Oleh : Muhammad Faris Zuhairi Bin Ilias
Abstrak
Hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T
untuk digunakan oleh ulil amri (pemimpin) untuk memerintah Negara dengan aman
serta medapat barakah daripada Allah. Hudud adalah hak Allah S.W.T yang bukan
sahaja tidak boleh ditukarganti atau diubahsuai meskipun dipinda malah tidak
boleh diampunkan oleh sesiapapun di dunia ini. Sesiapa yang tidak menjalankan
atau melanggar hukuman Allah ini adalah termasuk dalam kalangan orang-orang
yang zalim
Pendahuluan
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dengan
izinNya saya telah dapat menyiapkan kerja yang telah diberikan kepada saya oleh
Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin pada masa yang telah ditetapkan. Meskipun banyak
halangan dan rintangan semasa saya hendak menyempurnakan tugasan ini,
Alhamdulillah dengan pertolonganNya semua berjalan lancer. Esei ini ditulis
untuk memberi peringatan kepada orang Islam dan memuhasabahkan diri saya
sendiri agar sedar betapa pentingnya Hudud didalam kehidupan harian kita.
Selain daripada itu, esei itu dikarang supaya ramai individu dapat menggunakan
ruangan ini sebaiknya agar kita sama-sama mendapat keberkatan hidup di dunia
dan di akhirat kelak. InsyaAllah.
Pengertian
Perkataan Hudud berasal daripada kata jamak, mufradnya
Haddun : menurut bahasa ia bererti batas atau tegahan. Penjaga pintu dinamakan
haddad dan hukum ini dinamakan Hudud atas uqubah maksiat kerana ia biasanya
dapat mencegah pelaku maksiat mengulangi perbuatannya kerana dikenakan had. Dan
munurut istilah Syara’, hudud ialah uqubah (seksaan di dunia) yang telah
ditetapkan untuk menjaga hak Allah.
Sebagai rumusannya, Hudud dari segi bahasa bererti menahan
atau mencegah manakala dari segi istilah hudud ditakrifkan sebagai seksaan yang
telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang wajib dilaksanakan
sebagai mengikut perintah Allah Az-Zawajalla. Kadar hukumannya tidak boleh sama
sekali dipinda sama ada dikurang atau ditambah
Jenis-jenis Hudud
Kesalahan Hudud ialah kesalahan-kesalahan yang bersangkutan
dengan pelanggaran-pelanggaran terhadap hak-hak Allah. Kesalahan-kesalahan
tersebut ialah :
1. Riddah
Murtad – keluar daripada agama Islam.
2. Zina
Persetubuhan atau hubungan kelamin yang tidak sah antara
lelaki dan
wanita yang bukan mahram.
3. Qazaf
Menuduh seseorang itu berzina.
4. Pencurian (Sariqah)
Mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan
diambil daripada tempat pertaruhan (tempat yang layak untuk menyimpan harta
itu).
5. Perompakan (Muharabah)
Sekelompok bersenjata di dalam Daulah Islamiyah dan
melakukan kekacauan, penumpahan darah, merampas harta, merusak kehormatan,
merusak tanaman, ternakan, keharmonian agama, akhlaq, dan keamanan masyarakat,
baik dari kalangan muslim, ataupun kafir (zimmi atau harbi). Termasuk dalam
hirabah, adalah kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh sindiket, mafia, kongsi
gelap, dan lain-lain.
6. Liwat
Hubungan antara lelaki dengan lelaki atau lelaki dengan
perempuan yang melibatkan jalan belakang (dubur) atau hubungan homoseksual
iaitu hubungan sejenis tanpa melibatkan jalan belakang.
7. Pemberontakan (Baghyu)
Penentangan terhadap pemerintah yang adil.
8. Mabuk (Sakran)
Minum arak, khamar dan segala yang memabukkan dan
mengkhayalkan.
9. Sihir
Menggunakan Jin untuk kepentingan diri sendiri
Keterangan kepada jenis-jenis Hudud
RIDDAH
Perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang
mukallaf dinamakan riddah dan orang yang melakukannya dinamakan Murtad.
Riddah terjadi apabila salah satu sebab dari tiga sebab yang
berikut:
Rosaknya keyakinan hati, atau
Mengucapkan perkataan-perkataan kufur, atau
Melakukan perbuatan-perbuatan kufur.
Perbuatan Riddah dikira sah apabila seseorang tidak
memperakui Allah adalah Tuhannya, Rasulullah adalah utusan-Nya, tidak
mempercayai kewujudan Hari Kiamat, tidak mempercayai Qada’ dan Qadar, tidak
mempercayai kewujudan Malaikat, dan tidak memperakui kesahihan Al-Quran, di
mana ia melibatkan keguguran iman seseorang apabila melanggar Rukun Iman.
Penafian atau menentang perintah Allah seperti Solat lima waktu, mengerjakan
Haji, menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan cara
pemujaan atau sembahyang agama lain juga termasuk dalam perbuatan Riddah.
• Syarat-syarat
Riddah
Riddah dikira sah apabila mempunyai syarat-syarat yang
berikut:
Yang melakukan riddah adalah orang Islam. Tidak dikira
murtad orang yang beragama Yahudi memasuki agama Nasrani atau dan lain-lainnya.
Pelaku riddah adalah orang dewasa.
