Asma' al husna


Oleh: Siti Radhiah Binti Shuib

Asmaul Husna Adalah Nama - Nama Allah Selain Daripada Allah. Allah Menyebutkan Di Dalam Al-Quran Bahawa Terdapat Banyak Nama Allah. Rasulullah S.A.W. Telah Menyebutkan Dalam Hadis-Hadis Baginda Tentang Nama-Nama Allah Dan Jumlahnya.

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah S.A.W. , maksudnya:

“ Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, yakni seratus kurang satu. Barangsiapa yang menghafalkannya akan masuk syurga. Dan ia gasal (ganjil) menyukai yang gasal. ” (Hadis Riwayat Bukhari dan Musim)

Sesungguhnya setiap nama-nama Allah yang terdiri daripada 99 nama ini jika difahami dan dihayati berupaya meningkatkan keyakinan, merangsang kecerdasan, melonjakkan keimanan, mencipta keajaiban dan melahirkan keindahan dalam hati manusia. Ramai yang tidak menyedari mengenai kehebatan Asmaul Husna yang sering kita nasyidkan. Kita juga tidak menyedari Asmaul Husna itu mempunyai kuasa untuk membuka pintu keajaiban dalam kehidupan kita.

 Manusia juga makhluk yang bertanggungjawab dan dicipta dengan sifat-sifat ketuhanan (Asmaul Husna) atau Rabbani. Sifat-sifat Rabbani ini ialah apabila individu berjaya mengasimilasikan sifat-sifat Allah S.W.T. Oleh yang demikian, Asmaul Husna yang menjadi milik mutlak Allah yang Maha Agung, dan dalam masa yang sama, menerusi Asmaul Husna juga, Pemilik yang Maha Agung ini ingin menyingkap akan keagunganNya kepada makhlukNya dan ingin mengajar makhlukNya untuk mengikut asmaNya yang merupakan kaedah yang terbaik dalam mencapai tahap ahsani taqwim atau penciptaan yang terbaik. Maka, lahirlah modal insan melalui kefahaman Asmaul Husna.

Menyingkap rahsia serta makna yang tersirat daripada nama-nama Allah dan memahaminya berupaya melahirkan insan muslim yang teguh imannya terhadap Allah. Melalui pemahaman Asmaul Husna, individu muslim itu mampu membentuk dirinya menjadi modal insan yang mampu menjadi contoh kepada individu lain dan seterusnya membentuk masyarakat yang cemerlang dalam akhlaknya.

Berikut membincangkan tentang kefahaman nama-nama Allah dalam membina modal insan yang cemerlang. Antara nama-nama Allah yang diketengahkan untuk menyerlahkan maksud-maksudnya dalam membina modal insan ialah ar-Rahman dan ar-Rahim, al-Muhaimin, al-Wahhab, al-Basith, al-Halim, as-Syakur, al-Karim, al-Qayyum, al-‘Afuww, ar-Ra’uf, an-Nafi’ dan as-Sobur.

AL-RAHMAN DAN AL-RAHIM

Ar-Rahman bermaksud Yang Maha Pengasih dan Ar-Rahim pula membawa maksud Yang Maha Penyayang. Kedua-dua nama Allah ini saling bersangkutan, malah asalnya juga adalah dari perkataan Ra, Ha dan Min yang bermaksud rahmat. Maka, jelaslah disini bahawa Allah itu amat kasih dan sayangkan makhluk ciptaanNya walaupun makhlukNya tidak mengingatiNya.

Melalui pemahaman maksud ar-Rahman dan ar-Rahim ini individu itu mampu membentuk dirinya menjadi modal insan yang bukan sahaja menyayangi malah mengasihani sesama manusia. Ar-Rahman dan Ar-Rahim adalah pengubat bagi jiwa yang gersang dan tandus daripada perasaan kasih kepada manusia dan makhluk lain. Dengan menghayati nama-nama Allah ini, manusia itu mampu membuang perasaan benci dalam menyayangi malah membantu orang yang memerlukan atas dasar kasih dan sayang.

