Panduan Umrah dan Ziarah

OLEH : NIK YASMIN BINTI NIK NUBLI

Pendahuluan
Muhammad bin Abdullah atau Nabi Muhammad yang dimaksudkan dalam buku ini adalah nabi utusan Allah. Bagi orang Islam, apabila bertemu dengan perkataan itu, digalakkan berselawat untuknya.

Dalam al-Quran, surah al-Ahzab ayat 56, Allah menyatakan yang bermaksud, “Seseungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”

An-Nasai dan Ibnu Hibban melaporkan. Nabi Muhammad berpesan, “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”

Bacalah selawat, “Allahumma solli ‘alla saidina Muhammad wa ‘alla aali saidina Muhammad.” Maksudnya, “Ya Allah, kurniakanlah kepujian ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga Nabi Muhammad.”

BAB 1: UMRAH

Pengertian Umrah

Umrah dari sudut bahasa bermaksud mengimarah. Imarah adalah menziarahi Kaabah dengan melakukan tawaf dan sa’i.

 Umrah ialah ibadah mengunjungi Kaabah dalam keadaan ihram (memakai pakaian ihram dan berniat umrah), dengan melakukan ibadah tawaf, sa’i dan bercukur.


Pensyariatan Umrah

Menurut sarjana agama, umrah disyariatkan pada tahun keenam hijrah. Allah menerangkan,

“Sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah”

Hukum Umrah

Nabi Muhammad menjelaskan, “Haji adalah wajib dab umrah adalah sunat”. Walau bagaimanapun, Majoriti ulama mengatakan umarah adalah wajib. Mereka merujuk kepada hadis lainberkenaan seorang sahabat bernama Abi Ruzian al-Aqili. Beliau bertanya kepada Nabi Muahmmad, “Bapa aku sudah tua, adkah dia wajib mengerjakan haji dan umrah?” Nabi Muhammad menjawabm “Lakukan haji dan umrah untuk bapa kamu.”

Jawapan Nabi Muhammad menunjukkan umrah hukumnya wajib seperti haji. Oleh sbeba itu, Nabi Muhammad menyuruh Abi Ruzain melakukan umrah untuk bapanya yang sudah tua. Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad menjelaskan:

“Haji dan umrah kedu-duannya adalah wajib. Tidak mengapa kamu kerjakan yang mana dahulu.”

Dalil ini menjelaskan mengenai hukum haji dan umrah. Kedua-duanya adalah wajib.

Perbezaan antara haji dan umrah

Rukun Umrah

Rukun adalah perkara asas bagi ibadah umrah. Tidak melakukannya atau melakukannya dengan cara yang salah, umrah tidak sah dan perlu diulang semula. Rukun umrah ialah memakai ihram dan berniat, tawaf, sa’i, tahalul dan tertib.

1.    Mamakai ihram dan berniat.

Selepas memakai ihram, orang yang mahu mengerjakan umrah mesti berniat bagi melakukan ibadah itu. Contohnya, “Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah.” Niat dilakukan di Miqat, iaitu di tempat atau sempadan yang ditetapkan. Sekiranya terlupa ataupun teringat untuk berniat selepas keluar daripada sempadan Miqat, umrahnya sah tetapi wajib membayar dam. Niat perempuan yang datang haid ataupun nifas sah, Cuma mereka tidak boleh melakukan twaf sehingga suci dan mandi wajib.

2.    Tawaf.

Tawaf ialah berjalan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali disertai syarat-syaratnya. Sekiranya satu daripada syarat-syarat tawaf tidak dilakukan,tawaf tidak sah. Syarat pertama ialah suci daripada hadas kecil dan hadas besar iaitu sentiasa berada dalam keadaan berwuduk. Syarat kedua ilah suci daripada segala najis, sama ada pada badan, pakaian, ataupun tempat tawaf itu. Syarat yang ketiga ilaha menutup aurat seperti dalam solat. Syarat keempat ialah memulakan tawaf pada sudut hajarulaswad. Syarat yang kelima ialah semasa melakukan tawaf, bahu kiri perlu sentiasa berada di sebelah Kaabah. Syarat yang keenam ilaha tawaf perlu dilakukan di dlam masjid dengan niat ibadat. Syarat yang terakhir ialah tidak menyentuh mana-mana bahagian Kaabah walaupun hanya bingkainya (Shazarwan) dan juga tidak menyentuh tembok Hijir Ismail.