Yang melakukan riddah adalah berfikiran waras. Kanak-kanak
atau orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh kerana itu ia tidak
dikenakan hukuman had.
Tetapi kanak-kanak yang murtad wajib dikenakan hukuman
ta’zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.
• Uqubah keatas
orang murtad
Orang murtad adalah halal darahnya, dan wajiblah dikenakan
hukuman mati. Dalilnya ialah:
Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah
satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan
(muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang. ”
(Hadith Muttafaq ‘Alaih)
Cara membunuh orang murtad ialah dengan memenggal lehernya
dengan pedang, berdasarkan hadith berikut:
“Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy’ari di Yaman,
tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Mu’az berkata: Apa ini? Abu musa
menjawab: Seorang lelaki Yahudi memeluk Islam kemudian ia kembali menjadi
Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali ke dalam Islam semenjak dua bulan.
Kata Mu’az: Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya,
lalu orang itupun dipenggal lehernya. Berkatalah Mu’az: Allah dan Rasul-Nya
memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh
akan dia. ” (Diriwayatkan Ahmad)
• Taubat orang
murtad
Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh
bertaubat, jika ia bertaubat maka taubatnya diterima dan terlepaslah ia dari
hukuman mati.
Akan tetapi, jika ia tidak mahu bertaubat, maka ia dikenakan
hukuman mati itu. Para ulama’ tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh
taubat) terhadap orang murtad:
1) Sebahagian besar para fuqaha ( ahli feqah ) berpendapat
bahawa hukum menyuruh orang murtad bertaubat sebelum dibunuh adalah wajib.
Termasuk dalam golongan yang berpendapat demikian ialah mazhab Maliki, Hambali,
Asy-Syafi’e, Syi’ah Zaidiah, Ath-Thauri, dan Al-Auza’i.
2) Abu Hanifah dan pendapat lain dari yang di atas
berpendapat bahawa istitabah itu hanya sunat.
3) Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa
istitabah itu bukanlah kewajipan dan bukanlah satu larangan.
Mengenai tempoh taubat pula para ulama’ berselisih pendapat
pula. Ada yang mengatakan tiga hari, sebulan dan ada yang mengatakan lebih
daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak ada dalil yang sah yang
membataskan tempoh itu, semuanya bergantung pada ijtihad hakim.
• Kesan Riddah
Selain dari uqubah (hukuman mati terhadap golongan murtad)
sepertimana yang telah dinyatakan, maka riddah menimbulkan akibat-akibat hukum
yang berikut:
1. Hubungan perkahwinan menjadi putus.
Apabila salah seorang suami atau isteri murtad, maka
terputuslah perkahwinan antara kedua-duanya. Pemutusan perkahwinan kerana
riddah ini ikira sebagai Fasakh.
2. Kehilangan hak perwalian
Orang yang murtad tidak boleh menjadi wali kepada orang
Islam dalam apa bidang sekalipun.
3. Kehilangan hak pusaka
Orang murtad menurut hukum kedudukannya adalah lebih rendah
daripada kafir biasa, maka ia kehilangan hak untuk menerima pusaka dari
keluarganya.
4. Kehilangan hak persaksian
Orang yang hendak menjadi saksi mestilah orang Islam yang
adil. Orang Islam yang fasiq tidak diterima sebagai saksi. Orang kafir tidak
boleh menjadi saksi walaupun ia kafir Zimmi, kecuali dalam perkara wasiat orang
Islam yang hendak meninggal dunia dalam perjalanan apabila tidak ada orang
Islam.
5. Kehilangan hak dalam pimpinan dan jawatan
Jika seorang yang murtad itu telah menjadi pemimpin bagi
orang Islam, maka secara hukum telah kehilangan peranannya dan sudah tidak
berhak lagi untuk memimpin dan mengurus orang Islam.
ZINA
• Pengertian Zina
Zina ialah persetubuhan haram melalui alat kelamin lelaki
dan wanita di luar perkahwinan yang sah, sama ada pasangan itu melakukannya
secara suka sama suka, dengan bayaran ataupun tidak, sama ada perkosaan atau
tidak, sama ada ia dilakukan oleh seorang dewasa dan pasangannya tidak dewasa, sama
ada dilakukan oleh suami, isteri atau tidak, sama ada dilakukan oleh orang yang
pernah bersuami atau beristeri atau tidak. Semua hubungan seks di luar
perkahwinan yang sah, dinamakan zina.
• Hukum zina
Zina adalah satu perbuatan keji yang termasuk dalam kelompok
dosa-dosa besar.
Antara dalil-dalil daripada hadith berkaitan pengharaman
zina adalah:
Sabda Rasulullah:
“Tidak ada dosa sesudah syirik dengan Allah lebih besar dari
benih yang ditumpahkan oleh seorang lelaki dalam kemaluan perempuan yang tidak
halal baginya. ”
(Hadith riwayat Ibnu Abi Ad-Dunia (dhaif). )
“Barangsiapa yang berzina atau meminum khamar, Allah
mencabut iman daripadanya bagaikan orang mancabut baju dari kepalanya. ”
(Hadith riwayat Al-Hakim (dhaif). )
• Jenis-jenis Zina
Penzina Muhshan:
Yang dimaksudkan dengan penzina muhshan ialah lelaki atau
wanita yang telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, sama ada
keluar mani atau tidak, sama ada masih dalam ikatan perkahwinan ataupun telah
bercerai. Hukuman yang diancam ialah uqubah di dunia dan ‘iqab di akhirat. Di
dunia dikenakan hukuman mati iaitu direjam sampai mati.