Melalui Ar-Rahman dan ar-Rahim, seseorang itu boleh menjadikan dirinya seorang yang pemurah, yang sentiasa memberi kerana dia kasih dan sayangkan sesama manusia. Ketahuilah, dengan mengasihani yang lain mampu melahirkan jiwa yang tenang dan bahagia. Akhirnya, terbentuklah nilai-nilai modal insan yang cemerlang.

AL-MUHAIMIN

Nama Allah yang bermaksud Yang Maha Pemelihara atau Maha Pelindung ialah makna darripada al-Muhaimin. Allah sentiasa memelihara dan melindungi makhlukNya dengan mengizinkan kita untuk hidup damai dan aman bersamaNya. Allah tetap akan memelihara makhlukNya walaupun makhlukNya tidak mengingatiNya malah telah menderhakaiNya sepanjang kehidupan di bumi.

Al-Muhaimin itu boleh diterapkan dalam diri manusia dengan menjadi pemelihara dan pelindung sesama manusia. Apa yang dimaksudkan di sini ialah seseorang yang mengamalkan sifat al-Muhaimin akan mengubah dirinya menjadi pelindung kepada dirinya dan orang lain daripada melakukan sesuatu yang bercanggah dengan hukum Allah di dunia ini.

Bagi membangkitkan potensi al-Muhaimin dalam diri manusia, mereka perlu menerapkan sifat ini dalam diri mereka ketika mengucapkan atau melakukan sesuatu agar mereka tidak melanggar syariah Allah. Maka, modal insan yang cemerlang dan masyarakat yang selamat dapat dibina melalui pemahaman dan penghayatan nama Allah ini iaitu al-Muhaimin di dalam kehidupan.

AL-WAHHAB

Yang Maha Pemberi, merupakan makna kepada nama Allah iaitu al-Wahhab. Ia diambil daripada kata dasar wahaba yakni memberi dan memberikan sesuatu tanpa balasan. Melalui al-Wahhab, Allah sentiasa memberikan manusia rahmat dan kurniaNya tanpa mengharapkan balasan. Namun, manusia sering alpa dan lalai apabila menerima rahmat dariNya.

Al-Wahhab mampu mambangkitkan semangat sentiasa memberi kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran. Hal yang dimaksudkan adalah semangat membahagiakan, menggembirakan dan mengurangkan derita orang lain dengan seikhlas hati melalui pemberian kita sesama manusia.

Selain itu, melalui al-Wahhab ini seseorang individu itu berupaya menumpulkan sifat-sifat mazmumah seperti ego, angkuh, tamak dan iri hati dengan kurniaan Allah kepadanya. Justeru, lahirlah insan yang bukan sahaja bersyukur dengan nikmat dari Allah, malah berupaya berkongsi dan memberi nikmat itu kepada sesama manusia.

AL-BASITH

Yang Maha Melapangkan, itulah makna kepada nama Allah iaitu al-Basith. Sesungguhnya al-Basith itu melapangkan, memudahkan dan melancarkan kurniaan kepada makhlukNya. Dengan ini, hanya Allah yang mempunyai hak yang mutlak bagi melapangkan dan memperluaskan rezeki seseorang. Namun, setiap orang tidak menerima kurnia yang sama kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatNya. Mereka yang menjadikan al-Basith sebagai teladan adalah orang yang yakin pada diri, mempunyai harga diri dan berdikari. Ini kerana, dia akan berasa malu untuk meminta-minta kepada orang lain sedangkan dia berupaya untuk melakukannya. Maka, dia akan berdikari dan berusaha untuk melapangkan pintu rezekinya sendiri.

Setiap nikmat dan kurnia dari Allah dalam pelbagai aspek pasti akan dikongsi dan diberi kepada orang lain jika dia menerapkan dalam dirinya akan sifat al-Basith. Ia adalah kerana dia yakin apabila dia melapangkan orang lain, Allah akan melapangkan untuknya pula. Justeru, sifat al-Basith boleh membentuk insan yang berusaha melapangkan orang lain dalam pelbagai aspek kehidupan dan seterusnya membentuk masyarakat yang penyayang dan pengasih.

AL-HALIM

Al-Halim yang merupakan salah satu nama Allah bererti Yang Maha Penyantun, Lemah Lembut. Ia juga membawa maksud yang tidak mensegerakan hukuman ke atas hambaNya dan mengampuni orang-orang yang berbuat dosa.

