Jagalah Allah S.W.T Nescaya Dia Akan Menjagamu

Oleh: Puteri Najiha Zazali

Daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu Anhuma berkata, “suatu ketika aku berada di belakang Rasulullah s.a.w. lalu kemudian baginda berkata kepada diriku, “wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengerjakan beberapa kalimat, jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, Jagalah Allah, maka engkau akan mendapatkan-Nya di hadapanmu, jika kamu hendak meminta (sesuatu) maka mintalah kepada Allah, jika kamu ingin meminta pertolongan, maka mintalah kepada Allah, ketahuilah bahawa sejumlah umat jika berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan memberikan suatu manfaat kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu dan jika mereka berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan melakukannya, kecuali sesuatu (mudarat) yang telah ditetapkan Allah untukmu, pena telah terangkat dan kertas (pun) telah mengering.”

Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih. Dalam riwayat lain dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, Jagalah Allah nescaya engkau mendapatkan-Nya di hadapanmu, kenalilah Allah di dalam kelapangan, maka Dia akan mengenalmu di dalam kesempitan, ketahuilah apa yang tersalahkan olehmu, bukanlah suatu musibah bagimu tetapi hanyalah untuk mengujimu adakah kamu benar-benar kuat atau tidak. Ketahuilah bahawa ketenangan dan kesabaran akan membolehkanmu mengecapi nikmat di kemudian hari. Kalimah-kalimah ini hampir sama dengan Al-Quran, iaitu kalimah-kalimah yang mengumpulkan hasil-hasil keimanan dan mempunyai ayat yang meliputi semua kemuliaan Allah s.w.t.
Sesungguhnya, ini merupakan kalimah yang mudah untuk diingat dan senang untuk menghafalnya. Juga jelas menunjukkan bahawa bagi seorang yang berakal, tidak memerlukan penakwilan dan penjelasan yang panjang lebar kerana kalimah ini secara jelas menunjukkan lafaz-lafaznya di dalam gaya bahasa yang baik. Di dalam memahaminya, seorang mukmin pasti akan mendapat kemanisan hati yang tidak didapati di dalam selainnya. Kalimah ini menunjukkan tentang menjadikan orang mukmin yang melakukan pesanan wasiat Rasulullah s.a.w.termasuk menjadi orang-orang yang kelak akan meminum air syurga Salsabila. Pesanan Rasulullah s.a.w yang ditanya oleh Ibnu Abbas ini akan memberikan seorang mukmin kemenangan yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
Hadis ini dapat mententeramkan hati mereka yang berada dalam keadaan yang tidak baik.Ia dapat memberi ketenangan dan kedamaian dalam hati dan sanubari mereka yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia mempunyai kata-kata yang cukup indah yang dapat menimbulkan perasaan tenang kepada mereka yang berada dalam kegelisahan. Hadis ini turut mengandungi kalimah-kalimah yang bermakna zahir nan lembut, turut tidak terkecuali kalimah-kalimah yang berasal daripada tujuan agama dan duniawi. Dialah Rasulullah yang sangat menyayangi dan mengasihi semua umat-umatnya, menjaga mereka dengan begitu baik tanpa ada sebarang kekurangan.Baginda mencurahkan segala-galanya kepada umatnya supaya mereka tidak berasa terpinggir dan takut untuk melangkah kehadapan dan mengubah nasib hidup mereka.
 Seolah-olah saya melihat kepada Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma ketika beliau menyampaikan nasihat ini dan saya mengikutnya dengan perasaan gembira dan tidak berasa tertekan sama sekali. Juga seolah-olah saya menyaksikan tajalli Illahi yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w saat memantulkan cahayanya kepada sahabat mulia ini melalui kalimah yang harum ini. Ibnu Abbas sentiasa mengikuti Rasulullah s.a.w pada saat beliau mempunyai masa lapang sehingga diberi gelaran pengikut/pengawal kepada Rasulullah s.a.w (saat mudanya), Ibnu Abbas Radhiallahu anhu adalah seorang yang cerdas dan juga berhati baik, semoga Allah s.w.t memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepadanya yang telah banyak mengajarkan manusia sebagaimana Allah s.w.t mengajarkan kepadanya. Ibnu Abbas memiliki kisah perjalanan hidup yang sangat manis dan juga posisinya yang tajam di setiap pertempuran. Beliau adalah sebaik-baik orang yang suka menafsirkan Kitab Allah dan juga beliau adalah termasuk orang yang banyak meriwayatkan hadis baginda Rasulullah s.a.w.
 Kalimah yang pertama dalam hadis ini adalah, “Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu.” Kalimah pertama ini menjadi asas yang kukuh kepada kalimah kalimah yang seterusnya di dalam hadis ini.Makna daripada kalimah ini adalah, Jagalah hak-hak Allah s.w.t kepadamu di dalam ibadat dan hanyalah sekali-kali Dia melihatmu sedang lalai daripada menyebut dan bersyukur kepadaNya. Jagalah agamanya dengan menjaga amanahmu, jani, solat, puasa, dan semua kewajipan yang lain yang telah diwajibkan kepadamu untuk melaksanakannya. Berbuat adillah ketika menjalankan aktivitimu dan janganlah kamu masukkan kehidupan dunia di dalam sisi agamamu, ikutilah jalan orang-orang mukmin agar dijadikan contoh di dalam bidang ketakwaan dan keimanan kepada Allah s.w.t.