• Syarat-syarat
perlaksanaan
1. Berakal waras
Orang gila tidak dikenakan hukuman rejam, hanya dikenakan
hukuman Ta’zir sahaja. Orang mabuk yang berzina tidak terlepas dari hukuman
rejam kerana ia mabuk atas kerelaannya sendiri dan ia tahu bahawa pemabukan
boleh membawa akibat yang berat, kecuali ia dipaksa untuk minum atau tersalah
minum lalu mabuk lalu melakukan zina, maka ia terlepas dari hukuman.
2. Orang dewasa
3. Orang merdeka
Hukuman terhadap hamba hanyalah separuh hukuman orang
merdeka.
4. Telah menikmati hubungan seks (bersetubuh) dalam
perkahwinan yang sah, walaupun tidak sampai keluar mani.
5. Zina itu dilakukan dengan sukarela. Orang yang dipaksa
berzina atau tersalah orang tidak dikenakan hukuman rejam.
Pendapat golongan Asy-Syafie, Maliki dan Hanbali.
Tidak dikenakan hukuman rejam apabila seorang lelaki berzina
dengan seorang wanita yang tidur di kamar rumahnya kerana menyangka ia adalah
isterinya kerana walaupun ia termasuk dalam kategori zina, tetapi ada mempunyai
ciri-ciri subhat, di mana subhat menggugurkan Hudud.
• Sabit kesalahan
zina
1. Pengakuan penzina sendiri.
Pengakuan adalah penghulu segala dalil dan menjadi bukti
atas kesalahan yang telah dilakukannya. Pengakuan penzina perlulah memenuhi
syarat-syarat yang berikut:
i) Berakal
ii) Pengakuan mestilah dibuat secara lisan
iii) Dewasa
iv) Dengan sukarela
v) Bilangan pengakuan
Menurut Asy-Syafie, Maliki, Al-Hasan, Daud, Hammad bin Abu
Sulaiman, Abu Thaur, dan Ath-Thabari berpendapat bahawa pengakuan cukup dengan
hanya sekali sahaja.
2. Persaksian oleh empat orang saksi
Kesalahan zina menjadi sabit apabila ia disaksikan oleh
persaksian yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:
Persaksian dibuat oleh empat orang saksi. Jika persaksian
kurang daripada empat orang, ia tidak diterima bahkan mereka dikenakan hukuman
lapan puluh kali rotan kerana menuduh tanpa saksi yang cukup.
Semua saksi hendaklah lelaki.
Semua saksi hendaklah beragama Islam
Semua saksi terdiri daripada orang dewasa
Semua saksi berfikiran waras
Tuduhan dengan menggunakan perkataan yang terus-terang,
bukan perkataan sindiran.
Melihat kesalahan zina itu dengan terus-terang, secara jelas
melihat kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan.
Persaksian keempat-empat hendaklah dibuat dalam satu majlis,
bukan di tempat yang berlainan dan masa yang berlainan.
3. Kerana si wanita mengandung
Menurut pendapat kebanyakan ulama’ wanita yang mengandung
tanpa suami, tanpa diketahui siapa bapanya, ia tidaklah dikenakan had
semata-mata, tetapi hendaklah dengan pangakuannya atau persaksian oleh empat
orang saksi, sebab kandungan itu mungkin kerana hubungan seks dalam perkahwinan
fasiq, mungkin kerana dipaksa, atau mungkin kerana hubungan seks yang dilakukan
ke atasnya tanpa kesedarannya semasa tidur atau sebab-sebab lain.
• Uqubah ke atas
penzina muhshan
Hukuman had atas penzina muhshan ialah direjam sampai mati.
Tidak ada perbezaan pendapat antara ulama’ mengenai hukuman ini.
• Cara perlaksanaan
hukuman rejam
Hukuman hendaklah dilakukan secara terbuka dan dipersaksikan
oleh sekumpulan orang Islam, baik mengenai hukuman rotan mahupun rejam.
Hukuman bagi wanita yang sedang mengandung hendaklah
ditangguhkan sampai ia bersalin dan selesai menyusukan anaknya dalam tempohnya,
jika tidak ada orang lain yang akan menyusukan anaknya.
Wanita yang direjam hendaklah direjam sambil duduk, manakala
lelaki hendaklah direjam sambil berdiri, begitulah menurut Jumhur ulama’
Pakaian orang yang dikenakan hukuman rejam hendaklah diikat
baik-baik supaya tidak terbuka auratnya ketika menggelepar kesakitan semasa
direjam.
Menggali lubang untuk orang yang direjam.
Penzina bukan
muhshan
Penzina bukan muhshan ialah lelaki atau wanita yang belum
pernah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun telah
melakukan hubungan seks itu di luar perkahwinan yang sah.
• Uqubah ke atas
penzina bukan muhshan
Hukuman yang wajib ke atas penzina bukan muhshan ialah:
Sebatan sebanyak seratus kali
Pembuangan negeri (Daerah) selama setahun
• Syarat-syarat
perlaksanaan hukuman
Syarat-syarat pelaksanaan had, syarat-syarat yang dikenakan
ke atas pesalah serupa dengan syarat-syarat yang dikenakan ke atas penzina
muhshan. Demikian pula mengenai sabitnya kesalahan, iaitu melalui pengakuan,
persaksian, dan kehamilan.