Dari Abu Hurairah, sabda Rasulullah S.A.W. mafhumnya:

“Allah sentiasa memberi peluang kepada hamba-hambanya bagi memohon ampun sekalipun berulang-ulang kali melakukan dosa. ” (HR Bukhari dan Muslim)
 Berdasarkan hadis itu jelaslah betapa besarnya sifat penyantun Allah yakni al-Halim. Sifat al-Halim ini perlu ditanam dalam diri muslim dalam pergaulan kehidupan sehari-hari. Sifat penyantun ini mampu membentuk sikap tidak meremehkan orang lain. Selain itu, sikap sabar dan tidak mudah melenting apabila dihina oleh orang lain dan membalasnya dengan perkataan yang lemah lembut mampu ditingkatkan dalam seseorang individu itu dengan memahami maksud di sebalik nama Allah iaitu al-Halim.

 AS-SYAKUR
 As-Syakur adalah nama Allah yang ke-36 bererti Yang Maha Menerima Syukur. Perkataan Syakur itu juga membawa maksud Maha Pembalas Budi, yakni Allah membalas dengan kurniaan yang besar bagi amalan baik yang sedikit. Betapa Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikan hambaNya dengan menerima syukur daripada hambaNya dan membalasnya dengan sesuatu yang tidak dapat dijangka.
 Semangat as-Syakur dalam hidup sehari-hari adalah menghargai walau sekecil manapun usaha yang dilakukan seseorang. Melalui al-Syakur, sikap menghormati, menghargai dan memberi dapat diterapkan dalam diri malahan akhlak-akhlak buruk seperti sombong dan iri hati dapat dikikis. As-Syakur itu dapat membentuk sikap mensyukuri nikmat, membalas kebaikan itu dan berkongsi nikmat itu sesama manusia.
 Selalu mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah dapat mengelakkan seseorang itu daripada melupakan Penciptanya. Ini kerana, manusia sering lalai apabila menerima nikmat dari Allah, namun apabila ditimpa musibah barulah manusia itu mula mencari Penciptanya kembali. Sikap ini perlu dibuang dari dalam diri seseorang yang mengakui dirinya adalah muslim dan menghayati makna as-Syakur itu dalam membentuk diri menjadi insan yang cemerlang akhlaknya melalui pemahaman as-Syakur.
 AL-KARIM
 Nama Allah yang ke-43 iaitu Yang Maha Mulia ialah maksud kepada al-Karim. Al-Karim juga bererti Allah Maha Pemurah yang memberi tanpa perlu diminta dan Dia tidak meminta. Pemberiannya mencakupi kebaikan dan keburukan yang mulia dan hina. Dengan memperkenalkan diriNya sebagai al-Karim, Allah menunjukkan Dia gembira memberi anugerahNya kepada hamba-hambaNya. Malah kepada makhluk yang menderhakaiNya juga turut Dia memberi, bahkan sebelum mereka meminta.
 Seseorang yang menjadikan al-Karim sebagai inspirasinya perlu yakin dengan sifat dermawan Allah dan menujukan segala permintaan hanya kepadaNya. Apabila individu itu memahami al-Karim dengan jelas, dengan izin Allah dia akan menjadi seseorang yang kuat dan yakin terhadap takdir Allah kepadanya dan berusaha berdikari dalam hidup.
 Merasakan dan menghayati dengan bersungguh-sungguh sifat Karim Allah, seseorang itu tidak akan menjadi manusia yang egois. Tanamkan dalam diri sendiri semangat bersedia untuk saling memberi dan berkongsi nikmat yang diperolehi daripada Allah dengan orang lain. Maka, sikap memberi tanpa perlu diminta apatah lagi jika diminta oleh orang yang lebih memerlukan seharusnya dapat dibentuk melalui semangat al-Karim ini.
 AL-QAYYUM
 Al-Qayyum bererti Allah Yang Maha Berdiri Sendiri yang merupakan salah satu daripada nama-nama Allah yang indah. Melalui nama ini, sesungguhnya Allah telah menegaskan bahawa Dialah yang mengatur segala sesuatu yang menjadi keperluan makhlukNya secara sempurna dan terus-menerus tanpa bantuan. Allah tidak memerlukan pertolongan dari mana-mana makhlukNya untuk melakukan sesuatu kerana Dia adalah al-Qayyum yang Maha Berdiri Sendiri.
 Al-Qayyum mengajak kita untuk tidak merasa susah hati dan mudah menyerah apabila ditimpa musibah sebaliknya mampu untuk berdiri sendiri dan menghadapi musibah itu. Semangat al-Qayyum menjadikan seseorang itu tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan ketika berhadapan dengan ujian yang telah ditakdirkan ke atasnya. Malahan, seseorang itu akan tegar kerana dia yakin akan pertolongan Allah. Oleh itu, semangat ini berupaya membentuk insan yang sentiasa berdikari yakni tidak meminta sesama makhluk tetapi hanya meminta kepada Allah sahaja.
 Dengan pemahaman dan penghayatan al-Qayyum yang benar, individu itu mampu menggali kekuatan tersembunyi yang dititipkan Allah buat dirinya dalam menjalani kehidupan yang sentiasa dihiasi dengan iman. Selain itu, seseorang itu berupaya untuk membentuk pemikiran positifnya terhadap setiap suatu ujian ke atasnya di mana dia tidak akan menganggap ujian itu sebagai beban tetapi sebagai tanda kasih Allah kepada hambaNya. Maka, akan lahirlah insan yang mampu berdiri sendiri dalam menghadapi ujian dan membentuk dirinya menjadi insan yang cemerlang.