Pesanan wasiat ini adalah wasiat yang sangat lengkap dan mencakupi seluruh aspek di dalamnya. Pembahasan dan penelitian kita terhadap pesanan wasiat nabawi ini bukanlah hanya pembahasan bahasa, akan tetapi adalah pembahasan mengenai apa-apa yang tersirat di dalamnya berupa larangan-larangan, perintah-perintah, nasihat pelajaran yang tersirat didalamnya. Kita semua mengetahui bahawa balasan sesuatu perbuatan adalah yang sama. Rasulullah s.a.w bersabda, “Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu.” Iaitu Allah s.w.t akan menjaga orang-orang di dalam urusan agama dan maslahat duniawi. Dalam urusan agama, seorang hamba akan memulakan perjalanannya kepada Allah s.w.t dengan taubat nasuha dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadat dan segala perbuatan serta perkara yang telah diperintahkan oleh-Nya untuk dilaksanakan tanpa sedikit pun keraguan terhadap Allah s.w.t.
 Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“(Dan ingatlah akan) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada Jahannam, “Apakah kamu sudah penuh?” Dia menjawab, “Masih adakah tambahan?” dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (daripada mereka).Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya).(Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat, masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan.”
(Qaaf 31-34)
Al-hafiz seperti yang dinyatakan oleh para mufassir adalah orang yang menjaga dengan baik segala apa yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga supaya tidak berlaku sebarang kecelaan. Al-Hafiz juga ditafsirkan sebagai perintah Allah s.w.t dan seseorang yang menjaga dirinya dengan menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t dan jika dia melakukan suatu kesalahan, dia akan segera bertaubat dengan meminta keampunan daripada Allah s.w.t dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Sebagaimana Allah s.w.t menjaga agamanya, Allah s.w.t juga menjaga urusan dunia, contohnya penjagaan pada badan, anak, keluarga, harta dan seluruh keturunannya. Allah s.w.t telah menjadikan seseorang yang merupakan orang yang dapat membantu orang lain yang dalam kesusahan seperti anak yatim disebabkan oleh orang mereka akan termasuk dalam golongan orang yang soleh dan solehah.
 Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
 “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka dengan mengatakan, “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepadamu.” Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan di dunia dan diakhirat, di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) daripada Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “
 (fussilat: 30-32)

 Sesungguhnya, orang yang menyatakan dengan lidah, mengaku dengan hati mereka, “Tuhan kami adalah Allah” dan kemudian mereka beristiqamah dan tidak lalai daripada mengerjakan segala yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka maka malaikat akan turun ketika ajal mereka telah tiba dan menyampaikan berita gembira kepada mereka bahawa Allah s.w.t adalah pelindung mereka di dunia dan di akhirat, pelindung mereka untuk keluaraga dan seluruh keturunan mereka, serta malaikat menenangkan mereka ketika mereka bersedih untuk meninggalkan keluraga dan keturunan mereka dengan menyatakan jangan gentar menghadapi kiamat dan segala permintaan mereka akan dikurniakan oleh Allah s.w.t Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Seorang hamba juga hendaklah memohon kepada Allah s.w.t untuk sentiasa menjaga dan memberikan perhatian kepadanya dengan sentiasa menambah ketakwaan dan keimanan terhadap Allah s.w.t.
 Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada di dalam kebenaran.”
 (Al-Baqarah:186)
 Ar-Rusydu (iaitu kebaikan pada agama dan juga dunia) adalah syarat mendapatkan jawapan daripada doa dan juga keimanan. Jika seseorang berdoa kepada Tuhannya maka dia akan menjadi ahlu ijabah, sebagaimana yang akan kita jelaskan pada kesempatan yang lain. Raasulullah s.a.w di dalam berdoa sentiasa meminta kebaikan-kebaikan bagi semua umatnya.
 Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya danjuga Abu Daud., Nasa’I daripada hadis Ibnu Umar Radhiallahu anhuma berkata, “Tidaklah Rasulullah s.a.w meninggalkan doa-doa saat pagi dan petang kecuali berdoa; “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kenikmatan di dunia dan juga di akhirat, Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepadamu maaf dan kenikmatan di dalam agama dan juga duniaku serta pada keluarga dari keturunanku, Ya Allah tutupkanlah auratku dan jagalah aku daripada yang ada di kiri dan kananku, atasku dan bawahku. Sabda Rasulullah s.a.w, “Jagalah Allah, maka engkau akan mendapatkan-Nya di hadapanmu.”