• Cara perlaksanaan
uqubah
Wanita yang hamil hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin
dan setelah tempoh penyusuannya tamat.
Penzina yang sedang sakit ditangguh sampai ia sembuh.
Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca yang
terlalu panas atau terlalu sejuk.
Pesalah dirotan sambil ia duduk.
Sebatan boleh dikenakan kepada seluruh anggota badan,
kecuali kepala, muka dan kemaluan. Demikian menurut pendapat Asy-Syafie, dan
Abu Hanifah.
Rotan yang digunakan adalah rotan yang sederhana besarnya,
tidak besar dan tidak pula kecil, dan jika pelepah tamar yang digunakan, maka
hendaklah menggunakan pelepah tamar yang separuh kering.
Jika hukuman itu dikenakan atas dasar pengakuan pesalah
sendiri, maka hukuman dihentikan atau digugurkan jika pesalah menarik balik
pengakuannya.
Pelaksanaan hukuman rotan hendaklah dipersaksikan oleh
segolongan orang-orang mukmin.
QAZAF
Qazaf bermaksud tuduhan zina. Tuduhan selain zina tidak
termasuk dalam Hudud, tetapi termasuk dalam Ta’zir. Tuduhan zina sangat besar
dosanya. Qazaf hendaklah dengan perkataan yang terang dan jelas iaitu dengan
menggunakan perkataan zina atau menafikan anak yang dilahirkan isterinya atau
yang sedang dikandung isterinya, atau menggunakan perkataan yang serupa dengan
zina dalam bahasa lain.
Menurut beberapa pendapat ulama’, tuduhan mestilah secara
terbuka, tuduhan secara tertutup tidak termasuk dalam qazaf. Namun dalam
Al-Quran dan As-Sunnah menyebut tentang qazaf secara umum, jadi qazaf secara
terbuka, tertutup, bertulis dan sebagainya dikira sebagai qazaf menurut
pandangan sebilangan besar Jumhur ulama’
• Syarat-syarat
perlaksanaan hukuman
Qazaf menjadi sabit apabila memenuhi syarat-syarat yang
berikut:
1. Orang yang menuduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Tuduhan dilakukan secara terang-terangan dan sengaja, bukan
dipaksa.
Tidak disyaratkan penuduh mesti orang Islam. Orang kafir
yang menuduh orang Islam akan dikenakan hukuman had juga.
2. Orang yang dituduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Kebanyakan dari pendapat ulama’ membataskan umur lelaki yang
dituduh ialah 10 tahun dan perempuan yang dituduh ialah 7 atau 9 tahun.
3. Orang Islam
4. Merdeka
Menuduh hamba tidak dikenakan had, demikian pendapat jumhur
ulama’, antaranya ialah Abu Hanifah, Asy-Syafie, Maliki, Al-Auzai’, Sufian
Ath-Thauri, dan lain-lain.
5. Orang yang dituduh tidak membuat zina sebelum dan sesudah
dituduh.
• Sabit kesalahan
qazaf
Kesalahan qazaf menjadi sabit melalui salah satu dari dua
cara:
Kerana pengakuan penuduh sendiri, dan ia gagal mendatangkan
empat orang saksi, atau
Kerana persaksian dua orang lelaki yang adil
• Uqubah keatas
kesalahan qazaf
Uqubah yang dikenakan ke atas penuduh ialah:
Lapan puluh pukulan rotan
Hilang hak persaksian kerana ia sudah tergolong dalan
golongan orang-orang fasiq. Haknya akan pulih apabila ia bertaubat dan beramal
soleh.
Pelaksanaan hukuman ini dilakukan oleh hakim atas tuntutan
yang tertuduh sendiri atau walinya.
• Gugurnya hukuman
Penuduh akan terlepas dari hukuman had apabila ia dapat
mengemukakan empat orang saksi seperti saksi-saksi dalam bab zina, ataupun
apabila tertuduh sendiri membuat pengakuan berzina yang dituduhkan ke atasnya.
Jika penuduh berjaya mengemukakan empat orang saksi, maka gugurlah hukuman had
ke atasnya, sebaliknya tertuduh dikenakan hukuman had penzina.
• Li’an
Kadang-kadang qazaf ini dilakukan oleh suami terhadap
isterinya padahal ia tidak mempunyai empat orang saksi dan si isteri tidak
mengaku bersalah.
Dalam hal ini, apabila suami menuduh isterinya berzina atau
menafikan anaknya dan ia tidak mempunyai empat orang saksi, maka ia dibebaskan
dari hukuman had qazaf, dan diberi kesempatan untuk bersumpah sebanyak empat
kali bahawa isterinya benar-benar berzina, dan pada kali kelima ia bersumpah:
Jika aku berbohong, maka aku akan mendapat laknat dari Allah.
Dan si isteri pula diberi hak untuk membela dirinya dengan
bersumpah empat kali bahawa suaminya berbohong dan untuk kali kelima ia
bersumpah: Jika suamiku benar dengan tuduhannya, maka aku akan mendapat
kemurkaan dari Allah S.W.T. . Inilah yang dinamakan Li’an.
