lagi ada kesempatan yang cukup. Lakukanlah taubat kerana pintu taubat masih terbuka luas.
 Oleh kerana ini harapan saya agar kita dapat menerima dan sekiranya ada kesilapan dari segi penghuraiannya diharap ustaz dapat member kritikan dan teguran yang membina.

 Ilmu penyuluh hidup, Amal bekalan perjalanan, Akhlak hiasan jiwa & peribadi menuju destinasi, Akhirat yang sudah pasti.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com