3.    Sa’i

Sa’i ialah berjalan kaki antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Satu pusingan dari Safa ke Marwah dikira sekali dan berpatah balik dari Marwah ke Safa dikira kali kedua. Peraturan-peraturan mengerjakan sa’i ialah dilakukan selepas tawaf (mengikut tertib). Peraturan yang kedua ialah dimulakan dari Safa ke Marwah kemudian berpatah balik dari Marwah ke Safa. Peraturan yang ketiga ialah tujuh kali dengan sempurna. Peraturan yang keempat ialah sa’i dilakukan kerana ibadat, bukan disebabkan perkara lain. Peraturan yang terakhir ialah sa’i perlu dilakukan di tempat sa’i yang dopanggil Batnu al-Wadi.

4.    Tahalul

Tahalul ialah memotong rambut sekurang-kurangnya tiga helai ataupun mencukur keseluruhan kepala. Ia mesti dilakukan selepas sa’i. Sekiranya bercukur sebelum sa’i, dikenakan dam kerana melanggar pantang larang ihram. Sekiranya tidak bercukur, ibadat umrah tidak sempurna dan dianggap masih dalam ihram. Sebab itu bercukur dikatakan tahalul, yang bermaksud menghalalkan apa yang dilarang sebelum itu.

5.    Tertib.

Tertib ialah melakukan semua rukun umrah mengikut urutan, bermula dengan niat, ihram, tawaf, sa’i, dan bercukur. Tidak sah umrah sekiranya sa’i dilakukan sebelum tawaf. Satu perkara lagi yang patut diambil perhatian ialah kesemua rukun umrah tidak boleh diwakilkan kepada orang lain. Orang yang sakit boleh mengupah orang lain membawa mereka bagi menunaikan tawaf dan sa’i.

Wajib Umrah

Wajib umrah ialah amalan yang wajib dilakukan selepas berniat (berihram) bagi mengerjakan umrah. Meninggalkan perkara wajib ini tidak membatalkan umrah, sebaliknya ia menjadikan umrah tidak sempurna dan wajib membayar dam. Sekiranya ditinggalkan dengan sengaja, ia adalah berdosa. Wajib umrah ada dua iaitu niat di miqat dan menjaga pantang larang.

•    Niat Ihram di Miqat

Miqat ialah tempat-tempat atau sempadan-sempadan yang ditetapkan sebagai tempat bagi berniat umrah (selepas memakai ihram_. Miqat terbahagi kepada dua, iaitu miqat zamani yang bermaksud masa untuk berniat dan miqat makani yang bermaksud tempat-tempat berniat bagi umrah.
•    Menjaga Pantang Larang

Larangan pertama ialah menutup kepala. Jemaah lelaki dilarang menutup kepala walau. sebahagiannya sahaja. Larangan yang kedua ialah memakai pakaian bersarung ataupun berjahit. Jemaah lelaki juga tidak boleh memakai pakaian yang berjahit atau bercantum seperti seluar, kain pelikat, baju dan sebagainya. Larangan yang ketiga ialah menutup muka. Tidak menutup muka bagi jemaah wanita. Larangan yang keempat ialah memakai sarung tangan. Larangan yang kelima ialah memakai bau-bauan. Larangan yang keenama ialah memakai minyak rambut. Larangan yang ketujuh ialah memotong bulu pada badan. Larangan yang kelapan ialah menebang pokok. Larangan yang kesembilan ialah memotong kuku. Larangan yang kesepuluh ialah memburu binatang. Larangan yang kesebelas ialah bersetubuh. Larangan yang keduabelas ialah bercumbu dengan syahwat. Larangan yang terakhir ialah nikah ataupun menikahkan orang lain.