PENCURIAN
• Pengertian
pencurian
Pencurian adalah mengambil barang kepunyaan orang lain
dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanannya yang wajar.
Ciri-ciri pencuri itu ialah:
1. Mengambil barang kepunyaan orang lain.
Pencurian yang tidak termasuk dalam jenis pencurian yang
dikenakan hukuman potong tangan ialah mengambil barang dari Baitulmal,
mengambil barang kepunyaan syarikat di mana ia menjadi ahli, suami mencuri
barang isteri dan sebaliknya, dan orang tua yang mencuri kepunyaan anaknya.
2. Secara senyap-senyap.
Mengambil barang orang lain secara terang-terangan
(merampas) tidak dinamakan pencurian yang dikenakan hukuman had.
3. Barang diambil dari tempat simpanan yang wajar.
Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah,
ambil haiwan di ladang walaupun dinamakan pencurian, tetapi tidak dikenakan
hukuman potong tangan.
4. Dengan sengaja.
Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, kerana
terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong
tangan.
“Umatku tidak dipertanggungjwabkan kerana tersalah, terlupa
dan orang-orang yang dipaksakan. ”
(Hadith riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Thabarani, dan
Al-Haakim)
• Syarat-syarat
pencurian
Pencurian yang berakibat hukum barulah wujud apabila
memenuhi syarat-syarat berikut:
Pencuri:
Mukallaf: dewasa dan berfikiran waras. Tidak ditetapkan
pencuri mesti beragama Islam. Orang bukan Islam yang mencuri juga dikenakan
hukuman potong tangan.
Perbuatan mencuri dilakukan dengan sengaja.
Pencuri tiada subhat (hubungan langsung) dengan
barang-barang yang dicuri. Seperti bapa mencuri barang anaknya, atau ahli
syarikat mencuri harta syarikat, mereka tidak dikenakan hukuman had.
Barang-barang yang dicuri:
Barang yang dicuri adalah halal dari segi hukum.
Barang-barang yang dicuri berada dalam tempat simpanannya
yang layak.
Barang-barang yang dicuri cukup nisabnya:
Menurut pendapat jumhur ulama’, nisab barang-barang yang
dicuri ialah bernilai ¼ dinar emas atau tiga dirham perak (9. 36 gram emas)
atau senilai ¼ dinar. Pendapat inilah yang paling kuat dari segi dalilnya.
“Aisyah r. a. berkata: Adalah Rasulullah S.A.W. memotong
tangan pencuri yang mencuri ¼ dinar ke atas. ”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)
“Umar r. a meriwayatkan: Bahawasanya Rasulullah S.A.W.
memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham. ”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith)
“Dalam riwayat lain Rasulullah S.A.W. bersabda: Janganlah
kamu potong tangan pencuri, kecuali pada ¼ dinar ke atas. ”
(Hadith riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasai, dan Ibn Majah)
• . Pencurian
berkumpulan
Apabila sekumpulan orang mencuri barang kepunyaan orang
lain, dan jika dibahagikan masing-masing cukup nisab, maka semua mereka
dipotong tangan. Akan tetapi jika barang yang dicuri itu cukup nisabnya, tetapi
setelah dibahagikan masing-masing tidak cukup nisabnya, dalam hal ini para
ulama’ berselisih pendapat.
Golongan Jumhur ulama’ berpendapat mereka dipotong tangan
kerana jumlah barang yang dicuri telah cukup nisabnya, bukan setelah
dibahagikan untuk ramai.
• Sabit kesalahan
mencuri
Kesalahan mencuri menjadi sabit melalui salah satu dari dua
perkara:
Pengakuan oleh pencuri sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi lelaki yang adil
• Uqubah keatas
pencuri
Hukuman potong tangan
Barangan curian hendaklah dikembalikan
Menggantungkan tangan yang dipotong di leher pencuri
• Gugurnya hukuman
potong tangan
Apabila pencuri menarik balik pengakuannya sebelum dikenakan
hukuman potong tangan, maka gugurlah hukuman potong tangan itu ke atasnya.
• Pencurian yang
tidak dikenakan had
Pencurian yang dikenakan hukuman Ta’zir:
Pencurian yang dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila
Pencurian yang tidak cukup nisab
Pencurian atas barang-barang kepunyaan bersama
Pencurian atas barang-barang yang tidak sah dimiliki
Pencurian yang dipaksakan atau kerana terlalu lapar
Pencurian yang dilakukan oleh orang tua terhadap harta milik
anaknya
PEROMPAKAN ( MUHARABAH)
• Pengertian
Muharabah atau Hirabah ialah sekumpulan bersenjata dalam
sesebuah negara Islam yang menimbulkan kekacauan, menumpahkan darah, merompak
harta benda, memperkosa kehormatan wanita, menculik, merosakkan tanaman,
ternakan dan sebagainya. Perompak ini mungkin dilakukan oleh orang Islam dan
mungkin dilakukan oleh orang kafir zimmi atau harbi.
• Syarat-syarat
muharabah
Muharabah mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
Yang melakukannya ialah orang mukallaf, lelaki atau
perempuan, Islam atau tidak.
Mempunyai kekuatan senjata yang dipergunakan untuk
perompakan walaupun tongkat ataupun batu.
Melakukannya secara terang-terangan.