 AL-‘AFUWW
 Yang Maha Pemaaf, itulah maksud kepada nama Allah iaitu al-‘Afuww. Akar kata ‘Afuww bererti melebur dosa dan menghilangkannya sama sekali. Ini kerana, Allah itu suka memaafkan dan menghapuskan dosa para hambaNya. Allah tidak menghukum orang yang melakukan maksiat kepadaNya dengan segera sebaliknya Allah memberikan kurniaNya kepada mereka.
 Dosa yang dilakukan manusia kepada Allah boleh dihapuskan dengan bertaubat, namun dosa sesama manusia hanya manusia yang boleh menghapuskannya. Oleh itu, individu muslim itu sangat dituntut untuk mengamalkan sifat al-‘Afuww dalam kehidupan seharian. Ini kerana, manusia itu tidak terlepas dari melakukan kesilapan, maka memaafkan kesilapan mereka sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak bukan sahaja membantu mengikis sifat dendam malah meringankan dosa mereka kelak.
 Sesungguhnya, melalui penghayatan al-‘Afuww iaitu memaafkan ini dapat membentuk modal insan yang sentiasa memaafkan dan terhindar dari sifat dendam dan dengki sesama manusia. Akhirnya, masyarakat yang aman dan tenteram dari sifat-sifat mazmumah dapat dibentuk melalui sifat al-’Afuww.
 AL-RA’UF
 Al-Ra’uf ialah nama Allah yang bermaksud Yang Maha Pelimpah Kasih. Allah itu sangat belas kasihan dan tidak membebankan makhluk-makhlukNya dalam apa jua aspek. Dia memberikan nikmat kepada hambaNya secara sempurna yang tidak dapat dihitung. Dia melimpahkan kasihNya dengan memudahkan jalan kehidupan hambaNya ketika di dunia ini.
 Seseorang yang membiasakan dirinya dengan sifat ar-Ra’uf, dengan izin Allah dia akan memiliki hati yang yang penuh dengan kemurahan dan prihatin terhadap orang lain. Selain itu, dia akan mendapat jalan bagi menolong orang yang memerlukan pertolongan dengan sifat ar-Ra’uf ini. Justeru, sifat ar-Ra’uf sangat penting dalam membina modal insan yang sayang dan kasih kepada orang lain serta tidak lokek untuk melimpahkan kasihnya sesama manusia dalam pelbagai aspek di dalam kehidupan ini.
 AN-NAFI’
 An-Nafi’ bermaksud Allah Yang Maha Pemberi Manfaat atas segala sesuatu. Allah mengurniakan manusia kurniaan tertinggi iaitu akal, hati nurani dan iman di mana kurniaanNya ini diakui sangat memberi manfaat kepada manusia itu sendiri. Yang Maha Pemberi Manfaat telah mencipta alam ini dengan setiap suatu ciptaanNya memiliki manfaatnya yang tersendiri.
 Sesungguhnya an-Nafi’ yang bererti memberi manfaat perlu diterapkan nilainya dalam diri setiap individu muslim yang mahu menjadi muslim cemerlang. Ini kerana, mereka yang ingin memanifestasikan an-Nafi’ dalam diri mereka perlu berani dan tampil ke hadapan bagi memimpin nasib manusia menuju kebahagiaan.
 Sifat an-Nafi’ ini perlu diamalkan setiap hari dalam kehidupan manusia. Mengamalkan semangat an-Nafi’ ini bukan hanya diaplikasikan dalam perbuatan sahaja tetapi juga dalam percakapan yang mana ia memberi manfaat bukan kepada mereka sahaja malahan kepada orang lain. Oleh itu, individu muslim dapat mencorak kehidupannya agar sentiasa melakukan sesuatu yang memberi manfaat sesama manusia dengan menghayati sifat an-Nafi’ ini.
 AS-SOBUR
 Nama Allah iaitu as-Sobur membawa erti Yang Maha Penyabar. As-Sobur adalah nama Allah yang terakhir. Dengan memperkenalkan diriNya yang terakhir sebagai as-Sobur, Allah ingin menegaskan bahawa Dia tidak segera menjatuhkan hukuman dan tidak melaksanakan hukuman itu sebelum tiba masanya. Allah sentiasa melakukan sesuatu pada waktu yang tepat dan dengan cara yang sepatutnya.
 Seseorang yang mengamalkan sifat as-Sobur ini dalam menjalani kehidupannya mampu menolak hal-hal yang diinginkan hawa nafsunya dalam hal yang bertentangan dengan akal dan agama. Ini kerana, tidak ada kejayaan yang dapat dicapai dengan mudah dan tanpa penderitaan. Dengan semangat as-Sobur ini, setiap ujian yang ditentukan Allah kepada seseorang mampu dihadapi dengan baik dan tenang. Sesungguhnya, Allah telah menjanjikan pahala yang tidak ada batasnya bagi orang yang sabar dalam menghadapi godaan hawa nafsu mereka.
 As-Sobur itu bukan hanya diakui dengan mulut supaya sabar menghadapi ujian dan musibah dari Allah, tetapi kesabaran itu perlu datang dari hati dengan penuh ikhlas dan redha. Selain itu, as-Sobur berupaya melahirkan sikap berprasangka baik terhadap Allah di atas ujian yang diberikan. Oleh itu, modal insan cemerlang boleh dibentuk melalui kefahaman nama Allah ini iaitu as-Sobur.