Dam

Dam ialah denda yang dikenakan ke atas jemaah yang melanggar pantang larang ihram. Melanggar pantang larang umrah tidak membatalkan umrah, namun ia menjadikan ibadat umrah tidak sempurna. Oleh itu, kita dikehendaki membayar dam.
    Cara menyelesaikan urusan ini berbincanglah dengan mutawif ataupun pegawai yang mengurus jemaag di Makkah. Insya-Allah, mereka akan menguruskan semuanya dengan sempurna. Dam bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan. Lain kesalahan, lain pula jenis dam yang dikenakan.


Sunat Umrah

Kita digalakkan supaya melakukan perkara-perkara sunat sebelum berniat ihram. Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan ialah memotong atau mengerat kuku, mengendam misai, memakai ihram berwarna putih, mandi sunat ihram, sembahyang sunat ihram, mengucap talbiah selepas niat ihram, berdoa semasa melakukan ibadat umrah seperti doa semasa tawaf, as’i dan lain-lain.


Perjalanan Umrah

Bagi melanacarkan urusan ibadah di tanah suci, persiapan perlu dibuat sebelum berangkat. Barang yang perlu ada untuk jemaah lelaki ialah dua pasang kain ihram, satu utas tali pinggang, satu pasang selipar atau capal, buku panduan umrah ataupun buku doa dan tasbih dan gunting kecil untuk tahalul. Manakala barang yang perlu ada untuk jemaah wanita ialah dua pasang telekung, dua pasang stoking (tebal dan tidak nampak warna kulit), sepasang kasut ringan (selain daripada kasut yang dipakai) dan sehelai tuala muka ataupun sapu tangan.

•    Langkah-langkah musafir ke tanah suci

Perjalanan ini ialah perjalanan yang suci kerana ia adalah perjalanan menyahut seruan Allah. Antara langkah-langkah yang boleh diamalkan adalah semasa keluar dari rumah, berhenti sekejap di luar pintu rumah dengan menghadap ke hadapan dan membaca doa. Kemudian menyebut, “Dengan nama Allah, aku berserah kepada-Mu ya Allah, tiada daya dan upaya aku (bagi melakukan kebajikan) dan tiada daya upaya aku (bagi menolak kejahatan) melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar (kerajaan-Nya).” Kemudian berjalan menuju ke kenderaan dan baca doa apabila berada dalam kenderaan. Jemaah umrah elok mengalunkan azan pada masa ini kemudian membaca doa.

•    Langkah-langkah menunaikan ibadat umrah

Islam mengajar kita supaya membersihkan diri sebelum mengerjakan ibadat. Oleh itu, sebelum memakai ihram dan berniat umrah, lakukan perkara-perkara sunat yang dianjurkan seperti memotong kuku, mandi sunat ihram, mamakai minyak rambut ataupun bau-bauan, mamakai ain ihram berwarna putih, sembahyang sunat ihram, berdoa ataupun berzikir dan bersedekah.

•    Tatacara berihram di Tanah Suci

Pertama ialah mandi sunat ihram terlebih dahulu dan berwuduk ataupun berwuduk tanpa mandi. Niatnya, “Aku mandi sunat ihram kerana Allah”. Kedua ialah memakai kain ihram. Ketiga ialah bertolak ke Bir Ali ataupun Zulhulaifah. Apabila sampai di Bir Ali, jemaah digalakkan masuk ke dalam masjid dengan tenang dan beradab. Di dalam masjid, sunat melakukan solat sunat tahiyatmasjid dua rakaat, solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa dan niat umrah. Selesai sahaja niat, terus mengucap talbiah beberapa kali.