Dan lain-lain syarat yang diperselisihkan ulama’.
• Uqubah terhadap
kesalahan hirabah
Allah S.W.T. menetapkan empat hukuman atas kesalahan
muharabah ini:
Hukuman mati, atau
Hukuman salib, atau
Potong tangan dan kaki secara bersilang, atau
Dibuang negeri
Segolongan ulama’ berpendapat hakim boleh memilih hukuman
berdasarkan betapa besarnya kesalahan atau jenis kesalahan yang telah dibuat
pesalah.
• Perlaksanaan
hukuman
Setelah adanya pengakuan daripada pesalah sendiri (hukuman
digugurkan apabila pesalah menarik balik pengakuan) atau dengan persaksian dua
orang saksi lelaki yang adil, maka hukuman dilakukan seperti berikut:
Kumpulan perompak yang membunuh sahaja dikenakan hukuman
mati. Hakim dan wali yang terbunuh tidak boleh memaafkan pesalah.
Kumpulan perompak yang membunuh dan merompak harta benda
dikenakan hukuman salib dan bunuh.
Kumpulan yang hanya merompak harta benda dikenakan hukuman
potong tangan dan kaki secara bersilang.
Terhadap kumpulan yang hanya mengganggu ketenteraman atau
lalulintas hanya dikenakan hukuman buang negeri.
• Taubat sebelum
ditangkap
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi
kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa taubat hanya menggugurkan hukuman
pencurian dan pelanggaran hak-hak Allah, tetapi dipertanggungjawabkan atas
pertumpahan darah (membunuh) dan harta benda yang masih wujud lagi di tangan
perompak.
• Cara-cara
bertaubat
Ulama’-ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, tetapi
kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa perompak perlu meninggalkan
kejahatan perompakannya tanpa perlu mendatangi kepala negara, ataupun ia
membuang senjatanya dan mendatangi kepala negara sebagai seorang yang taat.
LIWATH
• Pengertian liwath
Ialah hubungan seks antara lelaki dengan lelaki lain melalui
jalan belakang (dubur) dan termasuk juga hubungan seks antara lelaki dengan
perempuan melalui jalan belakangnya. Liwath adalah lebih khusus dalam kes
homoseks (hubungan sejenis) walaupun tidak melibatkan jalan belakang.
• Hukum liwath
Liwath dipandang keji dalam semua masyarakat Samawi,
termasuklah Islam. Ia bermula sejak zaman umat Nabi Luth dimana lelaki
melepaskan nafsu terhadap lelaki dan tidak mendekati isteri-isteri mereka.
Ijma’ ulama’ bahawa liwath adalah dosa besar dan dikenakan hukuman duniawi dan
ukhrawi.
• Uqubah terhadap
pesalah liwath
Kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa orang yang melakukan
liwath wajib dikenakan hukuman mati (bunuh) walaupun pesalah bukan muhshan. Di
antara yang berpendapat seperti berikut ialah sahabat-sahabat Rasulullah dan
salah satu pendapat Asy-Syafi’e.
Abu Bakar As-Siddiq dan Ali bin Abu Thalib berpendapat,
orang yang melakukan kesalahan liwat itu hendaklah dipenggal lehernya dengan
pedang, kemudian mayatnya dibakar.
Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan berpendapat, pesalah
hendaklah ditindih dengan tembok atau dinding batu sampai mati.
Abdullah bin Abbas pula berpendapat pesalah dan pasangannya
hendaklah dicampak dari bangunan yang paling tinggi dalam negeri.
Ulama’ lain berpendapat hukuman ke atas pesalah liwath sama
dengan hukuman yang diterima pesalah zina.
• Syarat-syarat
perlaksanaan hukuman
Syarat-syarat pelaksanaan hukumannya sama dengan
syarat-syarat pelaksanaan hukuman pesalah zina. Dan juga melibatkan:
Pelakunya hendaklah mukallaf, dewasa dan berfikiran waras.
Melakukan liwath dengan sengaja, bukan dipaksakan
PEMBERONTAKAN (BAGHYUN)
Ada empat golongan yang dikategorikan sebagai penderhaka
(pemberontak) iaitu:
Golongan yang tidak mentaati pemerintah kerana sengaja ingin
merosakkan keamanan negeri.
Kumpulan yang memberontak terhadap pemerintah yang adil
kerana salah faham atau takwil yang keliru, tetapi jumlahnya kecil.
Golongan khawarij yang mengkafirkan orang yang melakukan
dosa-dosa besar dan juga mengkafirkan Uthman, Ali, Thalhah, Az-Zubair dan
banyak sahabat yang lain, dan menghalalkan darah orang-orang Islam dan harta
benda mereka kecuali yang menyertai pergerakan mereka.
Golongan ahlul-haq yang menentang pemerintah dan bertujuan
untuk melucutkan jawatannya kerana sesuatu takwil yang keliru, dan mereka
mempunyai kekuatan yang memerlukan kekuatan pula untuk menentang mereka.
Dua golongan umat Islam yang berperang kerana ashabiah atau
kerana merebutkan kekuasaan.
• Uqubah terhadap
bughah
Segolongan ulama’ berpendapat bahawa pemberontak wajib terus
diperangi kerana membiarkan mereka akan melahirkan banyak lagi kerosakan yang
sukar diperbaiki.