 Maksud kedua-dua riwayat ini ialah bahawa barangsiapa yang menjaga Allah s.w.t di dalam agamanya, maka dirinya akan mendapatkan Allah dengan keluasan kemuliaan-Nya dan juga kebesaran rahmat dan keampunan dari-Nya. Taubat adalah daripada Allah s.w.t dan juga kepada-Nya, sebagaiman yang dijumpai di dalam firman Allah s.w.t yang membawa maksud:
“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari daripada (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja.Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap di dalam taubat-Nya.Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
 (At-Taubah: 118)
 Tidak ada keraguan lagi, bahawa seorang hamba jiak menjaga agama Allah s.w.t kerana mengharapkan balasan pahala dan syurga, Allah s.w.t tidak akan membiarkan orang –orang yang demikian ini, berbeza halnya dengan orang-orang yang mengingkari menyebut-Nya dan mendustai ayat-ayat-Nya, maka amal perbuatan mereka ini akan ditolak dan dilaknat oleh Allah s.w.t dan menjadi seperti pasir-pasir yang berterbangan, atau juga seperti fatamorgana yang tidak dapat dilihat. Jika selesai melakukan sesuatu, maka mereka tidak akan mendapatkan sesuatu dam mendapati Allah s.w.t tidak berada dengan mereka dan kelak mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka dan dibalas dengan sedasyat-dasyatnya atas semua perbuatan dosa mereka dahulu.
 Allah s.w.t telah memberikan perumpaan bagi orang-orang yang beiman dan bertakwa kepada-Nya dengan suatu perumpaan yang telah diabadikan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud:
“Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.Perumpaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tertimbus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
 (An-Nur: 35)
 Allah s.w.t juga menyebutkan sifat-sifat mereka dan membatasi bentuk mereka pada ayat setelahnya, Allah s.w.t berfirman di dalam surah yang sama bermaksud:
 “Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan solat dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut suatu hari nanti yang (di hari itu) hati dan penglihatan mereka menjadi goncang. (Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan dan supaya Allah menambahkan kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.”
(An-Nur: 36-38)
Mereka ini adalah orang-orang yang menjaga Allah s.w.t dan juga dijaga oleh Allah s.w.t. Mereka juga diberi ketenangan hati dan kelapangan fikiran mereka sebagaimana mereka harapkan.
Seseorang tidak boleh berkata, “Semua rezeki telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita, maka kita tidak perlu lagi berdoa kerana ianya tidak membawa makna apa-apa kepada kita. Apakah doa boelh mengubah ketentuan tersebut? Jawapannya ialah doa adalah ibadat kepada Allah s.w.t, bahkan ianya merupakan otak ibadat sebagaiman yang telah dinyatakan di dalam suatu hadis. Dengan doa, seorang hamba akan mendapatkan kesempurnaan Tuhannya dan akan terlihat jelas bahawa Dia sama sekali tidak memerlukan sedikitpun daripada manusia. Terlihat pula dengan doa tersebut perasaan hamba akan keagungan penciptanya, kekayaan dan kesempurnaan-Nya daripada hamba-hamba-Nya. Maka sesekali seorang hamba janganlah menanyakan lagi meragukan manfaat doa, sebab doa adalah pangkal ibadat.
 Adapun mengenai takdir ataupun ketentuan, kita sama sekali tidak mengetahui apa yang akan terjadi bagi kita, oleh sebab itu kita harus sentiasa tetap melakukan amal dan tidak mengabaikannya. Diriwayatkan oleh Imran bin Husain Radhiallahu anhu, bahawa salah seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah telah diketahui para penghuni syurga dan neraka?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Ya,” sahabat tersebut bertanya lagi, “kalau begitu untuk apa amalan dilakukan?”Rasulullah s.a.w menjawab, “Segala-galanya akan dimudahkan berdasarkan kepada apa beliau dijadikan.”
Suatu perkara yang telah ditetapkan, untuk mendapatkannya tetap sahaja bergantung kepada doa. Kita tidak mengetahui boleh sahaja Allah s.w.t mewujudkan dengan doa apa yang tidak diwujudkan dengan selain doa. Allah s.w.t telah menciptakan sesuatu dengan bersebab dan kita tidak boleh untuk mengetahui segala sebab yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t kepada kita semua.
Sebagai kesimpulannya, inilah yang dapat saya kongsikan sedikit sebanyak mengenai hadis yang secara eksplisit mengumpulkan semua dasar-dasar akidah dan syariah. Sebenarnya saya berkeinginan untuk menambah dan memperluaskan lagi hujah saya mengenai tajuk ini dan segala rahsia-rahsia yang terkandung di dalam tajuk ini, namun saya khuatir pembaca yang budiman malah akan bosan dengan penjelasan saya yang panjang ini. Maka saya mengumpulkan ini semua, semoga Allah s.w.t menjadikan penjelasan saya ini sebagai teladan dan peringatan kepada semua dan saya berharap ini akan menjadi amal buat saya kerana Dia-lah yang menunjukkan jalan yang lurus. Segala sesuatu yang baik hanya datang dari Allah s.w.t., yang buruk itu mungkin dari kesilapan saya sendiri.Saya meminta maaf setinggi-tingginya jika berlaku sebarang kesilapan yang tidak disengajakan sepanjang saya menulis mengenai tajuk ini.Sekian terima kasih.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com