Allah telah menciptakan Asmaul Husna iaitu nama-nama Allah yang terdiri daripada 99 nama. Setiap insan mampu membentuk dirinya menjadi modal insan yang cemerlang dalam setiap aspek jika mereka berupaya memahami Asmaul Husna dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.
 Justeru, bermohonlah kepada Allah dengan menyeru nama-namaNya yang indah itu. Dengan izin Allah, Dia akan melapangkan dan memudahkan hambaNya yang berusaha mengingatiNya walaupun hanya dengan memahami Asmaul Husna kerana Dialah Yang Maha Melapangkan.
 Sesungguhnya, setiap satu Asmaul Husna yang terdiri daripada 99 nama ini mempunyai makna yang tersirat. Hanya insan yang berusaha untuk memahami dan menghayati maksud tersirat di sebalik 99 Asmaul Husna serta mengamalkannya dalam menjalani kehidupan sehari-hari yang penuh mencabar yang akan berjaya membina nilai-nilai modal insan cemerlang di dalam dirinya.
 Kesimpulannya, seharusnya seorang individu muslim itu menjadikan Asmaul Husna sebagai sumber motivasinya dalam usaha membentuk dirinya ke arah yang lebih baik dan diredhai Allah. Oleh itu, pembinaan modal insan melalui kefahaman 99 Asmaul Husna pasti dapat direalisasikan.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com