Segolongan ulama’ pula berpendapat pemberontak wajib
diperangi tetapi harus dinasihat dan diberi amaran terlebih dahulu.
PEMABUKAN
• Pengertian khamar
(arak(
Khamar ialah sesuatu yang memabukkan, yang merosakkan akal
sama ada cecair yang dinamakan arak atau pepejal yang dinamakan candu. Semua
bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan
apapun ia dibuat.
• Minum khamar
adalah dosa yang besar
Khamar adalah ibu dari segala kejahatan dan kejijikan,
meminumnya termasuk salah satu dosa besar, bahkan iman peminumnya diragui.
• Uqubah keatas
pemabukan
Tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama’
mengenai hukuman rotan yang wajib dikenakan atas peminum arak, cuma mereka
berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan itu.
1. As-Syafi’e berpendapat, bahawa sebatan itu adalah 40 kali
sebatan.
Pendapat ini didasarkan kepada Hadith, Riwayat Muslim,
bahawa ‘Ali r. a merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian
beliau berkata:
Rasulullah S.A.W. telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar
merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan
saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).
• Alat untuk
merotan
Tiada sabit dari Rasulullah S.A.W. bahawa beliau menetapkan
alat-alat yang tertentu untuk memukul peminum arak. Kadang-kadang beliau
memukul dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang
dengan rotan dan pelepah tamar, kadang-kadang dengan tangan dan selipar.
• Syarat-syarat
perlaksanaan
Untuk melaksanakan hukuman (uqubah) atas peminum arak
disyaratkan syarat-syarat yang berikut:
Peminum hendaklah berfikiran waras.
Peminumnya hendaklah seorang dewasa. Kanak-kanak tidak
dikenakan hukuman had rotan, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir menurut
ketentuan hakim.
Dengan sengaja meminum arak.
Peminum mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak.
• Sabitnya
kesalahan
Kesalahan pemabukan ini disabit melalui salah satu dari dua
cara:
Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi yang adil.
• Hukum berubat
dengan khamar
Sepakat para ulama’ bahawa arak haram hukumnya dan termasuk
salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka
haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang bukan
Islam, dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.
• Hukum mencari
rezeki dengan khamar
Setiap orang mukallaf wajib mencari rezeki untuk menyara
hidupnya dan keluarganya. Ia termasuk ibadat. Oleh kerana khamar diharamkan
oleh Allah dan Rasul-Nya dan ia pula termasuk dalam dosa besar yang diancam
dengan uqubah dan ‘iqab, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu.
Pengharaman ini meliputi semua pekerja di kilang-kilang khamar, pengangkutan,
ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar,
pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.
Jabir bin Abdullah r. a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah
S.A.W. bersabda:
“Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi,
dan patung-patung berhala. ”
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
SIHIR
Ijma’ ulama’ menyatakan bahawa sihir itu hukumnya haram dan
kafirlah orang yang menghalalkannya. Orang yang mempelajarinya, mengamalkannya
dan membenarkannya adalah kafir kerana melakukan sesuatu yang syirik.
• Uqubah ke atas
tukang sihir
Pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, Golongan Syi’ah dan
sebilangan besar sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. :
Tukang sihir wajib dibunuh dengan dipenggal lehernya dengan
pedang kerana mempelajari dan mengamalkan sihir kerana ia telah kafir dan tidak
perlu disuruh taubat terlebih dahulu.
Pendapat Asy-Syafie dan golongan Az-Zahiriah:
Jika perbuatan atau ucapan ahli sihir itu kufur, maka tukang
sihir itu adalah kafir murtad. Berlakulah ke atasnya hukuman seperti ke atas
orang yang murtad, kecuali ia bertaubat. Jika perbuatan atau ucapannya tidak
kufur, maka ia tidak kafir dan tidak boleh dibunuh. Ia dihukum menurut
ketentuan hakim berdasarkan maklumat dari dalil-dalil yang sah.
Hukum perlaksanaan Hudud menurut Islam
Islam diturunkan untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia
di dunia dan sebagai pedoman hidup yang mutlak bagi umat manusia, khususnya
bagi orang-orang Islam. Ajaran-ajaran Islam itu adalah bersifat universal,
rasional dan fithri serta sesuai untuk sepanjang zaman, semua tempat dan
keaadaan.
Tidak ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang sudah lapuk ditelan
zaman, bahkan hukum-hukum Allah dan Rasul itulah hukum ultra moden kerana ia
dicipta oleh Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui akan sifat
hambanya zahir dan batin. Tiada alternatif lain bagi umat Islam selain dari
hukum-hukum Allah.
Hukum-hukum Islam itu telah dijalankan sepenuhnya oleh
Rasulullah dan Khulafaur-Rasyidin dan Khalifah-khalifah Islam berikutnya
sehinggalah zaman kejatuhan Islam. Tiada siapa yang berhak menukar gantikannya
atau memansuhkannya. Hukum-hukum tersebut adalah kekal abadi sampai akhir
zaman.
Allah telah menurunkan hukum-hukumnya dan kepada kita
sebagai hambanya diwajibkan melaksanakan hukum-hukum itu dengan penuh ketaatan
“kami dengar dan kami patuh, ” bukannya dengan dolak-dalik dan helah seperti
kaum Yahudi dan orang-orang munafiq.