BAB 2: ZIARAH

Ziarah Di Makkah

Sewaktu berada di Makkah, ambil kesempatan yang ada bagi menziarahi tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah dalam perkembangan Islam.

Makkah adalah tempat bersejarah untuk umat Isalam. Oleh itu, semasa kita berasa di Tanah Haram Makah,ambillah kesempatan ini bagi menziarahi tempat-tempat yang bersejarah di sini. Dengan menziarahi tempat-tempat ini, kita dapat menghayati Islam dengan lebih baik.

Makkah mempunyai lebih daripada 30 nama. Antara nama-nama yang terkenal ialah Makkah, Bakkah, al-Baladul Amin, al-Haramul Amin, Ummul-Qura, dan al-Baldah al-Tayyibah.


Sejarah Makkah

Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri iaitu Sarah dan Hajar. Sarah melahirkan Nabi Ishak manakala Hajar melahirkan Nabi Ismail. Nabi Ibrahim dengan perintah Allah membawa Hajar dan anaknya Ismail yang baru lahir ke Makkah dan meninggalkan mereka berdua berdekatan dengan tapak Kaabah. Dia meninggalkan mereka dengan sedikit buah-buahan dan air. Pada masa itu, tidak ada manusia yang tinggal di situ. Tumbuh-tumbuhan juga tiada. Allah menerangkan, “Wahai Tuhan kami, aku menempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanam-tanaman atasnya, di sisi rumah-Mu (Baitullah) yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, mereka ditempatkan di sini supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu, jadikan hati sebahagian daripada manusia supaya tertarik dan gemar kepada mereka, dan mereka datang beramai-ramai. Kurnikan rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman. Semoga mereka bersyukur.” Selepas beberapa hari tinggal bersama anak dan isteri beliau di Makkah,Nabi Ibrahim pulang semula ke Palestin. Beliau meninggalkan anak dan isteri di situ. Selepas beberapa hari, buah-buahan dan air yang ditinggalkan habis. Hajar mencari-cari air bagi dibuat minuman di sekeliling kawasan itu. Disebabkan cuaca yang panas, Hajar sangka terdapat air di bukit Safa. Beliau berlari ke sana bagi mendapatkan air. Apablia beliau sampai di sana, rupa-rupanyadi situ tiada air. Kemudian, beliau melihat seperti terdapat air di bukit Marwah. Beliau pun terus berlari ke sana. Namun beliau mendapati di sana juga tiada air. Beliau berlari-lari antara dua bukit itu.

Kemudian, malaikat datang dan menepuk sayapnya di hujung kaki Ismail yang sedang terlentang di atas tanah. Mata air keluar untuk mereka berdua. Hajar segera ke tempat itu dan mengepung air dengan batu-batu supaya ia tidak mengalir ke tempat lain. Air ini dikenali sebagai air zamzam yang kekal sehingga ke hari ini.
Oleh kerana terdapat sumber air di ditu, rombongan perniagaan yang melalui jalan itu singgah bagi mengambil air. Tak lama kemudian, datang rombongan dari Yaman meminta izin bermukim di situ. Apabila Ismail dewasa, dia dikahwinkan dengan perempuan daripada kaum Jurhum dari Yaman.

Nabi Ibrahim sering datang ke Makkah menziarahi anak dan isteri beliau. Apabila Ismail meningkat remaja, Nabi Ibrahim membina Kaabah di atas tapak yang ada di situ sebagai tempat beribadat. Selepas membina Kaabah, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia ke Kaabah bagi beribadat. Lalu Nabi Ibrahim pun menyeru seperti yang disebut oleh Ibnu ‘Athir dalam buku karangan beliau, “Wahai manusia, Allah telah memfardukan ke atas kamu mengerjakan haji di Baitul-‘Atiq.”

Bermula dari masa itu, manusia mula datang mengunjungi Baitullah dan beribadat di situ. Nabi Ismail adalah pengurus Kaabah. Selepas kematian beliau, cucu-cicit beliau mengambil alih tugas menjaga Kaabah. Pada zaman Qusa’i bin Kilab, pengurusan Kaabah dan haji dilakukan oleh anak cucu Nabi Ismail.

Selain daripada Kaabah, terdapat banyak lagi tempat-tempat yang bersejarah yang patut kita ziarahi. Antaranya adalah Gua Hira, tempat turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad dan Gua Thur tempat Nabi Muhammad dan Abu Bakar as-Siddiq singgah dan bersembunyi dalam peristiwa hijrah.

Ziarah Di Madinah

Madinah adalah kota suci untuk umat Islam. Di sini Nabi Muhammad menegakkan sebuah negara Islam yang ulung dan agung. Dari sini terpancarnya agama Islam dan negara Islama ke merata dunia. Pada zaman Nabi, Islam sampai ke negara-negara Arab di sekeliling Madinah. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Islam sampai ke Mesir, Syria, Iraq dan sebahagian Parsi. Pada zaman pemerintahan Usman bin Affan, Islam sampai ke Andalus, Afrika Utara, Parsi, hingga ke Azerbaijan.

Ini semua bermula dengan penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah dan penubuhan negara Islam Madinah. Atas sebab itu, Yatrib digelar al-Madinah al-Munawwarah (kota yang bersinar atau bercahaya). Selain itu, ia juga dikenali dengan nama Madinatur-Rasul (kota atau bandar Rasulullah). Disebabkan kehebatan ini, kita dianjurkan supaya menziarahinya.


Keistimewaan Madinah Berbanding Kota Yang Lain

Ada dua perkara menarik di kota Madinah. Pertama, Masjid Nabawi. Kedua, makam Rasulullah. Dua perkara ini menjadikan Madinah sebagai tumpuan orang Islam daripada seluruh dunia. Ini adalah antara sebab kita menziarahi kota Madinah.

1.    Masjid Nabawi

Terdapat sebuah masjid yang terkenal dalam sejarah Islam iaitu Masjid Nabawi. Masjid ini dinamakan sebagai Masjid Nabawi kerana Nabi Muhammad sendiri yang menganjurkan supaya membeli tanah berkenaan pada hari pertama Nabi Muhammad sampai di tapak itu. Seterusnya, beliau mengarahkan supaya membina masjid di situ sebagai tempat ibadat, tempat orang berkumpul bagi bermesyuarat, dan lain-lain aktiviti masyarakat. Peristiwa ini (hijrah dan mendirikan masjid) berlaku pada tahun 622 Masihi. Masjid ini merupakan pusat pentadbiran Nabi Muhammad. Dewan Syura, dan Mahkamah Agung Islam. Keluasan masjid pada masa itu hanya 1060 meter persegi sahaja. Pada tahun 2006, luasnya melebihi 400 ribu meter persegi. Pada tahun 2011, luasnya melebihi daripada itu. Disebabkan keistimewaan ini, kita perlu menziarahi masjid ini.

2.    Makam Rasulullah

Dalam kawasan Masjid Nabawi terdapat makan (kubur) Nabi Muhammad dan dua sahabat baginda, iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Oleh itu, apabila kita sampai di Madinah, kita haruslah menziarahi makam beliau dan dua sahabat yang ada di situ.


Adab Menziarahi Masjid Nabawi

Masjid Nabawi adalah masjid yang mulia. Ia didirikan atas perintah Rasulullah sendiri. Di situ terdapat makam Rasulullah. Oleh itu, eloklah kita menziarahi dengan tertib dan mebgikut adab-adab yang baik. Antaranya ialah memakai pakaian yang bersih dan cantik, lelaki disunatkan memakai bau-bauan, masuk masjid dengan kakin kanan dan mengucap salam kepada ahli masjid walaupun dengan suara yang perlahan, membaca doa, solat sunat Tahiyat Masjid dua rakaat. Sebaik-baiknya terus masuk ke Raudhah dan solat sunat di situ. Oleh kerana keadaan yang terlalu ramai dan bersesak-sesak, bolehlah solat sunat di mana-mana sahaja, niat iktikaf, teruskan beribadat seperti berzikir, membaca al-Quran, dan solat sunat. Ziarah Raudhah dan solat di Raudhah serta ziarah Rasulullah dan mengucapkan salam kepada beliau.