Pelaksanaan hukum Hudud dan lain-lain syariat Islam pasti
dapat menyelesaikan masalah kerosakan moral dan sahsiah yang sedang mengancam
masyarakat manusia dan pasti akan wujud masyarakat yang aman damai dan makmur
dalam keredhaan Allah. Demikian jaminan Allah dan Allah tidak akan memungkiri
janji-janji-Nya.
Hikmah Hudud
Dengan melaksanakan Hukum Allah ini iaitu Hukum Hudud
sedikit sebanyak dapat memberikan hikmah kepada individu, masyarakat, agama,
dan Negara. Sebagai contoh hikmah kepada individu adalah ia dapat mendidik
manusia untuk menjadi insan kamil yang dapat bermanfaat kepada dirinya dan alam
sejagat. Selain itu, ia dapat mencegah individu daripada melakukan
kesalahan-kesalahan yang menjatuhkan iman dan sahsiahnya serta dapat
menghalangnya daripada mengulangi kesalahan yang pernah dilakukannya itu.
Di samping itu, hikmah kepada masyarakat adalah dapat
mewujudkan dan melindungi maslahat umum tanpa mengira agama, bangsa mahupun
kedudukan. Dalam mana-mana masyarakat pun pasti ada orang jahat sebagaimana
juga dalam semua badan manusia, pasti ada penyakitnya sama ada banyak atau
sedikit. Wujudnya penjenayah pasti akan menggugat kententeraman masyarkat itu
yang saya cuba katakana. Dalam hal ini, peranan Syari’at dalam mengubati
masyarakat sama seperti peranan seorang doktor mengubati pesakitnya.
Perumpamaan ini sangat sinonim dengan Sistem Hukum Hudud.
Seterusnya, hikmah menjalankan hukum Hudud dalam aspek agama
bukan sahaja memberi kesen terhadap kaum yang menganut agama Islam malah ia
turut memberikan gambaran positif terhadap kaum yang menganut agam lain tentang
agama Islam. Ini kerana pelaksanaan system ini amat memerlukan ketepatan dan
kesahihan bukti, adil dalam menentukan keputusan, tegas dalam melaksanakan
hukuman dan mempunyai rasa belas terhadap pelaku yang memenuhi syarat atau yang
menarik balik pengakuannya. Hukuman dan cara seperti ini dapat melahirkan umat
yang sentiasa suci, tidak berbuat jahat dan tidak dipandang serong oleh
masyarakat yang menganut agam lain.
Yang terakhir ialah hikmah terhadap Negara, dengan
melaksanakan hukum Hudud ia dapat melahirkan Negara yang jauh lebih aman dan harmoni.
Statistik membuktikan kepada kita bahawa negara-negara yang menjalankan hukum
Hudud sekarang adalah lebih jauh lebih aman daripada negara-negara lain di
seluruh dunia. Negara seperti Arab Saudi, Oman, Iran dan lain-lain menjadi
contoh dan bukti yang sangat nyata. Dolak-dalik yang diceritakan dengan niat
menimbulkan kebencian dan keraguan orang terhadap hukum-hukum Islam sebenarnya
ia dilakukan oleh musuh-musuh Islam atau agen-agenya seperti Freemason yang
sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari jalan yang benar dengan
menggunakan media massa.
Tafsir daripada Al-Quran berkaitan Hudud
• Dan barangsiapa
yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka
itulah orang-orang fasiq (derhaka)
(Surah Al-Maaidah, ayat 47)
• Wanita penzina
dan lelaki penzina hendaklah kamu dera atau setiap orang seratus kali rotan dan
janganlah belas kasihan atas kedua-duanya menghalang kamu dalam (menegakkan)
agama Allah, jika sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah
pelaksanaan hukuman atas kedua-duanya dipersaksikan oleh sekumpulan orang-orang
mukmin.
(Surah An-Nur, ayat 2)
• Barangsiapa yang
kafir dengan Allah sesudah ia beriman (ia mendapat kemurkaan Allah), kecuali
orang yang dipaksakan kafir padahal hatinya tetap tenang dalam iman, tetapi
orang yang lapang dadanya dengan kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan
baginya azab yang besar
(Surah An-Nahli, ayat 106)
• Dan janganlah
kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan
satu jalan yang buruk
(Surah Al-Isra’ ayat 32)
• Dan barangsiapa
yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka
itulah orang-orang kafir
Kesimpulan
Hukum Hudud adalah bersifat syumul dan tidak boleh diubah oleh
mana-mana manusia. Hukum Hudud juga adalah layak diterima oleh pesalah atas
perlakuan salahnya itu dan hukum Hudud juga dapat membuatkan pesalah insaf dan
tidak mahu untuk mengulangu perbuatannya itu lagi. Sebagai kesimpulan, kita
mestilah melaksanakan Hukum Hudud kerana ianya perintah daripada Allah S.W.T.
Kita sebagai hamba-Nya mestilah berusaha walaubagaimana cara sekali pun untuk
melaksanakan supaya kita mendapat hidup yang diberkati oleh Tuhan Yang Maha
Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dunia semuanya hanyalah sirna, kita haruslah
mencari akhirat yang kekal. Segala yang buruk datangnya daripada saya dan yang
baik datangnya daripada Allah Tuhan sekelian ‘alam. Fiamanillah, ma’assalamah.
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com