Sebab kita dianjurkan menziarahi Rasulullah dan mengucapkan salam kepada beliau

Mengucap salam bermaksud mengucap selamat dan mendoakan supaya Rasulullah diberikan tempat yang istimewa dalam syurga, al-Maqam al-Mahmud iaitu tempat yang terpuji, kerana beliau adalah rasul Allah yang berjuang melepaskan manusia daripada belenggu kekafiran dan kemusyrikan. Beliau berdakwah menyeru kepada Islam dan mantauhidkan Allah yang Esa.

    Sejarah menunjukkan kaum Melayu yang tinggal di Nusantara kebanyakan beragama Hindu dan Budhha. Dengan izin Allah datuk nenek kita menerima Islam dan kita dilahirkan dalam agama Islam.Atas sebab lain,kita sepatutnya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Rasulullah dan para sahabat kerana menyebarkan Islam sehingga ke Nusantara.

    Justeru, kita menziarahi orang yang mempunyai jasa yang besar kepada dunia dan orang Islam khususnya, Nabi Muhammad, para sahabat, serta tabiin.

Menziarahi sahabat Nabi Muhammad

Di samping menziarahi Nabi Muhammad, kita juga digalakkan menziarahi dua orang sahabat karib beliau, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Mereka dikebumikan bersebelahan makam Nabi Muhammad. Cara menghormati mereka adalah dengan menzirahi dan mengucapkan salam serta berdoa. Selain daripada itu, kita juga digalakkan menziarahi para sahabat yang dikebumikan di perkuburan Baqi’ dan juga Uhud.


Ziarah Widak

Satu daripada adab menziarahi Madinah adalah melakukan ziarah widak. Ziarah widak adalah perbuatan menziarahi Nabi Muhammad sebelum meninggalkan Madinah. Ziarah ini dilakukan sama ada jemaah hendak berangkat pulang ke Malaysia selepas selesai mengerjakan umrah ataupun hendak berangkat menuju ke Makkah bagi menunaikan ibadat umrah. Amalan ini adalah sunat. Masa bagi melakukannya mengikut keupayaan dan masa yang kita ada.

    Orang yang uzur, orang yang tidak mampu masuk ke masjid, ataupun tidak sempat masuk ke masjid bagi mengucapkan salam terakhir kepada Nabi Muhammad dan para sahabat, boleh melakukannya dari luar masjid dalam daerah berdekatan dengan makan Rasulullah. Kebiasaanya, ia dilakukan di hadapan mihrab masjid. Baca doa dan salam yang ada dalam buku.


Penutup

Umrah adalah ibadah yang disebut dalam al-Quran bersama ibadah haji. Dengan mengerjakan umrah, kita bukan sahaja melakukan ibadah, bahkan melalui satu perjalanan rohani menjadi tetamu Allah. Panduan yang lengkap diperlukan untuk orang yang mahu mengerjakan umrah dan ziarah. Kita harus memahami maksud umrah, perbezaan haji dan umrah. Rukun umrah, wajib umrah, sunat umrah, ziarah di Makkah, ziarah di Madinah dan doa-doa ketika umrah dan ziarah.

    Dengan memahami segala perkara, kita dapat menunaikan ibadat umrah serta ziarah dengan betul di Tanah Suci (al-Haramain). Harapan agar Allah mengurniakan umrah yang yang diterima. Harapan agar Allah merestui ziarah kita serta memberi ganjaran sewajarnya. Amin.



************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com